SELEBRITI yang terbabit dalam Sukaria Ceria bergambar kenangan sewaktu majlis pelancaran karnival itu di Bangsar. |
Hadiah kereta menanti pengunjung karnival di Pulau Pinang, Kuala Lumpur
JIKA di luar negara saluran seperti Cartoon Network, Disney Channel, Nickelodeon sudah cukup sinonim dengan kanak-kanak di serata dunia. Kita di Malaysia juga boleh berbangga dengan Astro menerusi saluran Astro Ceria yang memberi fokus kepada golongan kecil ini.
Sejak mula melancarkan operasinya pada 2006, bermula di Indonesia pada 16 April dan Malaysia, 31 Ogos, Astro Ceria terus-terusan menambat hati dan minat penonton di Malaysia. Bermula dengan program Gerak Geri Gasing terbitan produksi sendiri, hari demi hari, saluran ini mula mendapat kepercayaan pihak lain yang sudi menjual siri animasi dan kartun termasuk penambahan drama seperti Geng Bas Sekolah, Kapten Boleh dan Hikayat Putera Shazlan.
Menurut Pengurus Saluran Astro Ceria, Azlin Reza Azmi, rating yang diterima juga cukup memberangsangkan sehingga ditonton penonton di bandar dan pedalaman dan paling penting masih menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa utama sama ada diterjemah atau sebaliknya. Selain Gerak Geri Gasing, program Tom Tom Bak yang dihoskan pengacara nombor satu Malaysia, Aznil Nawawi begitu dekat dengan hati adik kecil.
“Sebanyak 20 peratus kandungan terbitan tempatan menjadi nadi kebanggaan Astro Ceria dan Insya-Allah ia akan meningkat dari semasa ke semasa. Selebihnya ialah siaran yang dibeli dari negara lain, contohnya untuk kanak-kanak prasekolah kita ada siarkan kartun seperti Thomas And Friends, Postman Pat dan Roary The Racing Car.
“Kita ada kartun genre drama seperti Nintama Rantaro dan Hagemaru. Begitu juga yang dikelaskan sebagai kartun aksi seperti Digimon, Detective Conan dan Ultraman,” katanya sewaktu ditemui selepas sidang media Vitagen Sukaria Ceria di Bangsar minggu lalu.
NADIA turut terbabit membuat persembahan pada karnival Sukaria Ceria. |
Membuka tirai 2009, Astro Ceria kembali meneruskan kegemilangan tradisi dua tahun sebelum ini melalui Karnival Astro Ceria Run for Fun yang cukup mendapat sambutan hebat di kalangan seisi keluarga dan kanak-kanak khususnya.
Kini dengan gaya baru, karnival ini dikenali sebagai Sukaria Ceria yang dipersembahkan jenama minuman kultur popular, Vitagen. Pendekatan mengadakan aktiviti sebegini lazimnya dipraktikkan kebanyakan stesen atau saluran TV demi mendekatkan diri dengan penonton.
Apa yang cuba dilakukan Astro Ceria ini selaras dengan matlamat Astro untuk menjadi peneraju sebuah komuniti sihat dan harmoni yang bukan terhad kepada generasi muda, bahkan untuk semua lapisan masyarakat. Satu kebanggaan juga, Astro Ceria terus mengukuhkan hubungan baik dengan rakan penaja, contohnya untuk Sukaria Ceria ini Vitagen sekali lagi sudi menaja buat tahun kedua.
“Tahun pertama kami menganjurkan Astro Ceria Run For Fun tanpa membabitkan penaja dan Alhamdulillah selepas itu kita mula mendapat kerjasama Vitagen untuk terus melaksanakan aktiviti ini. Jika dua tahun dulu, ia sekadar larian maraton, manakala untuk tahun ini kita sediakan ganjaran lumayan yang membabitkan seisi keluarga.
“Matlamat karnival ini untuk memberi platform bagi menjana daya kreativiti kepada golongan muda khususnya untuk meluahkan bakat terpendam dan potensi yang ada secara bebas melalui pengawasan yang sewajarnya. Selain itu, inilah masa untuk mendekatkan diri, beramah mesra dan bertemu dengan selebriti kesayangan ramai siri drama Kapten Boleh, Hikayat Putera Shazlan, Zoey, Mat Kacau dan juga Aznil Nawawi. Bintang Akademi Fantasia seperti Zahid, Mila, Nadia, Shawal dan Riz turut dijangka membuat persembahan,” katanya lagi.
INFO: Sukaria Ceria
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: