Wednesday, January 28, 2009

'Kita susah lawan lagu seberang'


SUKAR menafikan lagu Indonesia yang sering berkumandang di stesen radio tempatan kebelakangan ini sedap dan diminati ramai. Tidak kira peminat muzik mahupun penyanyi dan komposer tempatan, semua akur kehebatan lagu dari negara seberang itu.

Biarpun senario ini secara tidak langsung memberi kesan negatif pada persada muzik tanah air kerana dijajah tetapi penyanyi terkenal, Amy Search, komposer Ajai dan penulis lirik, AD Samad berkeyakinan, lagu dan album tempatan masih mempunyai peluang untuk kembali 'bernafas'.

Kata Ajai, muzik adalah universal dan peminat tidak boleh dipaksa untuk menyukai sesebuah lagu. Malah, menerusi kajiannya sebelum ini mendapati ada lagu seberang yang tidak difahami lirik tetapi disukai kerana melodi.

"Bagi saya tiada masalah peminat suka lagu Indonesia kerana jika dirujuk pada jumlah penduduk, rakyat kita cuma bersamaan penduduk di Jakarta. Tapi apa yang membanggakan, rakyat mereka menyokong album artis mereka berbanding masyarakat kita.

"Malah, jualan album mereka yang laris di sini juga sebenarnya dimonopoli orang mereka sendiri yang tinggal dan bekerja di negara ini. Hakikatnya, jumlah mereka di negara kita bukan sedikit.

"Industri kita bukan cari pasal apabila membawa artis sana ke sini tetapi mereka mendapat tempat kerana sambutan peminat. Harus diingat, tanpa sokongan peminat, lagu mereka tidak menjadi.

"Isu ini seperti cetak rompak. Kita tidak boleh paksa peminat suka pada lagu kita kerana itu hak individu. Apa yang boleh kita buat, tambah karya yang lebih bagus. Muzik seperti fesyen dan saya percaya ia akan berpusing kembali hingga akhirnya persada muzik tanah air stabil semula," katanya.

Tambah Ajai, komposer tanah air sepatutnya pelajari cara mereka di sana yang melihat bukan peminat selaku pendengar yang menentukan sesebuah lagu itu hit di pasaran, tetapi komposer dan penyanyi sendiri yang bertanggungjawab mencipta lagu itu supaya mempunyai kelainan.

"Walaupun dulu lagu kita pernah ke sana tetapi keadaannya berbeza kini. Jika diteliti, muzik ketika itu mempunyai susunan yang luas. Di sana, mereka mempunyai kelebihan kerana semua bangsa berkongsi satu bahasa manakala di negara kita, biarpun muhibah tetapi tidak ramai bangsa lain yang beli album Melayu," katanya.

AD Samad atau nama sebenar, Ahmad Shahadrian Abd Samad berkata, isu ini tidak mempunyai kesudahan jika dibincangkan panjang lebar.



"Ia bukan satu masalah apabila kita suka lagu seberang. Bagaimanapun, saya sendiri lebih gemar muzik dari Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) berbanding Indonesia. Sebagai komposer dan penulis, jika kita ingin ikut, lebih baik rujuk muzik AS dan UK kerana mereka jauh lebih bagus.



"Jika lagu kita lawan dengan lagu seberang, hakikatnya memang susah untuk kita hendak menang. Seperti kata Ajai, jumlah penduduk mereka besar dan kita hanya 10 peratus daripada jumlah keseluruhan. Persada muzik di sana pula, mereka menghasilkan album setiap minggu berbanding kita.

"Berdasarkan perbezaan itu, kita sudah ketinggalan. Apabila persada muzik mereka besar, mereka dapat menghasilkan banyak lagu dan lagu mereka ini bersaing sesama sendiri. Lalu, daripada beribu lagu yang dihasilkan, hanya 10 lagu yang dikategorikan pasti sedap.

"Senario kita menyaksikan komposer yang menghasilkan lagu hanya sedikit antara 2,000 hingga 3,000 yang berdaftar dengan Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Muzik Berhad (MACP). Kita berhadapan masalah untuk terbit album dan dalam kelompok kecil ini, kami bersaing sesama sendiri.

"Dalam usaha mencari lagu terbaik, komposer dari sana pula mencampakkan pada kita 10 lagu yang pasti sedap tadi. Akibatnya, lagu mereka mengatasi lagu kita. Pada saya, persaingan ini berat sebelah umpama Mike Tyson lawan dengan saya," katanya.

Kata AD, muzik dari sana datang ke sini dalam bentuk pakej iaitu turut mempunyai klip video. Ia memberi masalah pada penyanyi tempatan yang hanya menghasilkan single yang diberikan pada stesen radio.

"Artis mereka lebih memfokuskan stesen TV berbanding radio dalam aspek promosi. Apa yang berlaku, apabila peminat kita hanya menyukai single, komposer tempatan tidak berpeluang untuk mempromosikan lagu lain.

"Saya anggap isu ini adalah masalah saya dengan masyarakat. Saya masih berjuang menulis lirik dan menghasilkan karya baru. Saya juga berharap komposer lain terus berjuang," katanya.

Berkongsi pengalaman, Amy bersama kumpulan Search pernah mencipta fenomena dalam persada muzik tanah air ketika muzik rock mereka berkembang pada pertengahan zaman 80-an. Menariknya, Search bukan hanya popular di sini tetapi meraih sambutan memberangsangkan dari peminat muzik Indonesia.

"Selepas kejayaan lagu Fantasia Bulan Madu, kami menjangkakan impian seterusnya adalah menakluk pasaran muzik di sana. Ketika itu, kami tidak mempunyai pengurus tetapi kami percaya pada kemampuan lagu sendiri.

"Album dan lagu kita kini tidak macam dulu. Ketika itu, artis yang merakamkan lagu perlu memastikan setiap album mempunyai hype. Dari situ, apabila album tempatan mempunyai hype, peminat teruja dan tidak sabar menunggu bila album keluar. Untuk setiap album, kami juga mengadakan promosi di seluruh negara.

"Bezanya muzik seberang dianggap budaya global iaitu nada suara mereka adalah sama. Kita harus dengar teliti kerana mungkin mereka tidak sesenang kita dengan bajet terhad dan pasaran muzik kita semakin mengecil. Dulu, artis kita mempunyai impian besar hingga perlu menitikberatkan aspek lain seperti pakaian dan cara bercakap.

"Daripada pembikinan album, artis kita ketika itu cukup teliti dengan pemilihan lagu yang sesuai termasuk lagu untuk persembahan konsert. Sebagai artis perlu memikirkan apakah lagu lain selain single yang dapat tarik perhatian peminat.

"Saya percaya artis kita boleh jadi lebih baik. Pesan saya, sentiasa percaya pada diri sendiri, pasang impian besar dan industri kita perlu mempercayai dan beri sokongan pada artis," katanya.

Tiga individu berpengaruh dalam bidang muzik ini tampil menyatakan pandangan masing-masing ketika menjayakan program bual bicara Ally di studio ntv7, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Sebelum berkongsi pandangan bersama panel jemputan, pengacaranya, Ally Iskandar turut membuat tinjauan rambang lima lagu yang disukai peminat, komen penduduk Indonesia yang tinggal di sini mengenai album tempatan dan jumlah album Melayu tempatan yang dibeli di kedai muzik dalam tempoh lima jam.

Nyata keputusan menunjukkan, lagu Indonesia mendominasi pilihan peminat di sini dan album tempatan sukar dijual.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: