Sunday, January 18, 2009

Scha berani kerana Fahrin


SEBELUM ini pelakon muda yang semakin diminati ramai, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir, 24, atau Scha Al-Yahya pernah meluahkan kepada pihak media yang dia tertarik untuk mencuba bidang pengacaraan atau menjadi penyampai berita.

Ternyata impian Scha akhirnya dapat direalisasikan apabila kenyataannya itu mendapat perhatian penerbit rancangan televisyen tempatan.

Lebih menarik tawaran diterima berganda apabila bintang berasal dari Sungai Petani, Kedah ini diberi kepercayaan mengendalikan dua rancangan sekali gus, iaitu Sehati Sejiwa disiarkan setiap Rabu, jam 2 petang di TV1 dan Chop! setiap hari, jam 8.30 malam di TV9.

Sebagai pengacara yang baru hendak bertapak, cabaran perlu dilalui pelakon utama filem Histeria ini turut berganda apabila kedua-dua rancangan dikendalikan disiarkan secara langsung.

Ditemui di lokasi rancangan Sehati Sejiwa menampilkan pasangan pengantin popular Asmawi (Mawi) dan Nora'Ashikin (Ekin) Rahmat baru-baru ini, Scha mengakui agak kaget apabila pertama kali berhadapan dengan kamera sebagai pengacara.

"Sebenarnya persiapan dilakukan untuk mengendalikan rancangan Sehati Sejiwa ini dibuat saat akhir. Semuanya gara-gara kurang yakin dan sangsi dengan bakat sendiri.

"Tawaran diberikan RTM sudah lama tetapi waktu itu saya tertanya-tanya mampukah mengendalikan rancangan bual bicara yang mengupas mengenai perkahwinan dan percintaan pasangan artis terkenal.

"Apatah lagi ia disiarkan secara langsung. Pada saya hanya orang yang mempunyai pengalaman bertahun-tahun saja mampu melaksanakan tugasan seperti itu.

"Sebagai orang baru ia memang memberikan tekanan kerana apabila rancangan dikendalikan disiarkan secara langsung kesilapan tidak boleh disorok jika berlaku.

"Namun, kerana keyakinan pihak produksi rancangan itu terhadap kemampuan saya dan dorongan diberikan Fahrin Ahmad akhirnya saya mengalah dan melakukannya," katanya.



Atas alasan itu jelas Scha, Fahrin turut berada di sampingnya sepanjang rancangan itu dikendalikan bagi membantu dan memberi khidmat nasihat bagaimana ia harus dilaksanakan.



"Disebabkan Fahrin ada di sisi untuk membantu menyebabkan perasaan kaget kurang. Fahrin boleh dikatakan antara pengacara muda yang banyak pengalaman. Dia turut menjadi sebab mengapa saya berani mencuba bidang baru ini.

"Memandangkan pertama kali bersiaran, saya menghubungi sendiri Fahrin memintanya membantu. Malah seperti rakan media dapat lihat pada rancangan pertama ini, apabila waktu iklan disiarkan dia akan memberikan kad panduan dialog dan soalan.

"Semuanya dia sediakan untuk saya di samping memantau sama ada cara saya mengendalikan rancangan itu bagus atau tidak," katanya lagi.

Bercerita lanjut jelas Scha, kedua-dua rancangan dikendalikan konsepnya agak 'gila-gila' dan penerbit sendiri mahu dia beraksi demikian.

"Sebenarnya untuk rancangan Sehati Sejiwa saya cuba memberikan suasana lebih santai dan tenang berbanding Chop! yang konsepnya agak riang dan memerlukan saya menjadi diri sendiri.

"Namun apabila perkara ini diketengahkan kepada penerbit Sehati Sejiwa, dia lebih gemar jika saya melakukan perkara sama seperti dipersembahkan dalam Chop!

"Begitupun, selaku pengacara saya cuba mencipta identiti kepada kedua-dua rancangan dikendalikan supaya penonton dapat lihat perbezaannya," katanya

Mungkin ada beranggapan Scha tidak ada masalah untuk menjadi pengacara kerana sudah biasa beraksi depan kamera, namun selepas melakukannya kata pelakon utama filem Histeria itu ia sama sekali berbeza kerana lakonan banyak bermain dengan perasaan dalaman sementara pengacaraan memerlukan daya berfikir pantas.

Bercerita lanjut mengenai kerjaya nyanyian kata Scha bermula Februari ini dia akan kembali ke lokasi bagi menjayakan filem arahan Syamsul Yusof, KL Drift 2.

"Ingin saya tegaskan di sini penampilan dalam filem itu bukan menggantikan Diana Danielle, sebaliknya watak ini baru diwujudkan dan ia berbeza. Saya menjadi pemandu wanita yang menyertai drift.

"Saya menerima tawaran ini kerana filem itu sendiri sebelum ini berjaya membuat kutipan pecah panggung. Ini menunjukkan KL Drift mempunyai ramai peminat dan kedua kerana watak. Pada saya ia sesuatu yang mencabar kerana saya sendiri perlu melakukan aksi lasak," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: