
JIKA dulu, di mana ada bayang Ning Baizura, di situ jua adanya Nikki atau nama sebenarnya Nicollette Louisa Palikat. Hubungan akrab yang terbina umpama kakak dan adik itu bagai direstui oleh segenap peminat mereka berdua.
Malah Nikki tanpa segan mengakui Ning antara kekuatan untuknya terus berada dalam industri seni dan kerana Ning jugalah namanya mula dikenali dan berkekalan sehingga hari ini.
Namun, kerukunan kerja mereka di bawah label Artiste United Records (AUR) yang suatu ketika dulu milik bersama Ning Baizura dan Vernon Kedit-Jolly bertukar kecoh seketika apabila Ning menarik diri dan memberi hak sepenuhnya kepada Vernon untuk mengurus AUR.
Nikki yang mengakui sedih dengan perpisahan itu, bagaimanapun menyifatkannya sebagai satu langkah positif untuknya cuba berdikari daripada mengharapkan bantuan orang lain kerana menyedari bukan selamanya dia akan terus dibantu.
"Saya rasa inilah masa terbaik untuk saya buktikan yang saya boleh berdiri dengan usaha saya sendiri. Kalau cakap saya tidak sedih dan rindu dengan situasi kerja dulu bohonglah, memang saya rindu tetapi kehidupan harus diteruskan.
"Walaupun saya dan Kak Ning tidak lagi sebumbung, bukannya hubungan kami terputus terus. Kami masih berhubung melalui telefon dan masih berjumpa tetapi tidaklah sekerap dulu dan saya menerima keadaan ini dengan baik," ujarnya.

Tambah gadis berusia 23 tahun itu lagi, mentornya itu juga sering berpesan kepadanya untuk terus bersemangat dalam melakukan apa jua pekerjaan. Meskipun terpisah hubungan rapat mereka tidak akan terlerai.
"Saya rasa selesa kerana diuruskan dengan baik oleh Vernon dan Kak Ning juga masih merupakan tempat saya meluahkan masalah, dia tetap penasihat saya. Segala ilmu yang dicurahkan akan saya praktikkan dengan baik apabila saya bergerak sendiri.
"Memang ramai orang ingat saya seperti patah kaki bila tiada Kak Ning, tetapi keadaan tidak begitu. Kak Ning masih bersama saya sepanjang masa iaitu melalui ilmu yang diberikan. Walaupun berpisah, kami masih bersama dan saya cuba sedaya upaya untuk melebarkan kerjaya saya," katanya.
Tiga tahun menyepi
Tiga tahun tanpa album baru membuatkan ramai yang tertanya-tanya, bagaimanakah kedudukan Nikki dalam AUR, mungkinkah kerana kemunculan Nubhan, segala yang diaturkan untuknya tergendala buat seketika?
Menolak segala dakwaan itu, Nikki yang pernah muncul dengan album sulung Maharani berkata, kelewatan album tidak ada kena mengena dengan kemunculan Nubhan, kerana semuanya telah dirancang oleh pihak syarikat.
"Bukan kerana syarikat menumpukan perhatian pada Nubhan, biasalah dia artis baru kenalah diberi tumpuan yang lebih sama seperti saya dulu. Saya tidak pernah berkecil atau iri hati dengan perhatian yang diterima Nubhan.
"Dia penyanyi baru dan banyak perkara yang dia harus belajar, jadi tidak salah syarikat memberi lebih tumpuan kepadanya, tambahan pula sekarang ini hanya saya dan Nubhan saja dalam AUR, jadi rasanya soal tumpuan bukan satu masalah dan menyebabkan kelewatan album saya."

Menurutnya lagi, disebabkan kebanyakan lagu dalam album itu mempunyai kualiti, dia merasakan tidak berbaloi kalau terlalu cepat muncul dengan album baru.
"Lagipun, proses untuk mencari bahan bukannya mudah, syarikat ada strateginya yang tersendiri. Mungkin lama tidak keluar album, impaknya lebih besar buat peminat," jelasnya.
Mungkin ada benarnya apa yang diperkatakan oleh Nikki. Ini kerana single daripada album terbarunya Hawa yang berjudul Relakan dan Selamat Tinggal itu mendapat sambutan daripada peminat apabila sering disiarkan di corong-corong radio.
Malah, melihat pada nama-nama komposer yang terlibat dalam album Hawa seperti Faizal Tahir dan Audi Mok pastinya album itu memberi suatu kelainan buat Nikki kerana jelasnya kebanyakan lagu dalam album tersebut merupakan lagu rancak.
"Memang Nikki suka lagu rancak sebab boleh menari bila buat persembahan dan yang uniknya dalam Hawa, ada satu lagu yang seakan-akan lagu klasik yang berjudul Betara Sukma dibuat seperti opera," tuturnya.
Selain itu, Nikki juga cuba mengasah bakat dengan menulis sendiri dua lirik lagu untuk album yang memuatkan 12 buah lagu itu menerusi lagu yang berjudul Pretty Like Me dan Baby Baby.

Katanya, itu sekadar percubaan, dan lirik untuk versi Bahasa Melayu lagu Pretty Like Me telah digubah oleh bekas peserta AF, Amylea kerana Nikki suka dengan hasil karya penyanyi genit itu.
Jika tahun lalu dia dilihat seakan menyepi, tahun 2009 merupakan tahun untuknya lebih aktif. tambahan pula dengan kemunculan album baru, pastinya kerja-kerja promosi menuntut lebih banyak komitmen Nikki.
"Kalau orang kata saya masih gagal menarik perhatian khalayak walaupun sudah lama dalam industri, tahun ini saya akan lebih berusaha. Banyak perkara telah dirancang hanya tinggal untuk dilaksanakan," tegasnya penuh semangat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: