Sunday, January 25, 2009

Teman baru


KETIKA menghadiri malam kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-23 minggu lalu, aktres ini ditemani seseorang. Dari jauh, kedua-duanya kelihatan rapat dan mesra.

Berkesempatan menemuinya baru-baru ini, Nasha tidak menafikan perkara itu. Mengakui jejaka yang memiliki syarikat rakaman Clockwork Records adalah teman rapat yang istimewa, pelakon ini mula membuka cerita.

Menurut Nasha, jejaka berkenaan dikenali sebagai WP Tang. Begitupun, kini Tang menukar namanya kepada Nur Iman Tang selepas memeluk Islam awal Ramadan lalu.

“Perkenalan saya dengan Tang sudah lama, malah sejak dia belum memeluk Islam lagi. Begitupun, perkenalan kami hanya sebagai sahabat. Sejak mengenalinya, saya dapati Tang terlalu cenderung ke arah keunikan Islam dan dia juga sering menyatakan perasaan bangga terhadap agama ini serta budaya orang Melayu.

“Bermula dari detik berkenaan, saya menjadi semakin rapat dengannya. Melihatkan kecenderungannya dalam Islam, saya cuba memberi semangat kepadanya dan ia menjadi sebab mengapa persahabatan yang terjalin ini akrab.

“Saya juga selesa bersama dengannya. Lagipun, sebagai saudara baru Islam, saya turut bertanggungjawab mengajarnya mengenai selok-belok agama Allah ini,” katanya.

Menceritakan detik itu, Nasha menjelaskan, semuanya bermula pada Ramadan lalu, di mana Tang mula merasakan kehidupannya masih tidak lengkap.

“Sebenarnya, sebelum memeluk Islam, dia bangga dengan budaya Melayu, malah terpesona dengan keindahan Islam mengenai kebersihan, tingkah laku yang sopan serta pelbagai lagi.

“Sejak itu saya mula melihat kecenderungannya dalam Islam. Mungkin sebelum ini dia kurang mendapat sokongan dan sebab itu dia mendiamkan diri saja.

“Begitupun pada Ramadan lalu, saya melihat perubahan ketara pada Tang. Apabila saya ke masjid untuk solat tarawih, dia sudi menghantar saya. Namun saya mengatakan kepadanya, dia tidak boleh memasuki masjid selagi tidak memeluk Islam.



“Pada waktu itu Tang mula merasakan ada sesuatu yang belum sempurna dalam hidupnya. Meskipun dia turut berpuasa dan menjaga kebersihan, satu-satunya ibadat yang tidak boleh dilakukannya adalah bersembahyang,” jelasnya.



Tambah Nasha, Tang akhirnya memeluk Islam pada minggu kedua Ramadan. Malah, dia sendiri memberi nama Islam kepada jejaka itu.

“Saya berharap imannya lebih kuat selepas ini. Bukan mudah untuk seorang saudara baru menghadapi pelbagai dugaan mendatang. Mudah-mudahan Allah sentiasa membantunya,” katanya.

Menyentuh mengenai perkembangan terbarunya, aktres jelita ini bakal membintangi sebuah filem terbaru berjudul Bunian. Produksi pertama Adnan Abu Hassan arahan Zaharil Izham Zainon atau Jantan ini akan menjelmakannya sebagai puteri bunian.

“Filem ini memulakan penggambarannya bulan depan. Yang menarik minat saya untuk menyertai filem ini adalah jalan ceritanya yang mengasyikkan. Meskipun ia mengenai alam mistik bunian, pengisiannya cukup mendalam.

“Dalam filem ini saya menggalas watak sebagai puteri Bunian iaitu Puteri Manja Sakti. Ia satu watak yang mencintai kedamaian, keindahan ciptaan Tuhan, malah walaupun berasal daripada keluarga bunian, dia juga mahu dicintai dan mencintai,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: