KETIKA kali pertama mendengar lagu Pengharapan Ini, suara pemiliknya persis suara penyanyi tersohor negara suatu ketika dahulu, Wan Rashidah Meor Abdul Rashid atau lebih dikenali sebagai Wann.
Dengan alunan suara yang serak-serak basah, tiada siapa yang menyangkakan ia datang daripada seorang penyanyi berbakat dari Singapura, Azyza.
Album Aku Di Sini merupakan album kedua daripada Azyza yang akan dipasarkan di Malaysia buat kali pertama.
Sebelum ini, Azyza pernah melahirkan album bertajuk Ikhlas pada tahun 2005 di Singapura, malah lagu Ikhlas juga pernah mendapat pencalonan bagi kategori Lagu Terbaik (Singapura) pada Anugerah Planet Muzik 2006.
"Album Aku di Sini merupakan percubaan pertama Za di sini (Malaysia) dan Za yakin ia akan dapat mencuri perhatian peminat industri muzik di Malaysia," katanya yang membahasakan dirinya sebagai Za.
Menurut Azyza lagi, album ini sangat istimewa kerana mendapat sentuhan komposer-komposer dari tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura.
Malah dia turut berbangga apabila komposer terkenal negara, Adnan Abu Hassan sudi menghasilkan lagu Pengharapan Ini untuk dimuatkan dalam album terbarunya.
"Seramai tiga orang komposer dari Malaysia terlibat dalam penghasilan lagu, manakala masing-masing satu dari Indonesia dan Singapura.
"Album ini berkonsepkan pop balada dan sudah tentu syarikat rakaman menghasilkan album ini untuk disesuaikan dengan pelbagai lapisan umur khususnya di Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum," tambahnya lagi.
Ketika ditanya bagaimana boleh terlibat dalam bidang nyanyian, Azyza berkata semuanya bermula ketika dia menyertai satu pertandingan nyanyian di Singapura.
"Kawan-kawan Za mencabar Za menyertai pertandingan tersebut dan alhamdulillah, Za berjaya mendapat tempat ketiga buat percubaan yang pertama," katanya yang tidak menyangka percubaan sulungnya itu akan membuahkan hasil.
Malah, sebelum menyertai pertandingan tersebut, Azyza memberitahu bahawa dia tidak begitu menggemari suaranya kerana agak kasar.
Apa kata produser album - Suriani
Suriani yakin bahawa kehadiran Azyza mampu menarik perhatian peminat di Malaysia.
"Ini kerana tidak ramai suara seperti Azyza di negara ini. Saya yakin album ini juga mampu dijual di Malaysia," katanya.
Selain itu, penggunaan khidmat komposer-komposer hebat seperti Adnan Abu Hassan, Cat Farish dan Richard Kyoto (Indonesia) dilihat sebagai bonus kepada Azyza dan albumnya untuk menarik perhatian peminat muzik.
"Kita juga membuat perancangan untuk memasarkan album ini di Indonesia dan Singapura selepas melakukannya di Malaysia.
"Ini juga merupakan satu faktor kenapa kami menggunakan khidmat komposer dari ketiga-tiga buah negara," tambahnya lagi.
Menurut Suriani, mereka akan lama menetap di Malaysia dalam rangka pemasaran album Aku Di Sini termasuklah melakukan aktiviti promosi dan persembahan.
"Saya berharap agar Azyza dan album ini boleh mewarnai lagi dunia seni di Malaysia melalui seorang lagi bintang dari Kota Singa," katanya sebelum sesi temu bual berakhir.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: