Wednesday, January 14, 2009

Dua remaja memburu impian


Stacy menggalas tanggungjawab besar dalam menghadapi Anugerah Juara Lagu Ke-23 Ahad ini.


MENGIKUT perancangan awal, fotografi ini sepatutnya menggandingkan tiga penyanyi baru yang pertama kali berjaya melangkah ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu Ke-23 (AJL23) yang akan berlangsung 18 Januari ini di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Mereka yang dimaksudkan adalah Farawahida yang mewakili kategori Etnik Kreatif menerusi lagu Persoalan Cinta, Stacy dengan lagu Aku Stacy yang bertanding dalam kategori Pop Rock dan serta lagu Hanya Di Mercu nyanyian Ayu yang mewakili Balada.

Setiap yang dirancang itu sememangnya sudah ditentukan oleh Yang Maha Esa dan begitu juga dengan fotografi ini apabila Ayu terpaksa membatalkan temu janji pada saat akhir kerana telah dimasukkan ke hospital akibat jangkitan kuman pada tekaknya.

Namun begitu, fotografi ini diteruskan juga dengan Farawahida atau mesra disapa sebagai Fara dan Stacy yang ternyata teruja untuk membicarakan tentang penglibatan mereka dalam AJL23.

Meskipun hanya menggalas tanggungjawab sebagai penyanyi untuk lagu yang bertanding, namun, baik Stacy dan Fara, kedua-duanya tidak mahu persembahan mereka pada malam gilang-gemilang itu bagaikan melepaskan batuk di tepi tangga sahaja.

Selain berdebar menghitung hari ke tarikh 18 Januari, Fara dan Stacy kini giat berlatih untuk memberikan persembahan yang terbaik demi kepuasan peminat mereka serta memikat hati juri yang akan mengadili persembahan mereka untuk dinobatkan sebagai Persembahan Terbaik.

Stacy janji persembahan hebat

SIAPA sangka, hanya beberapa bulan dinobatkan sebagai juara Akademi Fantasia musim keenam, rezeki Stacy cukup murah apabila single pertamanya, Aku Stacy berjaya mara ke peringkat akhir AJL23.

Menyifatkan apa yang berlaku sebagai tuah untuk dirinya dan juga komposer dan penulis lirik lagu berkenaan iaitu Intan Norul Azlin dan Layla Ismail, anak kelahiran Sabah ini menjanjikan satu persembahan yang mampu membuka mata ramai pihak yang sebelum ini yang menidakkan bakatnya.

“Bukanlah saya mahu rasa diri saya bagus atau berlagak tetapi saya agak sedikit kecewa kerana ada beberapa pihak yang seperti tidak mempercayai akan bakat saya.

“Dengan maranya saya ke peringkat akhir ini, ia sekali gus membuktikan bahawa artis yang lahir daripada pertandingan realiti juga mampu membuktikan bukan semua yang tidak berbakat,” jelas Stacy membuka bicara.

Untuk kategori Pop Rock, Aku Stacy akan bersaing hebat dengan empat buah lagu lain iaitu Kalis Rindu nyanyian Elyana, Lagu Untukmu (Meet Uncle Hussein), Yang Pernah (Estranged) dan Bukan Di Sini (Sofaz).

Malah, sepanjang sesi temu ramah ini berlangsung, ucapan syukur juga tidak lepas dari bibir mungil Stacy.

“Saya bagaikan tidak percaya apabila nama saya diumumkan ke peringkat akhir dan lebih manis lagi, hanya saya dan Elyana sahaja penyanyi wanita dalam kategori ini.

“Jujurnya, memang saya akui persaingan memang cukup hebat dari peringkat separuh akhir lagi kerana semua lagu yang bertanding memang kuat. Apatah lagi dengan menyertai AJL, ia memang bagaikan satu mimpi yang tidak pernah saya fikir akan menjadi realiti.

“Dulu, saya hanya menontonnya menerusi kaca televisyen tetapi, kali ini, saya pula yang akan membuat persembahan di pentas penuh prestij ini,” jelas Stacy.

Demi memberikan persembahan yang penuh energetik pada malam itu nanti, kini, Stacy giat berlatih dan apa yang menariknya, abangnya sendiri, Chaq bertindak sebagai koreografer selain daripada beberapa orang kawannya yang turut akan mengiringi persembahannya nanti.

Tidak dinafikan, pesona dan karisma Stacy atau nama sebenarnya, Stracie Angie Anam di pentas memang cukup menyerlah apatah lagi bila menyampaikan lagu rancak yang disulami dengan tariannya.

“Memang sukar dan mencabar sekali apabila perlu menyanyi sambil menari dan ia memerlukan stamina yang cukup tinggi agar suara kita tidak akan kedengaran tercungap.

“Untuk itu, saya sendiri memperbanyakkan senaman dengan berjoging agar dapat mengekalkan stamina saya itu. Selain itu juga, saya sering mendapatkan khidmat nasihat daripada rakan-rakan untuk memperbaiki lagi mutu nyanyian saya,” jelasnya yang kini semakin popular dengan lagu Gagap.

Jangan pinggirkan muzik etnik – Farawahida

SATU-SATUNYA wakil wanita tunggal menerusi kategori Etnik Kreatif, Farawahida Razali atau Farawahida juga tidak menyangka percubaan kali keduanya dalam kategori ini membuahkan hasil.

Tahun lalu, lagunya Lagu Penglipurlara mara ke peringkat separuh akhir kategori yang sama namun, ternyata tahun ini rezeki berpihak kepada penyanyi berkulit hitam manis ini menerusi lagu Persoalan Cinta.

Menyifatkan lagu Persoalan Cinta begitu unik dari segi gubahan serta melodinya, jelas Farawahida atau Fara, dia mahu memberikan satu kelainan kepada peminat dan penonton AJL tatkala namanya begitu sinonim dengan muzik pop dan balada.

“AJL adalah pentas yang cukup besar dan kita boleh lihat bagaimana impak yang terhasil kepad artis yang pernah menyertainya sebelum ini. Lihatlah sahaja bagaimana Estranged kini menjadi satu nama yang besar hanya kerana AJL.

“Bohonglah kalau saya kata saya tidak mahu menang tapi saya sedar, ini semua soal rezeki. Kalau menang, sekiranya saya dapat mengumpul peminat yang baru pun sudah memadai buat saya,” katanya tersenyum manis.

Tambah Fara lagi, keunikan Persoalan Cinta juga terletak kepada muziknya yang disulami dengan muzik tradisional Cina, erhu yang cukup berbeza dengan apa yang dipersembahkannya sebelum ini.

Bercerita tentang konsep persembahannya, sambil tersenyum, Fara enggan memberitahu lebih lanjut tentangnya.

“Kalau cerita lebih, tak seronoklah nanti. Tunggu sahaja malam itu nanti. Memang lain daripada lain,” katanya ketawa kecil.

Persoalan Cinta yang dicipta oleh Julfekar manakala liriknya hasil nukilan Ku Seman dan Izza Rosley itu perlu berdepan dengan lagu Doa Dalam Lagu nyanyian Zahid dan Heliza serta Dusta Berkalang (Aiman) untuk dinobatkan sebagai Juara Etnik Kreatif.

Sebagai penyanyi angkatan baru, terselit juga kekecewaan di hati penyanyi kelahiran Taiping, Perak ini apabila lagu etnik semakin dipinggirkan berbanding 10 tahun lalu.

“Apa yang dilakukan oleh pihak TV3 sememangnya wajar dipuji kerana dengan adanya kategori ini, ia mampu memberikan semangat kepada pencipta tempatan untuk terus menghasilkan lagu etnik.

“Tetapi, kalau boleh jangan dihadkan penyertaannya untuk ke peringkat akhir kerana ia juga boleh mematikan impian komposer untuk mencipta lagu sebegini.

“Jika kita lihat sekarang, muzik etnik semakin berkembang dan diterima dengan cukup baik kerana kebanyakan pencipta sudah berani bereksperimen untuk menghasilkan lagu yang mempunyai sentuhan yang lebih segar,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: