Wednesday, January 28, 2009

Mandy saman jika hak dicabul


JIKA diukur pada usianya, mungkin dia masih terlalu muda. Namun, kesudian gadis manis ini menyertai bintang ternama yang berusia untuk mempertahankan hak sebagai selebriti popular seharusnya dipuji. Sekurang-kurangnya, dia amat peka.

Itulah si bijak, Mandy Moore. Dalam usia 25 tahun, dia sudah bijak membuat keputusan. Demi memastikan dirinya tidak menjadi mangsa 'eksploitasi' pihak tidak bertanggungjawab meraih keuntungan mudah, Mandy memilih khidmat undang-undang.

Tidak berseorangan, penyanyi dan aktres jelita kelahiran New Hampshire, Amerika Syarikat ini bergabung dengan bintang terkenal Hollywood seperti Diane Keaton, Michelle Pfeiffer dan Sandra Bullock memfailkan saman terhadap peniaga Internet.

Sesiapa peniaga Internet yang dikesan menggunakan gambar mereka tanpa 'kebenaran' akan didakwa secara terus di mahkamah kerana mengambil kesempatan.

Bahkan, tindakan sama turut diambil kepada peniaga yang sudah tamat kontrak dengan mereka.

Menurut jurucakap Mandy, tujuan artis remaja itu berbuat demikian kerana tidak mahu orang lain meraih keuntungan mudah dengan hanya menggunakan gambar dan popularitinya.

Katanya, sekarang semua perkara perlu berasaskan kontrak.

"Sekiranya Mandy sudah memberi persetujuan dan menandatangani perjanjian hitam putih mengikut undang-undang dengan pihak terbabit, barulah semuanya boleh menjadi hak ekslusif mereka (peniaga). Andai tiada, ia dianggap satu pencerobohan.

"Apapun, tindakan diambil Mandy ini adalah betul. Kini, bagi meraih keuntungan mudah peniaga sama ada di Internet atau runcit sanggup melanggar undang-undang dan menggunakan gambar selebriti popular dengan produk keluaran mereka.

"Malah, sekalipun kontrak dengan artis terbabit sebagai jurucakap produk sudah tamat, tetapi ada segelintir daripadanya terus mengambil kesempatan.



"Justeru, sampai bila harus berdiam diri dan membiarkan orang berbuat apa saja sesuka hati," katanya.



Mengikut penjelasan lanjut jurucakap itu kepada wakil media Amerika dalam satu temubual khas diadakan, Mandy bukanlah bintang remaja yang mudah terikut-ikut dengan pendekatan diambil artis lain.

Namun, dia sebenarnya sudah matang berfikir.

"Saya percaya, Mandy tahu apa yang dilakukan. Sebagai individu berjaya dan mempunyai peminat ramai, siapa tidak mahu menggunakan kehebatan dimilikinya. Lebih-lebih lagi, dalam situasi masalah kelembapan ekonomi yang berlaku sekarang.

"Sehubungan itu, atas tindakan diambil semua dokumen penting sudah difailkan di Mahkamah Los Angeles, Selasa lalu.

"Justeru, bagi pihak yang bercadang membuat perkara tidak baik ke atas Mandy dan rakannya, diharap berfikir panjang," katanya.

Menyentuh pula perkembangan kariernya, Mandy atau Amanda Leigh Moore turut bergiat aktif sebagai pereka fesyen.

Namun, pelakon yang pernah popular dengan filem A Walk To Remember pada 2002 masih sibuk dengan aktiviti seni lainnya.

Mengulas kisah cinta pula, Mandy bukanlah pencinta setia. Setakat ini, dia dikhabarkan sudah keluar dengan ramai lelaki yang terdiri daripada aktor, bintang sukan dan penyampai radio.

Bagaimanapun, cinta dibina itu terputus di tengah jalan.

Apabila berbicara mengenai puncanya, Mandy pernah tanpa segan silu memaklumkan perpisahan itu membabitkan masalah seksual dan peribadi.

Antara lelaki itu ialah Wilmer Valderrama (aktor), Andy Roddick (bintang tenis), Billy Crawford (penyanyi), Zach Braff (aktor) dan Adam Goldstein (DJ radio).

Kini, dengan siapa Mandy berkasih menjadi rahsianya. Bahkan, cerita mengenai Mandy juga kurang diketengahkan media.

Barangkali, ada sebab Mandy berbuat demikian kerana dia mungkin jenis yang tidak sukakan publisiti 'murah' tanpa perkembangan baru.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: