Saturday, January 24, 2009

'Saya serah pada Tuhan'


NAMA Kefli atau Mohamed Zulkefli Mohamed Idir, 25, mungkin tidak sehebat bintang Akademi Fantasia (AF) yang lain. Malah, tidak banyak publisti mengenainya sejak meninggalkan AF3.

Hakikatnya, anak muda ini bijak merencana masa depan terutama membabitkan kerjaya seninya. Barangkali ramai yang tidak tahu pada usia muda, Keifli mampu hidup selesa.

Selain bergelar pengusaha gerai makan, Prapp Street, di Taman Sri Rampai, Setapak, Kefli juga sibuk dengan pelbagai projek yang dirancang bersama Pertubuhan Pembangunan Belia Kuala Lumpur (selaku Ahli Jawatankuasa Bahagian Penerangan).

"Gerai makan ini saya usahakan bersama keluarga sejak tiga tahun lalu sebagai jaminan masa depan. Setakat ini, ia mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

"Selain gerai, saya juga sibuk dengan projek bersama belia iaitu Karnival Rakyat Muda yang akan berlangsung penghujung Februari ini, majlis Amal Santapan Diraja pada 14 Mac, projek My Usahawan (sepanjang tahun) dan projek Jambu Pak Cu 916.

"Terus terang, hidup saya selesa setakat ini. Saya juga merancang ingin membeli rumah dengan duit simpanan tahun ini. Pada masa sama, saya ingin menjual kereta Proton Perdana yang dimiliki kepada kereta yang lebih selesa," katanya.

Bekas duta Asterphone (telefon rumah dan pejabat) ini mengakui kelibatnya memang jarang kelihatan di majlis anugerah, sejak kebelakangan ini.

"Setiap kali ada majlis anugerah atau undangan sesi fotografi, saya terbabit dengan penggambaran drama. Selain itu, saya masih memenuhi undangan menyanyi untuk majlis korporat dan persendirian. Maklumlah, saya masih cari makan dengan menyanyi.

"Jika ada masa terluang, saya akan cuba meluangkan masa memenuhi undangan pihak tertentu. Contohnya, seperti menghadiri majlis perkahwinan Mawi, baru-baru ini," katanya.

Katanya, tawaran berlakon juga tidak pernah putus buatnya.



"Saya sedar AF sudah masuk musim ketujuh dan saya pula masih begini, hanya ada single saja. Tapi saya tidak cemburu dengan kejayaan bintang AF lain kerana percaya setiap orang ada rezeki masing-masing.



"Sebagai artis saya hanya rebut apa saja peluang depan mata. Justeru, saya sukar menolak tawaran berlakon yang datang sejak meninggalkan AF3 dulu. Saya baru selesai penggambaran drama arahan Adam Hamid dan Rashid Sibir serta penggambaran telefilem Ibu Sayang Alfi," katanya.

Mengenai kerjaya nyanyiannya pula, Keifli berkata, sejak keluar AF3, dia hanya muncul dengan satu single saja yang juga ciptaan Ajai.

"Saya juga merancang untuk tampil dengan single kedua dengan bajet sendiri. Perancangan untuk buat album memang ada tetapi terpaksa ditangguhkan dulu dalam kegawatan ekonomi sekarang," katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai hubungan 'teman tapi mesra' dengan teman seperjuangannya dalam AF, Marsha Milan Londoh, Kefli berkata, mereka masih berkawan rapat, sejak tiga tahun lalu.

"Sebagai teman rapat, saya juga ada mendengar gosip Marsha mengandung termasuk mengugurkan kandungannya. Saya juga terkena tempiasnya. Gosip itu tidak berasas sama sekali dan saya memberi sokongannya kepadanya untuk berhadapan dengan kontroversi panas itu.

"Saya tidak boleh mengulas lanjut sejauh mana hubungan kami sekarang kerana banyak aspek yang perlu diambil kira termasuk hati yang perlu dijaga membabitkan keluarga masing-masing. Kami jarang berjumpa kerana kesibukan tugas. Saya serahkan kepada Tuhan mengenai masa depan hubungan kami.

"Jika diikutkan saya merancang untuk menamatkan zaman bujang dengan gadis pilihan hati, selewat-lewatnya pada usia 30 tahun. Tapi semuanya ketentuan Tuhan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: