ANTARA personaliti dan selebriti yang terbabit memeriahkan setesen TV9. |
Raih 12 peratus syer penonton, kedudukan kedua selepas TV3
ANGKA sembilan mungkin secara tidak langsung memberi sinar dan tuah kepada saluran TV9 pada 2009. Bagaikan sebuah kelahiran semula, stesen TV yang terkenal dengan tagline Dekat Di Hati ini terus pantas menambat minat penonton sekali gus menarik perhatian pihak penaja dan pengiklan untuk menyumbang kepada ledakan stesen yang mula beroperasi sejak 22 April 2006 ini.
Biarpun masih dianggap adik bongsu di bawah Kumpulan Media Prima Berhad dan menjadi stesen siaran percuma keempat selepas TV3, ntv7 dan 8TV, ia ligat mencuri tumpuan penonton di Semenanjung Malaysia apabila berjaya meraih 12 peratus syer penonton, kedudukan kedua selepas TV3.
Tampil dengan wajah yang lebih segar, ceria dan kontemporari menerusi ramuan produksi tempatan dan antarabangsa, satu majlis pembaharuan jenama stesen ini yang disebut sebagai Rebirth atau kelahiran semula diadakan pada 20 Januari lalu di Menara Kuala Lumpur.
Lebih fokus dan dalam usaha memuaskan hati penonton dan klien, inti pati program kini disasarkan mengikut tiga kelompok penonton utama iaitu kanak-kanak, remaja dan belia bekerja serta pasangan keluarga muda.
Menurut Ketua Pegawai Operasi TV9, Bukhari Che Muda, imej baru TV9 ini bertitik tolak kepada kejayaan yang dikecapi selama hampir tiga tahun beroperasi dalam liga tersendiri. Ia umpama satu evolusi buat stesen ini untuk terus memantapkan kredibilitinya di mata masyarakat.
“Ia satu rekod terbaik apabila kami muncul sebagai rangkaian berbahasa Melayu kedua di bawah syarikat Media Prima (selepas TV3). Lalu apabila semakin meningkat usia, kami terpanggil dan perlu untuk terus memantapkan pengisian program yang disiarkan. Tanpa perlu mengubah konsep dan kandungan sedia ada, TV9 hanya memberi angin baru dan kelainan,” katanya sewaktu majlis sidang media berlangsung.
Ditanya kenapa tidak menambah dan terus mengekalkan program turun padang, Sua Rasa dan Apa Khabar Orang Kampung (AKOK) bagi mendekatkan TV9 dengan segenap penonton di seluruh Malaysia, Bukhari mempunyai jawapan tersendiri.
“Bukan kuantiti yang menjadi isu di sini, sebaliknya kualiti dan penekanan program seumpama ini yang penting sebenarnya. Jadual dua acara ini akan dilakukan sepanjang tahun, malah melalui AKOK, banyak kampung yang berminat untuk menjadi kampung angkat program ini. Atas beberapa kekangan, kita hanya memilih enam hingga lapan kampung untuk tujuan demikian.
“Acara sebeginilah yang memainkan peranan penting untuk mencapai sasaran penonton sekali gus memperkenalkan deretan program baru yang bakal terisi tahun ini. Dua acara ini dilihat sebagai pemangkin untuk terus memahat nama TV9 di ingatan masyarakat. Malah program Sua Rasa juga menarik hampir 350,000 orang sepanjang dua hari ia berjalan,” katanya lagi.
Masih mengekalkan logo yang sama, namun suntikan warna dan latar belakang berbeza diberikan dengan pelbagai cara supaya lebih meriah dan variasi.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Abdul Rahman Ahmad, tidak semestinya apabila sudah berada di ruang selesa, maka perubahan tidak patut dilakukan. Lalu langkah yang diaplikasikan TV9 ini memberi simbolik kepada kejayaan yang bakal dikecapi pada masa mendatang.
Sebelum itu, Abdul Rahman memberi penerangan mengenai wajah baru TV9 di hadapan tetamu termasuk rakan penaja, pengiklan, media dan selebriti. Selain persembahan pemenang program Gadis Melayu dan Idola Kecil, Faizal Tahir yang baru saja memenangi beberapa kategori termasuk Vokal Terbaik, Persembahan Terbaik dan juara Kategori Balada, turut diundang membuat persembahan. Hip difahamkan, Faizal dijangka akan mendapat cahaya mata baru hujung Februari ini.
INFO: Pecahan kandungan program TV9
- Hartamania
- Pondok-Pondok
- Upin & Ipin
- Siapa Pintar
- Rocketman
- Bola Kampung
- Hip TV
- Chopp!!
- Apa Ke Halnya
- Galaksi
- Filem Di 9
- Akademi Al-Quran
- Gadis Melayu
- Jaguh
- Idola Kecil
- Cari Menantu
- Kes Syariah
- Semanis Kurma
- Forensik
- Busana
- Nasi Lemak Kopi 0
- 3 Hari 2 Malam
- Studio Nabil
- Pak Pandir Moden
- Bong
- Otai
-Nana Tanjung
- Kepadamu Kekasih
- Agso & Madina
- Anak Betung
- Jula Juli
- Zati & The Beast
- Acara turun padang
- Sua Rasa
- Apa Khabar Orang Kampung
INFO: TV9
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: