Wednesday, January 14, 2009

Pencarian idola Amerika kembali


BARISAN juri American Idol musim kelapan (dari kiri), Randy Jackson, Kara DioGuardi, Simon Cowell dan Paula Abdul bersama hos, Ryan Seacrest.


RANCANGAN pencarian bakat baru dalam bidang nyanyian paling popular di dunia, American Idol kini kembali menggegarkan kaca televisyen anda apabila musim kelapan rancangan itu akan mula ditayangkan hari ini.

Seperti mana lima musim yang lalu, penonton setia saluran Star World (saluran 711, Astro) menjadi mereka yang begitu bertuah kerana akan dapat menyaksikan American Idol musim kelapan (AI8) secara langsung dan eksklusif.

Apa yang menariknya, tahun ini menyaksikan lebih banyak aksi dan gelagat peserta yang mencuba nasib dalam menuju ke puncak kejuaraan seperti mana tujuh juara AI yang terdahulu.

Berbeza dengan tujuh musim lalu, kali ini juga menyaksikan perubahan drastik yang ditampilkan oleh penerbit eksekutif AI, Ken Warwick dalam usaha memberikan variasi kepada rancangan yang paling ramai ditonton di seluruh dunia itu.

Jika sebelum ini hanya tiga juri yang ditampilkan iaitu Randy Jackson, Paula Abdul dan si mulut lancang, Simon Cowell diberi tanggungjawab untuk mengkritik dan memilih mereka yang berbakat untuk mengejar gelaran juara AI, namun angka itu berubah menjadi empat.

Kara DioGuardi yang merupakan komposer yang pernah dicalonkan untuk Grammy sebelum ini dilantik menjadi juri keempat dalam memberikan warna kepada rancangan ini.

"Bagus juga untuk menampilkan juri keempat yang terdiri daripada kaum wanita kerana Kara dan Paula boleh bergabung untuk mencantas segala kata-kata dan pendapat yang diberikan oleh Simon (ketawa).

"Pemilihan Kara bukanlah sembarangan kerana dia seorang yang begitu berbakat serta mempunyai pandangan dan visinya yang tersendiri. Tambahan pula, dia masih lagi muda dan juga seorang penyanyi yang bagus," kata Ken.

Pengenalan empat juri itu sememangnya sudah lama dirancang sejak kali pertama AI diperkenalkan pada tahun 2003 tetapi ketika itu, pihak penerbit mahu melihat bagaimana kolaborasi tiga juri untuk rancangan tersebut.

"Ternyata tiga juri memberikan impak yang cukup besar dan dengan adanya seorang lagi juri, saya percaya ia akan membuatkan AI menjadi lebih menarik serta memberikan kelebihan kepada penonton dan juga peserta," jelas salah seorang penerbit eksekutif AI, Cecile Frot-Coutaz pula.

Selain itu, minggu Hollywood yang sering kali diadakan di Pasadena, California akan berubah tempat musim ini apabila minggu yang penuh mendebarkan itu akan diadakan di pentas paling berprestij iaitu Kodak Theatre, Hollywood.

Cabaran

"Ini adalah untuk memberikan satu suntikan baru kepada peserta agar mereka dapat membiasakan diri dengan cabaran yang menanti mereka. Mungkin ada yang berani menyahut cabaran dan tidak kurang pula ada yang tidak dapat melakukan yang terbaik. Jadi, inilah masanya," kata Ken lagi.

Selain itu juga, tambah Ken lagi, episod uji bakat AI kali ini juga akan dikurangkan kepada seminggu untuk memberi laluan kepada minggu Hollywood ke udara untuk dua minggu berturut-turut.

"Minggu Hollywood selalunya mendapat rating yang cukup tinggi dan pastinya, penonton mahu melihat bagaimana reaksi peserta yang mendapat peluang ke peringkat seterusnya," ujarnya lagi.

Peminat setia AI pastinya cukup mengetahui tentang format AI apabila ada minggu tema yang ditetapkan dan peserta yang berjaya dikehendaki menyanyikan lagu mengikut tema tersebut.

Jika sebelum ini, beberapa artis ternama yang merupakan artis senior dalam industri hiburan Hollywood diundang untuk memberikan inspirasi dan menjadi mentor kepada peserta, musim ini akan berlaku sebaliknya.

"Kali ini kami akan menjemput beberapa penyanyi muda yang berjaya untuk berkongsi pendapat dengan para peserta. Mereka yang berjaya dalam bidang seni ini seharusnya diangkat dan dijadikan panduan oleh bakal bintang ini dalam merealisasikan impian mereka," kata Ken.

Bagi mereka yang mengikuti rancangan ini dari awal, seramai 24 peserta akan terpilih pada peringkat separuh akhir sebelum 12 peserta dipilih ke peringkat Top 12.

Namun kali ini, bagi memberikan pembaharuan kepada konsep AI, angka itu akan bertambah menjadi 36 orang peserta yang bertanding dalam peringkat separuh akhir.

"Mereka akan dibahagikan kepada tiga kumpulan berbeza yang terdiri daripada enam lelaki dan wanita yang akan membuat persembahan selama tiga minggu berturut-turut.

"Peserta lelaki dan wanita yang mendapat undian tertinggi di samping mereka yang berada di tempat ketiga akan terus melayakkan diri ke peringkat Top 12.

"Lebihan tiga peserta lagi akan dipilih menerusi pusingan wild card yang akan kembali untuk musim ini," jelasnya lagi.

Tambahnya lagi, peminat AI pasti akan terhibur dengan penayangan aksi dan gelagat para peserta yang dirakamkan di belakang pentas sebagaimana rancangan realiti lain sebelum ini.

Untuk itu, jangan lepaskan peluang menyaksikan American Idol musim kelapan yang ditayangkan setiap hari Rabu dan Khamis bermula hari ini (14 Januari) pukul 6 petang secara eksklusif di saluran Star World (saluran 711, Astro).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: