Thursday, January 22, 2009

Memey Dan Abby bergabung?


DI sebalik kontroversi tercetus di antara Memey dan Abby Abadi, mungkinkah kedua-dua pelakon ini akan digandingkan?

Terlalu awal untuk dipastikan, tetapi tandanya ada apabila Memey menerima tawaran berlakon filem Dimensi Cinta, Abby pula hadir pada majlis pelancaran filem itu tahun lalu.

Sukar digambarkan jika Memey dan Abby bertemu dalam filem bersama, tetapi sebagaimana ditegaskan Memey atau nama sebenarnya, Suhaiza Suhaimi, 20, dia tiada masalah berlakon di samping Abby.

“Saya menilai kerja lakonan ini secara profesional. Jika ditakdirkan saya berlakon bersama kak Abby dalam filem atau drama, saya tidak dapat elak kerana itu sudah ditentukan pengarah,” katanya.

Ternyata di sebalik musibah menimpa, terselit hikmah buat Memey.

Sekalipun kes khalwatnya dengan Norman Hakim pada 30 Oktober lalu pahit untuk ditelan namun hakikatnya dalam sekelip mata Memey kian menjadi perhatian pihak akhbar, majalah, TV bahkan penerbit filem dan drama.

Popularitinya mengatasi jauh ahli keluarganya yang terlebih dulu menceburi seni selain artis seangkatannya.

Terbaru dalam sibuk menanti penggambaran drama Roda-Roda KL dan Farah Syakira, Memey disambar pula oleh Eddie Pak untuk membintangi filem terbaru arahannya, Dimensi Cinta.

Ketika dihubungi, Memey berkata pegawai publisis filem itu, Shila Lama Abdullah serta penolong pengarah, Fendi Mahmud menghubunginya baru-baru ini mengenai tawaran berlakon filem itu.

“Watak saya untuk filem itu agak menarik. Cuma saya sudah jelaskan pada Shila dan Fendi mengenai jadual ketat saya Februari nanti kerana terikat dengan dua drama bersiri terbitan Skop Production.



“Pada dasarnya pihak produsi Dimensi Cinta bersedia mengatur jadual terbaik bagi membolehkan saya dapat berlakon filem itu. Ia tidak memakan masa lama, cuma dua atau tiga hari saja watak saya.



“Bagaimanapun, belum ada lagi perjanjian bertulis di antara saya dengan pihak produksi itu. Cuma tawaran secara mulut dan saya memberi ‘lampu hijau’ untuk menjayakan filem itu,” katanya.

Menurut Memey, sesudah mencipta nama dalam drama TV seperti Pasrah, sudah tiba masanya untuk dia mengembangkan bakat lakonannya di filem.

Tahun lalu, dia menerima tiga tawaran berlakon filem.

“Tahun lalu, ujian besar buat saya. Tiga tawaran berlakon filem itu tidak dapat saya terima kerana sibuk dengan drama Pasrah. Pada waktu sama, saya berhadapan dengan kontroversi peribadi.

“Saya berharap 2009 ini menghadirkan sinar baru dalam hidup saya. Saya mahu membuktikan saya juga mampu melangkah jauh dalam bidang lakonan ini tanpa bersandar populariti sesiapa,” katanya.

Dimensi Cinta yang menelan kos RM1.8 juta dibuat secara usahasama antara produksi Harian Inovatif Sdn Bhd (HISB) dengan syarikat Sunday To Sunday Services Sdn Bhd (STSS).

Majlis menandatangani memorandum persefahaman atau MoU antara dua produksi berkenaan dilakukan pada November lalu.

Filem ini mengisahkan kegigihan wanita bernama Raja Soffhilea yang menemui kegagalan dalam perkahwinan, tetapi sukses dalam perniagaan.

Buat masa ini, pelakon utama membawa watak Raja Soffhilea masih dicari dan beberapa nama pelakon sudah diuji bakat termasuk Rozita Che Wan dan Catriona Ross.

Kriteria dicari sesuai dengan karakter watak ini mempunyai anak berusia 16 tahun.

Pelakon lain turut menjayakan filem ini seperti Eman Manan, Awie, Dafi dan Linda Hashim.

Selaku publisis filem itu, Shila berkata pihaknya sedang mengaturkan pertemuan Memey dengan Eddie.

“Jika semuanya berjalan lancar, Memey akan bertemu Eddie dalam Februari ini. Filem ini dijangka memulakan penggambaran sedikit masa lagi, dijangka berakhir dalam tempoh sebulan,” katanya.

Sementara itu, Eddie berkata tawaran diberi pada Memey bukan menangguk di air keruh dengan pelbagai kontroversi melanda pelakon itu, tetapi kerana bakat semula jadi dimiliki Memey.

“Kebetulan penolong pengarah saya, Fendi pernah menjadi penolong pengarah untuk pelbagai drama terbitan Skop Production.

”Melalui informasi dia, dapatlah saya tahu bakat dimiliki Memey. Lagipun watak diserahkan padanya dalam Dimensi Cinta memang sesuai untuk dia,” katanya.

Eddie selaku Pengarah Urusan STSS berkata, Sabtu lalu dia bersama produser HISB, Raja Lela serta beberapa tenaga produksi meninjau beberapa lokasi di Terengganu bagi memulakan penggambaran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: