Sunday, January 18, 2009

Tak sabar naik pelamin


Que dan Linda mahu majlis berjalan mengikut perancangan.

Que, Linda sibuk tinjau pelamin bagi persiapan lancar menjelang 14 Februari

SENYUMAN sentiasa terukir di bibir bakal pengantin baru, kareografer popular, Linda Jasmine dan pasangannya, aktor terkenal, Que Haidar tatkala menemui mereka di lokasi persandingan, minggu lalu. Menerusi pertemuan itu, Linda dan Que dilihat sedang sibuk meninjau kedudukan pelamin mereka, selain reka bentuknya yang masih di peringkat perbincangan akhir. Begitu juga kad jemputan, masih memilih yang berkenan di hati.

“Saat-saat akhir ini, saya stress sikit memikirkan banyak persiapan yang belum selesai sepenuhnya. Terus-terang saya katakan, saya ni seorang yang agak cerewet, tak berani nak serah bulat-bulat pada orang lain kerja kahwin ni, takut tak menjadi. Tapi, alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan lancar, hampir 70 peratus dah siap, tinggal sikit-sikit saja lagi.

“Namun, saya tak mampu menyembunyikan perasaan teruja nak kahwin! Hampir empat tahun saya bergelar ibu tunggal, sekarang nak naik pelamin sekali lagi, memang saya sangat gembira!,” kata Linda yang sentiasa ditemani Que dan anak lelaki tunggalnya, Qalif Khan, 8, di sisinya.

Que sempat bergurau dengan anak Linda.

Kenapa pilih Que sebagai pasangan hidup?

“Pada awalnya, berkawan dengan Que, dia seorang teman yang sangat jujur. Dia juga boleh menerima kerenah saya yang cerewet ni. Lebih penting, saya suka cara Que memahami diri saya. Dia tidak mengongkong. Mungkin pengalaman lalu, umur, mematangkan lagi kehidupan saya, justeru saya tidak teragak-agak memilih Que sebagai pasangan hidup saya yang baru.

“Begitu juga Qalif, semakin hari dia semakin menerima Que. Dia sangat manja dengan Que. Sekarang Qalif dah mula panggil Que, daddy. Qalif pernah cakap dengan saya, apabila saya kahwin dengan Que, dia bukan seorang saja lelaki dalam rumah kami, lantas dia sangat gembira untuk terima Que sebagai ayahnya yang baru,” kata Linda terus menyuapkan makanan ke mulut Que.

Ramai yang bercakap, Que boleh memilih seorang wanita yang lebih muda atau seusianya sebagai calon isteri, tapi apa keistimewaan yang ada dalam diri Linda sehingga Que menyatakan persetujuannya bergelar seorang suami, sekali gus sebagai ayah pada 14 Februari ini?

“Bagi saya, umur tidak membawa sebarang maksud, ia sekadar nombor atau angka. Saya melihat ciri kematangan dalam diri Linda. Dia juga faham kerjaya saya sebagai seorang pelakon drama dan filem. Menariknya, Linda dan ibu saya berbintang sama, Cancer, jadi banyak persamaan antara ibu dan Linda. Keserasian antara kami memang ada, insya-Allah saya mengharapkan perkahwinan yang kekal bahagia,” kata Que.

Linda dikenali sebagai seorang yang seksi, bagaimana Que menerima keadaan itu?

Bakal pengantin begitu mesra.

“Jika saya sudah menerima Linda sebagai calon isteri, saya juga menerima diri Linda seadanya. Doakan kebahagiaan kami, insya-Allah,” kata Que.

Info perkahwinan Que, Linda, Que

TARIKH NIKAH: 14 Februari 2009

LOKASI NIKAH: Restoran Bora Ombak, Ampang, Selangor

MASA NIKAH: Selepas solat Asar

TARIKH PERSANDINGAN: 14 Februari 2009

LOKASI PERSANDINGAN: Restoran Bora Ombak

MASA PERSANDINGAN: 8.30 malam

ANGGARAN JEMPUTAN: 300 tetamu

PERANCANG PERKAHWINAN: Polkadotted Creative Solutions

TEMA/KONSEP PERKAHWINAN: Taman Bali

PEREKA PELAMIN: Pemilik Bora Ombak, Nik Zaiton Nik Abdullah

PENYELIA TARIAN: Konsep kontemporari Bali-Melayu

ARTIS JEMPUTAN: Amylea AF3 dan Farhan AF4

BUSANA PERNIKAHAN: Datin Sharifah Kirana

BUSANA LINDA (PERSANDINGAN DI KL): Syaiful Bahrim

BUSANA QUE (PERSANDINGAN DI KL): Lord’s Tailor

BUSANA LINDA/QUE (MAJLIS POTONG KEK): Calvin Thoo

KEK: The Blooming Cakes

BUSANA LINDA/QUE (PERSANDINGAN DI KULAI, JOHOR; 15 MAC 2009): Datin Sharifah Kirana

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: