Friday, July 3, 2009

Fenomena watak ikonik sinema dunia


fILEM Indiana Jones PERNAH tersenarai di tangga kedua dalam senarai 50 watak hero sepanjang masa yang dipilih oleh American Film Institute (AFI).


SEJAK kali pertama dizahirkan menerusi filem pertama, Raiders of the Lost Ark (1981), watak Indiana Jones menjadi fenomena dalam sekelip mata.

Dibawakan dengan penuh karisma oleh pelakon versatil, Harrison Ford yang dilihat begitu serasi membawakan watak hero, tiada siapa yang mampu menafikan impak yang terhasil daripada filem itu.

Kehebatan filem arahan Steven Spielberg itu berjaya mencatatkan kutipan box-office yang cukup luar biasa apabila mencatatkan AS$387 juta (RM1.4 billion) di seluruh dunia.

Malah, Raiders of the Lost Ark juga mencuri perhatian juri Anugerah Academy apabila berjaya menerima lapan pencalonan dalam acara Oscar tahun berikutnya.

Pencalonan itu merangkumi kategori filem, pengarahan, skor muzik, sinematografi, bunyi, suntingan filem, pengarahan seni serta kesan khas visual.

Raiders of the Lost Ark mencatatkan satu lembaran baru dalam penerbitan filem Hollywood ketika itu apabila filem berkenaan dicalonkan antara lima filem untuk merebut gelaran Filem Terbaik.

Sesuatu yang sungguh di luar dugaan kerana pada ketika itu, kecenderungan pemerhati filem Hollywood ke arah filem yang mempunyai nilai estetika yang tinggi dalam sesebuah filem.

Agak jarang sekali sebuah filem aksi pengembaraan seperti itu berjaya memikat hati juri Oscar untuk membolosi tembok kebal pencalonan melainkan dari aspek teknikal sahaja.

Biarpun begitu, Raiders of the Lost Ark tidak pulang dengan tangan kosong sebaliknya berjaya membawa pulang empat anugerah yang kesemuanya mewakili kategori teknikal.

Rentetan daripada kejayaan filem pertama dalam siri Indiana Jones itu, tiga buah filem lagi diterbitkan selepas itu.

Tahun 1984 menyaksikan Indiana Jones and the Temple of Doom diterbitkan dan disusuli dengan filem Indiana Jones and the Last Crusade lima tahun selepas itu.

Menyedari Indiana Jones mempunyai pengikut dan peminatnya sendiri, selepas 19 tahun filem keempatnya, Indiana Jones and the Kingdom of the Crystal Skull menemui penonton di seluruh dunia.

Masih lagi menampilkan Ford sebagai teraju utamanya di kala usianya sudah mencecah usia 60-an, filem tersebut tetap mendapat sambutan luar biasa.

Namun begitu, filem berkenaan tidak terlepas daripada kritikan pengkritik mahupun peminat setia siri filem itu.

Ternyata, ia bukanlah satu halangan untuk sekuel keempat itu membuat kutipan sebanyak AS$786 juta (RM2.8 billion) di seluruh dunia.

Kejayaan itu melayakkan filem berkenaan menduduki tangga kedua hanya di belakang filem The Dark Knight dalam senarai carta filem paling laris sepanjang tahun lalu.

Di sebalik kejayaan demi kejayaan serta fenomena yang tercipta menerusi Indiana Jones, mungkin ada yang tidak mengetahui sejarah kelahiran karakter pujaan ramai ini.

Semuanya bermula daripada kombinasi idea dua sahabat karib, Spielberg dan George Lucas yang mahu memberikan penghormatan kepada watak hero yang pernah ditampilkan dalam filem-filem aksi tahun 30-an.

Lantas, Lucas dan Spielberg mengambil keputusan menghabiskan masa bersama untuk berdiskusi mengenai projek filem berkenaan di Hawaii sekitar lewat tahun 1970-an.

Speilberg dalam satu temu ramah tidak berapa lama dulu masih lagi mengingati detik-detik bagaimana projek filem Indiana Jones bermula.

Ceritanya, ketika itu Lucas mahu 'lari' daripada menghadiri tayangan pembukaan filem Star Wars yang pertama pada tahun 1977 dan mengajaknya bercuti bersama isterinya di Hawaii.

"Setibanya di sana, dia (Lucas) bertanya kepada saya apakah projek filem saya yang seterusnya. Saya hanya memberitahu saya masih lagi cuba memujuk penerbit filem James Bond ketika itu bahawa saya benar-benar mahu mengarahkan filem James Bond.

"Saya juga ada memberitahunya bahawa saya ingin mengarahkan sebuah filem yang aksinya cukup menarik seperti filem James Bond. Dia hanya senyum dan memberitahu dia mempunyai skrip yang lebih baik daripada filem James Bond.

"Apabila dia menghulurkan skrip dan di saat saya membacanya, saya begitu terpegun dan terus bersetuju untuk mengarahkan filem tersebut," kata pengarah tersohor itu mengimbau kenangan kelahiran Indiana Jones.

Jelasnya lagi, Indiana Jones atau nama sebenarnya, Dr. Henry Walton "Indiana" Jones, Jr. bukan watak hero yang sudah disiap acuannya iaitu yang sering tampil kemas walaupun mengalami kecederaan serta berdepan dengan musuh.

Dia juga bukan seorang yang serius sepanjang masa kerana dia juga adalah seorang yang humor dan ada kala tindak tanduknya begitu melucukan.

Bahkan, dia seperti manusia lain juga yang tidak terlepas daripada membuat kesilapan biarpun dia merupakan seorang profesor dan ahli arkeologi yang mempunyai kelebihan dari segi pengetahuan serta kebijaksanaan.

Malah, dia juga begitu fobia terhadap ular dan lantas, menjadikan dia begitu dekat kepada penonton yang dapat mengaitkan diri serta senario yang dihadapinya.

Berbicara tentang Ford sebagai Indiana Jones pula, Spielberg memberitahu, dia memang mahukan aktor berkarisma itu memegang watak berkenaan tetapi ditolak dengan mentah oleh Lucas.

Alasannya, Ford sudah tiga kali membintangi filem-filemnya sebelum itu iaitu American Graffiti, Star Wars dan The Empire Strikes Back serta tidak mahu dilabelkan sebagai anak emasnya seperti mana gabungan Robert De Niro dan pengarah, Martin Scorsese.

"Apabila kami mengadakan uji bakat, kami cukup tertarik dengan Tom Selleck dan merasakan dia amat sesuai untuk memegang watak ini dan betul-betul mahukannya dalam Raiders of the Lost Ark.

"Namun, malang sungguh bagi kami apabila stesen televisyen CBS enggan melepaskan Selleck atas alasan dia telah mengikat kontrak untuk membintangi siri Magnum P.I. yang cukup popular ketika itu.

"Apabila sekali lagi saya mencadangkan nama Ford kepada Lucas, dia mengalah dan Ford dipilih memegang watak Indiana Jones dalam tempoh tiga minggu sebelum penggambaran bermula," ujar Spielberg yang merupakan pengarah untuk kesemua filem Indiana Jones.

Dengan imej berjaket kulit, bertopi fedora serta bercemeti sepanjang masa sudah cukup untuk meletakkan watak ini antara watak ikonik dalam perkembangan sinema dunia.

Biarpun banyak watak hero silih berganti, namun Indiana Jones tetap menjadi pilihan peminat dan pengkaji filem di Hollywood sehingga melayakkan Indiana Jones tersenarai di tangga kedua dalam senarai 50 watak hero sepanjang masa yang dipilih oleh American Film Institute (AFI).

Dan, kutipan untuk kesemua filem Indiana Jones yang mencecah AS$2 billion (RM7 billion) menjadikan siri filem Indiana Jones antara francais filem terlaris di dunia.

Untuk itu, sepanjang bulan Julai ini, saluran Max (saluran 412, Astro) akan menayangkan keempat-empat filem Indiana Jones yang ditampilkan menerusi Indiana Jones Quadrilogy.

Bermula dengan tayangan Raiders of the Lost Ark pada 4 Julai dan diikuti dengan Indiana Jones and the Temple of Doom (11 Julai) serta Indiana Jones and the Last Crusade (18 Julai).

Kemuncak Indiana Jones Quadrilogy adalah dengan tayangan perdana Indiana Jones and the Kingdom of the Crystal Skull pada 25 Julai yang pertama kali ditayangkan di televisyen pada pukul 10 malam.

Terdahulu, di sebelah petangnya menerusi saluran yang sama, tiga filem Indiana Jones akan ditayangkan secara maraton bermula pukul 4 petang sebelum tayangan Indiana Jones and the Kingdom of the Crystal Skull.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: