Thursday, January 22, 2009

Rihanna teruja ke KL


SEBELUM ini kontroversi membabitkan penganjuran konsert Beyonce Knowles di Kuala Lumpur timbul apabila pemenang lima anugerah Grammy bagi kategori R&B Pop itu enggan mematuhi garis panduan yang ditetapkan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

SEBELUM ini kontroversi membabitkan penganjuran konsert Beyonce Knowles di Kuala Lumpur timbul apabila pemenang lima anugerah Grammy bagi kategori R&B Pop itu enggan mematuhi garis panduan yang ditetapkan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Perkara itu menyebabkan bintang yang kini ‘hangat’ dengan lagu If I Were A Boy, menarik diri daripada meneruskan konsertnya di sini dan memilih Jakarta, Indonesia sebagai lokasi ganti.

Isu penarikan diri itu turut mendapat liputan meluas termasuk di tanah kelahiran Beyonce, Amerika Syarikat dan disiarkan Entertainment News (E! News).

Konsert seorang lagi pemenang anugerah Grammy yang kini semakin mencipta nama, Robyn Rihanna (Rihanna) Fenty, 21, di Kuala Lumpur, pada 13 Februari, jam 8.30 di Stadium Putra Bukit Jalil dibimbangi akan mengalami nasib sama.

Rihanna memilih Kuala Lumpur sebagai salah satu lokasi untuk rangka konsert jelajahnya bagi siri kedua.

Sebelum ini dalam jelajah konsert siri pertama, penyanyi yang mula melonjak namanya menerusi lagu Umberella itu membatalkan konsertnya di Jakarta dan hanya melakukan persembahan selama 45 minit di Singapura.

Bagaimanapun dalam sidang akhbar bagi mengumumkan kerjasama dijalin penganjur, Pineapple Concerts Sdn Bhd (PCSB) bersama Celcom X-Pax selaku penaja rasmi, mereka menyatakan perkara itu tidak mungkin berlaku berdasarkan maklum balas diberikan agensi pengurusan konsert penyanyi itu.

Pengarah Urusan PCSB, Razman Razali, berkata kod etika yang harus dipatuhi penyanyi itu untuk mengadakan konsert di sini sudah dihantar kepada agensi pengurusan konsert penyanyi berasal dari Bahamas itu dan ia nampaknya positif.

“Rihanna menerimanya dengan hati terbuka dan tidak ada sebarang bantahan atau ketidakpuasan hati dinyatakan kepada pihak kami. Rasanya masalah terbabit tidak mungkin berlaku berdasarkan perjanjian awal diberikan.



“Namun saya enggan memberikan komen mengenai apa yang berlaku pada masa akan datang tetapi daripada maklum balas, Raihanna menyatakan perasaan terujanya untuk datang ke sini dan menghiburkan peminatnya,” katanya.



Menyentuh mengenai pembatalan konsert penyanyi itu di Jakarta, akhir tahun lalu yang dibuat pada saat akhir, jelas Razman, ia berlaku atas nasihat kerajaan Amerika Syarikat memandangkan keadaan tidak menentu di sana waktu itu.

“Tidak salah saya, pada tarikh konsert Raihanna dijadualkan berlangsung, hukuman terhadap pesalah pengeboman di Bali turut dilakukan. Ia menimbulkan kebimbangan kepada Amerika, sekali gus menasihati penyanyi itu agar membatalkan konsert dirancang,” katanya.

Menurut Razman, walaupun kaunter tiket baru saja dibuka tetapi jualannya cukup memberangsangkan dan hingga kini, suku daripada kapasiti jumlah penonton dewan stadium sudahpun dijual.

Sebagai penaja rasmi konsert ini, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Malaysia Berhad, Datuk Seri Shazalli Ramly menjelaskan, pelbagai promosi sudah diatur, sekali gus memberi peluang kepada pengguna X-Pax untuk mendapatkan tiket dengan harga rendah.

“Kepada pengguna X-Pax, mereka berpeluang membeli tiket konsert dengan potongan harga sebanyak 30 peratus.

“Apa yang perlu mereka lakukan, mendaftar menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip REGRIH dan hangat ke 28881. Apabila menerima maklum balas, mereka harus membeli isian semula dengan harga RM10 dan seterusnya membolehkan mereka menerima baucar potongan harga.

“Selain itu, pelbagai lagi aktiviti promosi dan peraduan dibuat iaitu pengguna bertuah seramai 400 orang berpeluang menyambut ketibaan Rihanna di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Mereka juga boleh mengiringinya ke hotel tetapi lokasinya saya harus rahsiakan buat masa ini. Apa yang boleh saya katakan, dengan kerjasama dilakukan, Rihanna akan berasakan disambut seperti puteri oleh peminatnya di sini tanpa pengetahuannya.

“Lebih menarik, sehari sebelum konsert berlangsung, satu sidang media khas akan berlangsung. Saya turut diberi ruang untuk berucap, namun saya mahu memberikan waktu saya membuat ucapan itu kepada peminat bertuah.

“Mereka yang terpilih akan tampil menggantikan saya dan ucapkanlah apa juga yang mahu diluahkan kepada penyanyi kesayangan mereka itu,” katanya.

Peminat boleh mendapatkan tiket untuk menyaksikan persembahan Rihanna dengan harga RM128, RM158, RM198, RM288 dan RM328 di www.axcess.com.my atau di semua cawangan Axcess.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: