![]() |
| |
Seingat saya kali terakhir kita jumpa kira-kira enam tahun lalu ketika To'ki masih dengan isteri pertama. Apa jadi hidup To'ki hari ini?
Masa itu kita jumpa di Cheras. Dekat restoran bekas isteri saya. Dia yang berniaga. Tapi saya dah lama dah bercerai dengan dia (Roziah Atan). Anak-anak pun ada dengan dia. Sebelum bercerai tu saya ada seorang lagi isteri. Mereka bermadulah. Tapi akhirnya dua-dua cerai. Masa dengan isteri kedua tak ada anak. Sekarang ni saya kahwin lain. Perkahwinan ketiga. Dapat seorang anak. Hidup bahagia dengan bini ketiga ni. Dia faham dan tak kisah walaupun macam-macam cerita buruk orang kata pada saya.
Ada jumpa anak-anak?
Nak jumpa macam mana bekas bini pertama saya tak bagi anak-anak jumpa saya. Mungkin dia orang ingat saya ni jahat sangat. Sebab itulah anak-anak pun takut nak jumpa. Tapi anak dengan ayah, walau macam mana pun ikatan tu tak akan putus. Tengoklah macam mana keadaannya nanti. Tapi saya memang sayangkan anak-anak.
Apa To'ki buat sekarang?
Saya ada studio rakaman. I Touch Entertaiment di Taman Bolton, Gombak. Saya kongsi dengan Lan A To Z dan Mazni (bekas pemain keyboard kumpulan Kiara). Kami banyak buat projek untuk lagu-lagu iklan. Banyak la juga projek kami dapat. Adibah Noor pun buat rakaman studio kami. Baru-baru ni dapat projek Tabung Haji. Okey la. Menjadi jugalah setakat ini.
Apa cerita ni? Dengar berita yang tak elok. Orang kata To'ki kepala gangster.
Entahlah. Saya tak pernah kacau orang pun. Tapi macam-macam pula benda jadi pada saya. Tak apalah, saya anggap semua benda tu ada hikmahnya. Lagipun album saya dah nak keluar. Mungkin ramai yang tunggu-tunggu. Yalah album "orang jahat"!
Pasal kumpulan gangster ni. Betul ke To'ki ada masuk mana-mana pertubuhan haram?
Dulu saya ada masuk Pekida (Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah). Saya pegang biro kesenian dan kebudayaan. Tapi bila kecoh macam-macam hal berlaku pasal saya, saya buat keputusan keluar dari pertubuhan tu pada tahun 2005.
Sekarang ni ada masuk mana-mana pertubuhan tak?
Tak. Saya lebih suka melepak di studio. Buat lagu dan habiskan masa saya dengan kerja-kerja yang berfaedah. Tapi saya tak nafikan saya ada ramai kawan. Lagipun saya ni artis, pergi mana-mana pun orang kenal.
Kes kena tahan di Taman Samudera, Gombak tahun lepas tu macam mana? Katanya To'ki jadi dalang pergaduhan tu?
Itu yang saya hairan? Kisahnya macam ni. Saya nak pergi kenduri kahwin. Sebelum tu saya singgah di satu restoran di taman itu. Masa nak makan, datang dua orang tegur saya. Saya pun suruh dia orang makan semeja. Yalah, saya artis, dia orang kenallah. Lagipun budak dua orang tu memang saya pernah jumpa pun. Masa duduk makan, tiba-tiba ada sekumpulan orang datang serang meja makan kami. Rupa-rupanya kumpulan yang serang itu ada kes dengan budak yang duduk semeja dengan saya. Dia orang bergaduh, bertumbuk. Saya kata apa dah jadi ni? Tiba-tiba polis datang, ada sesetengah tu lari. Saya tak lari sebab saya tak salah. Kalau lari pun nak lari mana? Orang kenal saya ni To'ki. Geramnya salah seorang yang kena tangkap tu kata saya dalang. Polis pun gari sayalah. Saya terpaksa merengkok dalam lokap empat hari tapi lepas dengan jaminan polis.
Rasa marah tak?
Geram jugalah. Orang lain buat salah, saya yang kena. Nama saya jadi buruk sebab kes tu. Saya harap orang yang buat report polis tu dapat tarik balik report dia. Yalah, saya tak salah.
Ada kesan tak gara-gara kes tu?
Ada juga. Dua show saya terpaksa batal. Dia orang tak nak ambil saya menyanyi sebab kes tu. Yalah, nama buruk. Pada hal orang tak tahu kisah sebenar. Saya sedih juga tapi saya anggap tak ada rezeki. Mungkin ada hikmahnya. Saya percaya pada satu benda saja. Tuhan turunkan kifarah sebab nak hapuskan dosa kita. Lepas tu dia naikkan darjat kita balik. Saya kena banyak bersabarlah.
Bagaimana dengan masyarakat?
Masyarakat yang tak kenal siapa saya, bila dia orang jumpa dia orang ingat saya ni penyamun. Dia orang ingat saya ni kerja "pau" orang sana-sini. Ada sesetengah tu bila nampak saya dia orang kunci kereta. Tapi saya tak salahkan mereka pun. "Penyamun" memanglah orang takut.
Sebenarnya To'ki seorang yang macam mana?
Kalau orang tak kenal saya, mereka memang anggap saya ini jahat. Sebenarnya saya ni seorang yang low profile. Saya suka didik orang jadi baik dan tak suruh mereka tinggalkan sembahyang. Sekarang ini pun masa saya banyak habiskan di studio. Kalau ada sesiapa yang nak jumpa datang sajalah ke studio. Kehidupan saya sekarang ini sederhana. Saya tak malu nak ceritakan yang saya pakai kereta Kancil saja.
Apa perancangan To'ki selepas ni?
Saya nak hasilkan album. Sekarang baru siap dua buah lagu. Dalam tahun ni album akan siap edaran NSR. Saya tahu ramai peminat yang tertunggu-tunggu album irama Malaysia saya ini. Kalau ada sesiapa yang nak panggil saya buat persembahan tu jangan takutlah. Saya bukan orang jahat. Baru-baru ni saya ada buat show di Balai Polis Gombak. Polis-polis semua suka tengok saya menyanyi.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: