Tuesday, January 13, 2009

Mampukah Lagu Kita memikat juri?


LAGU Kita berjaya membuktikan kehebatan Aizat dalam bidang seni bukan sekadar penyanyi tetapi juga komposer dan penulis lirik.


TAHUN 2008 boleh dianggap sebagai tahun yang cukup manis buat anak muda yang bernama Aizat ini.

Masakan tidak, bermula dengan lagu hitnya, Hanya Aku Yang Mampu yang dimuatkan dalam album perdananya, Percubaan Pertama, impak yang diterima oleh Aizat bukanlah sedikit.

Popularitinya terus memacu kerjaya seni anak jati Kuala Lumpur ini dan sehingga kini, dia boleh berbangga dengan dirinya yang sudah sebaris dengan artis yang sudah popular.

Meskipun populariti lagu Hanya Kau Yang Mampu masih belum padam, namun, single seterusnya, Lagu Kita juga tidak kurang hebatnya.

Lagu yang cukup indah ciptaannya itu membuktikan kehadiran Aizat dalam industri ini bukanlah untuk suka-suka sebaliknya, ia membuktikan keseriusan anak muda ini dalam bidang seni.

Siapa sangka, lagu ciptaan sepenuhnya oleh Aizat itu menerima respons yang cukup baik daripada pendengar.

Lebih manis lagi apabila lagu berkenaan mara ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu Ke-23 (AJL23) yang akan berlangsung 18 Januari ini.

Hingga ke saat ini, Aizat atau nama sebenarnya Muhammad Aizat Amdan masih lagi tidak percaya bahawa lagu ciptaannya itu berjaya menempatkan diri antara 14 lagu terbaik untuk merebut gelaran Juara Lagu.

"Saya macam bermimpi sebaik diumumkan sebagai salah seorang finalis untuk kategori Balada. Persaingan kategori berkenaan cukup sengit dan apabila berjaya, ia satu penghormatan buat saya," jelas Aizat.

Selain Lagu Kita, lima buah lagu lain yang bertanding dalam kategori Balada ialah Bila Nak Saksi nyanyian kumpulan Spider, Hanya Di Mercu (Ayu), Dingin (Ziana Zain) serta Cuba dan Sampai Syurga (Faizal Tahir).

Kata bintang Akademi Fantasia ini lagi, dengan keadaan kesihatannya yang tidak begitu mengizinkan ketika separuh akhir tempoh hari, dia menjangkakan Lagu Kita tidak akan berjaya ke peringkat akhir.

Kemaraan Lagu Kita telah membuktikan bahawa pada usia 19 tahun, Aizat telah mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi komposer paling muda yang berjaya melangkah ke peringkat akhir AJL.

Menurut Aizat, untuk berdiri sebaris dengan komposer ternama negara seperti Audi Mok dan Ajai kali ini, sudah cukup membuatkan dirinya bangga.

"Saya tidak mahu membebankan diri saya dengan perkara-perkara yang mampu membuat saya tertekan.

"Untuk itu, saya tidak mahu fikir tentang kemenangan kerana jika terlalu memikirkannya ia akan menjejaskan persembahan saya pada malam itu.

"Apa yang saya mahu lakukan adalah untuk memberikan sebuah persembahan yang mampu diingati oleh peminat dan penonton AJL seperti mana impak yang terhasil menerusi persembahan Allahyarham Sudirman dan Spider pada AJL," katanya lagi.

Sebagai seorang yang mengikuti AJL sejak kecil lagi, Aizat tidak pernah membayangkan dia akan berdiri di pentas yang berprestij itu.

"Sebab itu saya kata apabila Lagu Kita berjaya ke AJL23, ia bagaikan satu mimpi kerana kini saya mampu sebaris dengan mereka yang pernah membuat persembahan di pentas yang sama," kata Aizat jujur.

Selain itu juga, Aizat enggan menjalani latihan yang rapi kerana bimbang ia akan turut menjejaskan persembahannya pada malam itu nanti.

"Orang kata kalau kita terlalu berlatih, ia akan menyebabkan kita akan cepat berasa bosan lantas pada malam akhir nanti, lagu dendangan kita sudah tiada jiwa lagi.

"Buat masa ini, saya akan berlatih secara santai dan apabila tiba malam AJL nanti, saya akan memberikan persembahan ke tahap maksimum," katanya.

universal

Ditanya tentang keistimewaan Lagu Kita hingga mampu memikat juri, sambil menguntum senyuman manis, Aizat memberitahu: "Mungkin kerana lagu ini adalah sebuah lagu cinta yang universal.

"Mungkin juga keistimewaan lagu ini terletak pada bait 'Dan aku terus menyanyi lagu ini untukmu, walau berjuta mendengar, lagu ini hanya untukmu' yang saya rasa ia boleh ditujukan kepada sesiapa sahaja yang dianggap istimewa dalam hidup mereka."

Ditanya tentang konsep persembahannya pada malam itu nanti, sambil menggelengkan kepala, Aizat enggan memberitahu dengan lebih lanjut.

"Nanti kalau saya beritahu, tiada kejutan pula. Apa yang pasti, saya begitu teruja untuk mempersembahkan lagu ini kerana ia akan diiringi oleh orkestra di bawah pimpinan Ramli M.S. yang saya pasti akan mengindahkan lagi lagu ini.

"Malah, saya juga ada berbincang dengan abang Ramli tentang apa yang saya mahukan dan ternyata, dia memberikan sokongan serta semangat buat saya untuk memberikan persembahan yang baik malam itu nanti," ujar Aizat.

Sambil merenung jauh, tiba-tiba nada suara Aizat yang pada mulanya ceria bertukar tegas apabila dia meluahkan kebimbangan jika dia bertukar menjadi seorang yang lupa diri sementelah kejayaan yang diraihnya.

"Oleh itu, saya akan selalu pastikan diri saya tidak membuat sesiapa terguris baik menerusi perbuatan mahupun perkataan kerana bimbang balasannya akan berbalik kepada saya. Saya memang takut menjadi seorang yang lupa diri," kata Aizat penuh makna.

Menyentuh perancangannya untuk tahun 2009, peminat setia kumpulan The Beatles ini memberitahu dia akan muncul dengan album pembungkusan semula Percubaan Pertama yang akan memuatkan sebuah lagu baru dan muzik video.

Selain itu, Aizat juga akan muncul dengan album keduanya menjelang pertengahan tahun ini dan dia juga merancang untuk menembusi pasaran Indonesia.

Lebih membanggakan apabila Aizat turut memberitahu, dia mahu melanjutkan pelajarannya dalam bidang susunan muzik ke Kolej Music Berklee yang terletak di Boston, Massachusettes, Amerika Syarikat.

"Saya mahu mendalami ilmu muzik kerana saya cukup minat dengan muzik. Saya cukup serius dan bukan setakat menjadi seorang penyanyi tetapi juga seorang komposer dan penulis lirik yang disegani. Mudah-mudahan, impian saya akan terlaksana," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: