|
|
SELEPAS hampir enam tahun menyepi dari dunia lakonan, aktres Lydiawati akhirnya tidak mampu lagi membendung rasa rindunya untuk kembali ke gelanggang lakonan.
Dan kerana itu, dia bersedia menerima pelbagai tawaran yang datang kepadanya sejak beberapa bulan lalu.
“Kalau sudah namanya pelakon, rasa cinta dan minat sukar untuk dihalang lagi. Selepas berfikir dan mendapat restu suami, saya akhirnya kembali aktif berlakon,” katanya dalam satu temu bual baru-baru ini.
Kemunculan sulung Lydiawati atau mesra dikenali sebagai Lydia, selepas lama menyepi dapat disaksikan penonton malam ini menerusi cerekarama Bisikan Subuh menerusi TV3 bermula pukul 10 malam.
Dalam drama arahan Murali Abdullah, Lydia memegang karakter sebagai seorang datin yang terlalu mengejar kebendaan hingga lupa tanggungjawab terhadap anak dan keluarga.
Meskipun bertudung tapi dia mengabaikan amalan dan suruhan Yang Maha Esa.
Sebaliknya, imej bertudung Lydia dalam drama berkenaan semata-mata untuk membantu suaminya mendapatkan projek untuk kemajuan perniagaan mereka. Pada masa yang sama, dia dan suaminya tidak sedar yang anak mereka tersesat dengan ajaran golongan black metal.
Selain Lydia, turut membintangi drama terbitan Zeel Productions (M) Sdn. Bhd., ini ialah Datuk Jalaluddin Hassan, Wan Maimunah, Fizow Omar, Balkish, Shaharuddin Thamby dan Remy Ishak.
Menurut Lydia juga, dia cukup tertarik dengan jalan cerita Bisikan Subuh, selain mudah bekerjasama dengan pengarah drama berkenaan yang disifatkannya sebagai seorang yang berpengalaman.
Ketika ini, Lydia juga sibuk di lokasi penggambaran sebuah drama lain selain bakal membintangi sebuah filem tidak lama lagi.
“Alhamdulillah rezeki saya masih lagi ada dalam bidang lakonan dan saya tidak mampu untuk menolaknya,” ujar Lydia yang kini bahagia di samping suami dan dua orang anaknya.
Lydia yang kini selesa dengan imej bertudung ketika ditanya mengenai aktivitinya sepanjang hampir enam tahun ‘membawa diri’ dari dunia lakonan berkata, selama tempoh ‘bertapa’ itu dia banyak memberi tumpuan kepada usaha membekalkan dirinya dengan ilmu akhirat.
“Banyak manfaat yang saya peroleh selain ketenangan yang sukar diceritakan dengan kata-kata. Kehidupan yang saya lalui pada tempoh itu sangat menyeronokkan saya,” jelas aktres yang berusia 43 tahun itu lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: