Thursday, January 22, 2009

Baru 3 tahun tapi cemerlang


BIARPUN baru beroperasi hampir tiga tahun, stesen televisyen TV9 berjaya menunjukkan peningkatan tersendiri. Paling ketara TV9 yang bakal menyambut ulang tahun April ini pantas meraih kedudukan kedua untuk program Melayu di belakang TV3.

Kajian menunjukkan pencapaian memberangsangkan TV9 menerusi beberapa program sama ada dalam atau luar negara. Selain program hiburan dan realiti televisyen yang menjadi tarikan tersendiri, siri drama dan program kanak-kanak turut mendapat perhatian.

Malah program realiti kelolaan stesen televisyen yang bernaung di bawah Media Prima itu berjaya meraih 7.3 peratus (1,376,292) jumlah penonton program akhir Pencarian Gadis Melayu yang disiarkan 15 Januari lalu. Jumlah penonton tertinggi pada waktu siaran yang sama itu mengatasi program televisyen tempatan.

Majlis memperkenalkan program dan pelancaran logo baru stesen televisyen itu berlangsung dengan penuh warna-warni di Menara Kuala Lumpur, kelmarin.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Abdul Rahman Ahmad, berkata di samping beberapa strategi khusus untuk memantapkan stesen itu pihaknya turut mensasarkan jumlah penonton lebih besar pada masa akan datang.

“Pelancaran program ini sebahagian daripada usaha memantapkan jenama stesen televisyen yang menduduki tempat kedua untuk program Melayu itu. Logo lama masih dikekalkan. Cuma aplikasi logo kini dipelbagaikan dengan warna yang lebih ceria dan menarik mengikut kesesuaian program.

“Kami masih mengekalkan beberapa program sedia ada. Namun, memberi penekanan penyiaran program baru yang lebih menarik seperti Apa Ke Halnya dan Chopp! yang kami pasti mampu menjadi tarikan utama untuk stesen itu. Seperti sedia maklum TV9 juga ada kejayaan dan mempunyai rekod tersendiri sepanjang beroperasi.

“Setakat ini stesen televisyen berkenaan mempunyai sehingga 90 peratus program bahasa Malaysia. Dengan kandungan 50 peratus produk tempatan ia tentunya peratusan yang amat tinggi pada usia stesen televisyen yang baru mencecah tiga tahun,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi TV9, Bukhari Che Muda bersyukur kerana program dalaman yang dianjurkan pihaknya turut mendapat sambutan yang menggalakkan biarpun hanya membabitkan beberapa program utama.

“Setiap program dalaman yang lebih dekat kepada masyarakat menerima sambutan positif daripada pelbagai pihak. Begitu juga program anjuran kami seperti Sua Rasa dan Apa Khabar Orang Kampung (Akok) yang mempunyai tarikan tersendiri. Dua program ini mempunyai sasaran berbeza.



“Bagi Sua Rasa, ia membabitkan sasaran dan konsep lebih besar manakala Akok pula memberikan peluang penonton khususnya di kawasan perkampungan mengenali dengan lebih dekat stesen kami. Di samping dua program itu, kami turut menyertai aktiviti Jomheboh,” kata Bukhari.



Turut hadir pada majlis itu, selebriti tempatan seperti pelukis dan pelakon, Imuda, peserta Gadis Melayu, Nurul Khusna Uma dan Nur Aishah Zainal. Penonton turut dihiburkan dengan persembahan Faizal Tahir, peserta Gadis Melayu dan juara Idola Kecil, Wan Syuhada Amir Hamzah atau Wada serta Ridzuan Haqiem Rusli (Haqiem)

Stesen televisyen yang popular dengan tagline, Dekat Di Hati itu memberi tumpuan kepada penghasilan program kanak-kanak berusia di antara 4 hingga 14 tahun, remaja dan belia bekerja dalam lingkungan 15 hingga 24 tahun dan pasangan keluarga muda usia 25 hingga 34 tahun.

Di samping memperbanyakkan program berbentuk hiburan berinformasi dengan pembabitan selebriti popular seperti menerusi Studio Nabil yang dikendalikan Nabil (Raja Lawak) dan Sharifah Shahirah selain program hiburan Hip TV dan Chopp! program yang memberikan informasi terkini menampilkan pelakon, Ikram Dinzly, Sari Yanti, Aidi Marcello, Scha dan Irma Hasmie.

Selain program hiburan seperti Galaksi dan Filem Di 9, program bual bicara terbaru, Apa Ke Halnya menampilkan Shamsul Ghau Ghau, Din Beramboi dan Mr Os yang disiarkan pada hujung minggu. Program berkenaan turut diserikan dengan penampilan istimewa juara Gadis Melayu, Khairul Noormaidah Zali sebagai hos bersama pada setiap Ahad.

Stesen televisyen itu turut popular dengan program kanak-kanak seperti Pondok-Pondok yang dikendalikan Nabil, program gameshow, Hartamania yang menyaksikan gandingan Adruce dan Nabil. Program menguji minda, Siapa Pintar yang diacarakan Alif (One In A Million) serta Rocketman menampilkan angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muzaphar Shukor.

Bagi sitkom komedi, TV9 tentunya cukup popular menerusi siri Bong, Nana Tanjung dan Si Luncai. Terbaru penonton turut dihidangkan sitkom lucu, Otai The Series yang diterajui pelakon dan pelawak terkenal, Saiful Apek. Drama dari negara seberang turut mendapat sambutan hebat daripada penonton seperti Jula Juli dan Mahsuri.

TV9 turut terkenal dengan program realitinya tersendiri seperti Akademi Nasyid, Akademi A-Quran, Gadis Melayu serta Idola Kecil. Terbaru TV9 turut menyiarkan program terbaru Oh La La yang menampilkan bakat hiburan remaja berusia 13 hingga 18 tahun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: