Tuesday, January 13, 2009

Isyarat Oscar Ledger, Winslet



"KIRI: SEDIH tapi bangga. Christopher Nolan naik ke pentas mewakili mendiang Heath Ledger. KANAN: KATE WINSLET"


AURA kehebatan lakonannya yang cukup terserlah sebagai The Joker dalam filem blockbuster Batman, The Dark Knight, dikatakan bertaraf Oscar. Justeru, apabila nama mendiang Heath Ledger diumumkan sebagai pemenang kategori Pelakon Pembantu Lelaki Pilihan pada majlis Anugerah Golden Globe ke-66 yang berlangsung di Beverly Hills kelmarin, ia dilihat sebagai isyarat awal buat Ledger untuk meraih anugerah tertinggi dunia lakonan itu.

Majlis anugerah Academy yang menawarkan trofi Oscar bakal berlangsung pada 22 Februari depan.

Mewakili Ledger yang meninggal dunia pada usia 28 tahun itu ialah pengarah The Dark Knight, Christopher Nolan yang dalam ucapannya berkata, "Kami semua yang bekerja dengan Heath dalam The Dark Knight menerima anugerah yang diraih mendiang dengan kesedihan tetapi dengan penuh bangga."


"MICKEY ROURKE (kiri) dan Bruce Springsteen sama-sama berkongsi kegembiraan bergelar pemenang.


Tambahnya, "Heath Ledger mungkin dirindui tetapi dia tidak akan dilupakan."

Majlis anugerah kali ini bukan sahaja menjadi isyarat kemenangan Oscar buat Ledger tetapi juga buat aktres Kate Winslet.

Namun, apa yang menarik ialah Winslet menjadi satu-satunya karyawan yang menggondol lebih daripada satu trofi pada Golden Globe ke-66 itu.

"Saya minta maaf, Meryl (Streep), Anne (Hathaway), Kristin (Scott-Thomas) dan seorang lagi... Angelina Jolie," tutur Winslet menghormati calon-calon bagi kategori Pelakon Wanita Filem Drama Pilihan yang dikalahkannya hasil lakonan menerusi filem Revolutionary Road.


DARI ATAS IKUT ARAH JAM: "COLIN FARRELL, ANNA PAQUIN dan LAURA LINNEY"


Lebih mengejutkan buat aktres berusia 33 tahun itu adalah apabila dia turut merangkul trofi Pelakon Pembantu Wanita Pilihan untuk lakonannya dalam filem The Reader.

Nampaknya, kedua-dua kemenangan tersebut menjadi isyarat awal yang kuat bagi menyokong peluang kemenangan Winslet pada anugerah Oscar nanti.

Kemenangan Winslet itu merupakan kali kedua untuk Golden Globe selepas tercalon sebanyak lima kali.


"MENANG besar. Tina Fey (tengah) dan Alec Baldwin (kiri) ceria bersama barisan pelakon 30 Rock."





Namun, pelakon terbilang British itu belum pernah menang Oscar meskipun juga sudah lima kali meraih pencalonan Oscar. Mungkin tahun 2009 bakal membawa tuah buatnya.

Sementara itu, dua lagi nama besar Hollywood iaitu aktor Mickey Rourke dan Colin Farrell masing-masing diumumkan sebagai pemenang kategori Pelakon Lelaki Filem Komedi Pilihan dan Pelakon Lelaki Filem Muzikal atau Muzikal Pilihan.

Tina Fey menguasai TV

Dalam kategori TV, nama Tina Fey menjadi fokus utama apabila pelakon dan penulis skrip siri komedi popular 30 Rock itu diumumkan sebagai antara pemenang kategori utama Golden Globe ke-66.

"Saya mahu kamu semua tahu bahawa saya tahu betapa saya ini sangat bertuah pada tahun baru ini," ucap Fey mengulas kemenangannya.

Fey merangkul trofi Pelakon Wanita Siri Komedi atau Muzikal Pilihan, manakala 30 Rock mengungguli kategori Siri Komedi atau Muzikal Pilihan.

Kemenangan Fey dan 30 Rock kali ini mengulangi kejayaannya pada tahun lepas menerusi kategori yang sama.

Namun, 30 Rock membuat pencapaian yang lebih gemilang pada tahun ini berikutan pelakon utama siri itu, Alec Baldwin turut menggondol anugerah Pelakon Lelaki Siri Komedi atau Muzikal Pilihan.

"Apabila anda berlakon dalam 30 Rock, perkara pertama yang anda mahu berkata ialah, 'Terima kasih Tina, terima kasih Tina, terima kasih Tina'," ucap Baldwin.

Sementara itu, filem drama retro, Mad Men turut mengulangi kejayaannya pada tahun lepas dengan mengungguli kategori Siri Drama Pilihan.

Pada tahun lepas, Mad Men mencipta sejarah sebagai siri filem yang ditayangkan di saluran TV kabel pertama memenangi anugerah Emmy.

Anna menang kerana puntianak

Majlis anugerah itu juga menjadi kenangan paling manis buat pelakon remaja, Anna Paquin apabila dia mengalahkan pelakon-pelakon veteran terbilang seperti Sally Field dan Kyra Sedgwick untuk menggenggam trofi anugerah Pelakon Wanita Drama Pilihan.

"Ini (kemenangan) sangat hebat," katanya ketika berucap di pentas mengenai kemenangan hasil lakonannya menerusi filem True Blood, yang memaparkan kisah kehidupan puntianak di belantara Cajun.

Aktor Gabriel Byrne pula menang kategori yang sama untuk pelakon lelaki menerusi lakonannya sebagai seorang ahli terapi dalam karya, In Treatment.

Karyawan yang banyak menaikkan nama Hollywood di peta global, Steven Spielberg pula diberi anugerah khas Cecil B. DeMille -

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: