PERSATUAN Karyawan Malaysia (Karyawan) telah melakukan pelbagai inisiatif bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh ahli-ahlinya tidak kiralah sama ada daripada golongan penyanyi, pemuzik mahupun pelakon.
Terbaru, Karyawan yang diterajui oleh Presidennya, Freddie Fernandez akan menganjurkan program Let's Jam & Chat di The Orange Club, Kuala Lumpur pada 23 Januari ini dari pukul 8 malam hingga 2 pagi.
Menurut Freddie, menerusi program anjuran Biro Muda Karyawan itu, ahli-ahli persatuan tersebut bukan sahaja berpeluang menyuarakan masalah-masalah yang dihadapi tetapi mereka juga akan dihiburkan dengan persembahan artis-artis tempatan.
"Konsep program ini adalah santai. Kita tidak mahu nampak serius sangat, nanti artis yang muda-muda rasa berat mahu datang. Tempat program itu diadakan juga tidak formal. Sambil menyuarakan masalah yang dihadapi, mereka juga dapat berhibur.
"Daripada situlah kita akan dapat tahu masalah-masalah yang mereka sedang hadapi," katanya pada sidang media Let's Jam & Chat di pejabat Karyawan di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Program itu akan dimulakan pada pukul 8 malam dengan sesi soal jawab bersama penyanyi, pelakon dan pemuzik sehinggalah pukul 10 malam di mana ia diadakan secara percuma untuk ahli-ahli Karyawan.
Sementara pada pukul 10 malam, para peserta yang terbabit dalam program itu pula akan dihiburkan dengan persembahan 10 artis solo dan 10 artis berkumpulan baru seperti Revenge, Rivernation, Zubira dan Couple.
Jelas Freddie, selain cuba membantu menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh ahli-ahli Karyawan, beliau juga akan menggunakan program tersebut bagi menarik lebih ramai artis baru menyertai Karyawan.
"Sasaran kami adalah artis-artis muda supaya mereka menyertai Biro Muda Karyawan yang diketuai oleh penyanyi Dayang Nurfaizah. Ia termasuklah juga kumpulan-kumpulan indie (independent) yang turut menghadapi masalah-masalah mereka sendiri.
"Melalui program ini, artis-artis indie akan lebih tahu hak mereka dalam industri muzik tempatan. Kita akan cuba menyelesaikan masalah mereka termasuklah menyediakan nasihat khidmat guaman," ujarnya.
Selain ahli-ahli Karyawan, Let's Jam & Chat juga boleh disertai oleh para peminat yang ingin mendengar lebih lanjut permasalahan serta persembahan pada malam itu tetapi dikenakan bayaran masuk sebanyak RM20.
Bagaimanapun, tambah Freddie, duit hasil kutipan tiket itu bukan digunakan untuk mencari keuntungan, sebaliknya ia akan diisi ke dalam Tabung Karyawan Untuk Palestin bagi membantu rakyat negara itu yang kini dizalimi oleh rejim Zionis.
"Pada program itu kelak, beberapa kumpulan indie akan menjual barangan mereka seperti album, single dan cenderamata di mana sebahagian daripada jualan tersebut juga akan disumbangkan ke dalam Tabung Karyawan Untuk Palestin.
"Sehubungan itu, saya menyeru agar artis-artis baru terutamanya kumpulan dan peminat muzik indie agar hadir pada program itu nanti. Bagi artis yang belum menjadi ahli Karyawan yuran seumur hidup yang dikenakan hanya RM10 sahaja," katanya.
Hadir sama pada sidang media itu ialah Ketua Biro Muda, Dayang Nurfaizah dan exconya yang terdiri daripada Asheed Def Gab C dan Hafiz.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: