Friday, July 3, 2009

Misteri peti besi terungkai - Koleksi berharga Tunku Abdul Rahman dibongkar


DR. RAIS melihat artifak yang dibawa keluar dari peti besi milik Perdana Menteri pertama Malaysia di Memorial Tunku Abdul
Rahman, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Selepas lebih 19 tahun menjadi misteri, isi peti besi milik Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang tersimpan di Memorial Tunku Abdul Rahman, Jalan Dato' Onn di sini terbongkar juga petang semalam.

Namun proses membuka peti besi model Stafford buatan England seberat 300 kilogram itu bukannya mudah.

Tiada siapa tahu kombinasi angka bagi membukanya termasuk ahli keluarga Almarhum sendiri.

Akhirnya dua kakitangan daripada syarikat peti besi terkemuka, Chubb (Malaysia) Sdn. Bhd. bermandi peluh selama 40 minit menggerudi peti itu dan mengalihkan palang penguncinya.

Sebaik pintunya dibuka, kelihatan sembilan kotak tersusun kemas, ada di antaranya diselaputi baldu.

Selepas satu demi satu kotak itu dibuka, kesimpulannya peti besi tersebut menyimpan lebih 30 barangan cenderamata Almarhum sepanjang tempoh menjadi Perdana Menteri yang pertama.




Antara barangan tersebut ialah jam tangan, butang baju, dua kunci emas, dua syiling emas, plak Persatuan Menembak Kebangsaan, pen emas, gunting emas dan beberapa barangan yang belum dikenal pasti.

Bagi Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang turut menyaksikan usaha membuka peti besi itu, penemuan itu adalah sesuatu yang sangat penting kepada negara.

"Ada pihak yang mengatakan peti besi itu menyimpan dokumen-dokumen penting.

"Kita masih tidak tahu lagi nilai sebenar semua barangan yang dijumpai ini,'' kata Rais pada sidang akhbar di memorial Tunku Abdul Rahman semalam.

Kata beliau, peti besi itu dibuka bagi merungkai rahsia yang tersimpan di dalamnya sejak kemangkatan Tunku pada 6 Disember 1990.

Kesemua barangan itu akan disenaraikan secara terperinci dengan laporan mengenainya diserahkan kepada Kabinet.




Ditanya kemungkinan pemilikan barangan tersebut akan menjadi isu di kalangan ahli keluarga Tunku, Rais berkata, kesemua barangan tersebut adalah hak negara.

"Ia milik negara, bukan peribadi, semua artifak ditulis atas nama Perdana Menteri dan nama Tunku sendiri, sudah tentu isu tersebut tidak akan timbul," katanya.

Peti besi itu pernah digunakan oleh Tunku Abdul Rahman semasa beliau menjadi Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dan kemudian sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Ia pada mulanya diletakkan di pejabat beliau di Bangunan Residensi sebelum dipindahkan ke kediaman Almarhum di No 1, Jalan Langgak Tunku apabila beliau bersara sebagai Perdana Menteri pada 1970.

Peti itu kemudian diserahkan kepada Arkib Negara untuk diletakkan semula di Bangunan Residensi pada 1994 oleh anakanda Tunku, Tunku Ahmad Nerang sebagai sebahagian daripada artifak negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: