Tuesday, January 13, 2009

Bunga cinta Que Haidar, Linda


BAKAL PENGANTIN...Que Haidar (kiri) dan Linda Jasmine yang berpakaian sedondon berwarna hitam hadir pada tayangan filem Maut, baru-baru ini.


APABILA pelakon terkenal, Que Haidar membuat pengumuman akan melangsungkan perkahwinan dengan guru tari popular, Linda Jasmine Hashim, ramai yang melahirkan rasa terkejut mereka.

Bukan sekadar terkejut tetapi mereka bagaikan tidak percaya bahawa Que akan mendirikan rumah tangga sementelah namanya sebelum ini agak jarang dikaitkan dengan soal cinta.

Apatah lagi dengan status Linda sebagai seorang ibu tunggal serta jarak perbezaan umur mereka sebanyak tujuh tahun membuatkan masyarakat mempersoalkan keputusan Que itu.

Saat ditemui pada majlis sidang media tayangan filem Maut di GSC MidValley, baru-baru ini, Que dengan tenang menjawab persoalan yang diajukan pihak media kepadanya.

Tidak melenting sebaliknya menjawabnya penuh jujur dengan disulami wajah yang berbunca cinta, jelas Que, apa yang berlaku semuanya sudah ditakdirkan.

"Kita sebagai manusia memang boleh merancang tetapi semua sudah ditakdirkan saya bertemu jodoh dalam usia 30 tahun dan orangnya pula adalah Linda.

"Saya sedar ramai yang mempersoalkan keputusan saya untuk berkahwin termasuk rakan-rakan rapat saya tetapi mereka juga harus sedar bahawa saya bukannya muda lagi. Saya bakal berusia 30 tahun dan saya sememangnya sudah bersedia untuk bergelar seorang suami dan bapa," jelas Que yang berpakaian serba hitam bersama Linda.

Tambahnya, keputusannya untuk mendirikan rumah tangga juga bukanlah atas desakan sesiapa tetapi ia adalah lahir daripada hatinya dan sudah sampai seru untuk dia mendirikan rumah tangga.

Malah, dia juga tidak pernah meletakkan sebarang had umur apabila tiba soal perkahwinan.

Mengajaknya untuk berbicara tentang persiapan perkahwinannya yang hanya tinggal lebih kurang sebulan sahaja lagi, Que dengan wajah cerianya itu tidak lokek berkongsi cerita dengan pihak media.

Jelasnya, buat masa ini, persiapan perkahwinannya sudah siap 50 peratus dan ternyata dia begitu teruja dan gembira untuk menjadi seorang suami.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan semuanya diuruskan oleh Linda. Insya-Allah, kami akan bernikah dan mengadakan majlis persandingan dalam hari yang sama di Bora Ombak, Ampang.

"Malah, kami juga tidak akan bertunang sebaliknya akan terus bernikah. Ini kerana kami mahu lakukan yang wajib dan penting kerana itulah yang lebih afdal. Sebulan selepas itu pula, majlis resepsi akan diadakan di Felda Taib Andak, Kulai, Johor," cerita Que atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar lagi.

Que dan Linda membuat pengumuman perkahwinan mereka menerusi rancangan Gala TV yang disiarkan di saluran Awani (saluran 501, Astro) pada 12 Disember lalu.

Dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung, mereka berdua sepakat memilih tarikh 14 Februari untuk disatukan sebagai suami isteri setelah Que melamar Linda beberapa hari sebelum bulan Ramadan tahun lalu.

Que dan Linda mula berkenalan pada bulan Mei tahun yang sama dan apa yang lebih manis, adalah apabila anak tunggal Linda, Qalif Khan yang berusia lapan tahun kini mula memanggil Que dengan panggilan daddy.

Pemenang Pelakon Lelaki Harapan Festival Filem Malaysia Ke-19 menerusi filem Castello ini juga menjelaskan keluarga kedua-dua pihak sememangnya merestui hubungan mereka serta tidak putus menyokong dan memberikan nasihat.

Que juga menjelaskan sepanjang menjalinkan hubungan bersama Linda, dugaan yang dihadapinya sememangnya besar dan ternyata kematangan dirinya serta Linda banyak membantu menyelesaikan segala masalah dengan matang.

Dalam pada itu, Que ternyata lebih teruja membicarakan tentang filem Maut yang akan membuka tirainya bermula 15 Januari ini.

Ini kerana filem yang telah dua tahun disiapkan itu memberikan cabaran yang cukup besar buat Que sebagai seorang pelakon.

Apatah lagi dengan membawakan watak JJ iaitu seorang pemuda yang terlibat dalam gejala sosial dan black metal, membuatkan Que cukup ternanti-nantikan reaksi peminat dan penonton terhadap lakonannya kali ini.

"Filem ini juga sebenarnya mempunyai banyak mesej dan mampu menyedarkan masyarakat kita. Ini kerana Bade selaku pengarah tahu bahawa ada kisah begini yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini.

"Apa yang saya harapkan filem ini mampu diterima dengan baik oleh penonton kerana Maut merupakan filem yang mudah difahami. Meskipun temanya berat namun cara pengolahannya cukup ringan.

"Bukan itu sahaja, bekerja sekali lagi dengan Bade cukup menyenangkan kerana dia sudah faham bagaimana untuk membentuk saya dalam membangunkan watak JJ," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: