BINTANGNYA memang cukup bersinar tatkala ini. Tidak hairanlah mengapa namanya laris bak pisang goreng panas sehingga menjadi pilihan kebanyakan produser dan pengarah drama tempatan.
Seperkara yang istimewa mengenai Farahdhiya Mohd Amin atau Farah, 25, selain memiliki bakat semula jadi, gadis 'versatil' ini mempunyai personaliti luaran yang menarik serta bijak berkomunikasi.
Rangkuman semua elemen ini meletakkan Farah pada status tersendiri.
Mungkin kerana faktor itu juga membuatkan pihak Maestro Talent & Management Sdn Bhd tidak teragak-agak menyambarnya bernaung di bawah pengurusan syarikat yang ditubuhkan lebih tujuh tahun lalu
Akui Farah, ibarat orang mengantuk disorong bantal pelawaan Ketua Pegawai Operasi Maestro Talent and Management, Freddie Fernandez disambut dengan baik.
"Sebab utama saya bersetuju menyertai Maestro, tentunya kerana hubungan baik yang sudah terjalin sebelum ini. Saya percaya sebagai syarikat berpengalaman Maestro dapat memacu karier seni saya setapak lagi ke depan daripada mana kedudukan saya sekarang ini.
"Selain itu, saya sangat selesa dan senang berurusan dengan Maestro dan diharapkan peluang bekerja dengan pasukan yang bagus dan terlatih seperti mereka dapat meningkatkan prestasi seni saya.
"Bersama Maestro juga saya mengharapkan peluang menghasilkan album dan kembali aktif dalam bidang nyanyian," katanya.
Bertempat di pejabat urusan Maestro Talent & Management Sdn Bhd di 23-3, Jalan Medan Setia 1, Plaza Damansara, Bukit Damansara, Selasa lalu, satu majlis menandatangani kontrak diadakan antara Farahdhiya dengan pihak Meastro yang diwakili Freddie Fernandez .
Perjanjian selama tiga tahun itu secara rasminya mengumumkan Farahdhiya sebagai artis naungan Maestro. Majlis sederhana itu turut disaksikan bapa Fara, Mohd Amin Zubir, 57.
Empat tahun menguruskan kerjaya seni sendirian sambil dibantu ahli keluarga, satu tempoh yang cukup menguji namun mematangkan, Farahdhiya.
Setiap penat lelahnya dulu kini dirasakan berbaloi apabila bakatnya diberi perhatian khususnya dalam bidang lakonan walaupun si cantik manis ini terlebih dulu mencipta nama dalam nyanyian.
Pun begitu, akui Fara dengan bebanan kerja sejak kebelakangan ini dia sudah tidak mampu menanggung beban sendirian, malah tidak mahu menyusahkan keluarganya yang selama ini banyak membantu.
Bagaimanapun, ada yang menganggap Fara melakukan satu kesilapan yang besar apabila menyertai Maestro. Ekoran timbul pelbagai rungutan sebelum ini, Meastro mengabaikan ramai artis naungannya yang rata-rata dinaungi bintang Akademi Fantasia.
"Memang ramai yang cakap macam-macam sewaktu saya maklumkan hasrat menyertai Meastro kepada beberapa teman, tetapi itu pandangan masing-masing namun saya percaya Freddie akan tolong orang yang kuat berusaha.
"Lagipun, saya bukannya terus tandatangan kontrak tanpa usul periksa. Saya sudah lama mengenali Freddie, malah dia juga sering menolong saya dengan memberi peluang membuat persembahan.
"Atas dasar hubungan baik itulah membuatkan saya percaya pada kewibawaan Maestro. Bahkan terus-terang saya katakan, saya punya gerak hati yang baik berhubung hal ini. Justeru, cakap-cakap orang tidak penting kerana saya jenis yang fokus pada kerja," katanya.
Ditanya, sama ada dia pernah menerima tawaran dari syarikat rakaman lain, akui Fara tawaran sering bertandang namun tiada satu pun berjaya meyakinkannya.
"Ada, tetapi entah mungkin saya tiada hati. Apabila bercakap dengan seseorang kita tahu sama ada mereka itu jujur ataupun tidak," katanya.
Sementara itu, Freddie menjelaskan Maestro tertarik menyunting Faradhiya sebagai artis rakaman kerana melihat potensi yang ada pada gadis kacukan itu.
"Pertama kali saya dengar Farahdhiya menyanyi ketika dia terbabit dalam satu persembahan di Ipoh pada 2007.
"Semasa menyampaikan lagu Bertakhta Di Hati, saya berada di belakang pentas jadi saya tidak tahu siapa yang sedang menyanyi di depan, tetapi suara sangat bagus dan bertenaga. Apabila saya ke depan, rupa-rupanya penyanyi lagu itu adalah Farahdhiya.
"Kagum dengan bakat yang dimiliki, saya terus memberikan peluang sehinggalah suatu hari saya bertanya sama ada dia berminat menjadi artis rakaman Maestro supaya kami dapat jalankan tugas promosi album memandangkan saya tahu syarikat rakamannya tidak lagi aktif.
"Seperti yang kita tahu juga, Faradhiya antara pelakon muda yang cukup berjaya dalam lakonan buktinya, proses rakaman albumnya beberapa kali tergendala kerana dia terlalu sibuk dengan penggambaran drama," katanya.
Freddie menambah, sebagai permulaan pihaknya akan menerbitkan album pembungkusan semula yang memuatkan enam lagu dipetik dari album keduanya yang diterbitkan NAR Records serta dua lagu baru.
"Masa album kedua dilancarkan banyak lagunya yang sedap-sedap, tetapi tidak dapat perhatian stesen radio. Justeru Maestro merasakan ia satu pembaziran.
"Kemudian kami berbincang dengan wakil dari syarikat rakaman NAR Records untuk memuatkan lagu dari album kedua ke dalam album 'repackage' ini dan kami akan berkongsi dari segi penjualan.
"Diharapkan, dengan kemunculan album baru ini nama dan popularitnya kembali menyerlah dalam nyanyian," katanya.
Setakat ini, Faradhiya sudah merakamkan satu lagu baru iaitu Rasa Cinta yang menjadi lagu tema, drama bersiri Ku Milikmu, manakala Renyai hasil ciptaan Tam Spider akan dirakamkan sekitar April.
Fara turut ditanya mengenai perancangan 2009 sama ada dia akan terus aktif dalam bidang lakonan atau memberi sepenuh tumpuan pada nyanyian.
"Tahun 2009 ini bukan saya kata tidak mahu berlakon apatah lagi ia sudah sebahagian periuk nasi saya walaupun dulu tidak pernah terfikir akan menceburi bidang ini.
"Namun selepas mencuba saya jadi minat pula. Cuma saya terpaksa kurangkan berlakon kerana mahu beri tumpuan pada pembikinan dan promosi album.
"Sekarang ini saya sedang selesaikan penggambaran Spa Q 2, Ku Milikmu selain terikat dengan sebuah lagi projek," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: