Wednesday, January 21, 2009

Lamaran disangka gurauan ...Sari Yanti




LAIN daripada yang lain. Jika wajahnya yang comel itu biasa ditonton di layar kaca, namun pada hari kebesaran bergelar raja sehari, pelakon Sari Yanti nyata membuat kelainan yang juga berjaya mengejutkan hadirin yang datang pada majlis perkahwinannya itu.

Memakai kain penutup ala purdah yang menutupi sebahagian wajahnya, ternyata Sari Yanti,25, tampil unik.

Itu antara yang menarik diperhatikan pada majlis perkahwinan pelakon kecil molek yang meraih populariti menerusi drama bersiri, Kisah Kaisara itu.

Menyingkap hubungan cinta Sari Yanti sebelum bergelar isteri, ia sebenarnya bermula daripada kawan biasa.

Hubungan itu kemudiannya bertukar menjadi kawan baik dan seterusnya bibit-bibit cinta mula hadir sehinggalah membawa ke gerbang perkahwinan.


PILIHAN tepat. Sari Yanti yakin Eddy serba sempurna untuk menjadi suaminya.


Kisah cinta sebegini sering kali dipaparkan di layar perak dan layar kaca. Ia bagaikan sebuah mimpi yang menjadi idaman setiap audiens dalam dunia realiti agar persahabatan terbina atas dasar cinta mampu merubah kehidupan pasangan ke jinjang pelamin. Sari Yanti juga tidak terkecuali.

Sebulan ditanya soal kahwin<

Bagi bintang muda yang memiliki nama penuh Sari Yanti Mohamad Nazari itu, dia sama sekali tidak menduga perkenalan sejak empat tahun lalu dengan pasangannya, Mohd. Eddy Casmady Che Hussin, 29, atau nama ringkasnya, Eddy, seorang ahli perniagaan berakhir dengan ikatan perkahwinan.

"Kami mula berkawan selepas diperkenalkan sepupu saya. Bermula daripada kawan biasa, hubungan kami bertukar menjadi kawan baik dan seterusnya bercinta.

"Hubungan kami bertambah serius dan sebelum mengambil keputusan mendirikan rumah tangga, Eddy sering bertanya kepada saya ingin berkahwin dengannya atau tidak.

"Selama sebulan dia sering mengutarakan soalan yang sama. Pada mulanya saya ingatkan dia hanya main-main tetapi dia ikhlas ingin menjadikan saya ratu hidupnya dan kami mengambil keputusan untuk berkahwin," ucap Sari Yanti yang ditemui selepas selamat diijabkabulkan dengan pasangannya Eddy di kediamannya di Kampung Parit, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Jumaat lalu.


BIAR sudah bergelar isteri, Sari Yanti tetap mahu meneruskan karier lakonannya.


Pada majlis resepsi akad nikah berkenaan, kedua-dua mempelai anggun menggayakan busana putih rekaan Lynda Rahim Kuala Lumpur berkonsepkan ala Timur Tengah dan Melayu.

Suasana majlis dimeriahkan lagi dengan kehadiran saudara mara serta sahabat handai terdekat sambil diserikan dengan alunan muzik tradisional dan percikan bunga api.

Ditanya mengapa memilih Eddy sebagai suaminya, Sari Yanti memberitahu, pemuda itu memang sesuai dengan pilihan hatinya.

"Saya tidak ragu-ragu lagi dengan pilihan hati saya, malah setiap gerak- geri serta tingkah lakunya sangat saya senangi," tuturnya.

Pengkritik paling telus<

Sari Yanti yang juga anak kedua daripada tiga beradik berkata, Eddy mengenalinya sebelum dia bergelar artis lagi.


MUNGKIN disebabkan darah gemuruh, Eddy terpaksa melafazkan akad nikah sebanyak lima kali sebelum sah bergelar suami Sari Yanti.


Suaminya itu menurut Sari Yanti lagi merupakan seorang yang cukup memahami dan sentiasa memberikan galakan dalam bidang yang dia minati.

Sari Yanti dalam pada itu mengakui, Eddy merupakan pengkritik paling telus dalam kerjaya seninya.

"Malah, dia juga meminta saya masuk kelas lakonan bagi memantapkan lagi prestasi lakonan sedia ada. Lebih bermakna, dia memberi restu untuk saya terus berlakon semasa bergelar isteri.

"Eddy ada memberi saya jangka masa selama setahun untuk membina kerjaya di dalam bidang seni agar ia kukuh sebelum mendirikan rumah tangga tetapi saya yang menyarankan kami cepat-cepat kahwin. Benda baik tidak elok dilengah-lengahkan," bicaranya sambil tersenyum manja.







Selepas bergelar isteri, menurut Sari Yanti, dia akan meneruskan kerjaya seninya seperti biasa, malah dia sudah menyusun agenda seni untuk tahun 2009 ini.

Sudah mendapat tawaran beberapa projek drama dan mengacara termasuk filem tetapi katanya dia belum membuat keputusannya lagi.

Populariti bakal menurun?<

Menyentuh mengenai persepsi bahawa artis akan hilang populariti selepas bergelar isteri, Sari Yanti menegaskan, hatinya cukup kuat mengatakan bahawa rezeki akan ada walaupun sudah mendirikan rumah tangga.

"Kita tidak boleh memandang pada persepsi bahawa jika sudah bergelar isteri, populariti seseorang artis itu akan menurun," katanya.

Sementara itu Eddy, berkata, dia tidak akan menghalang kerjaya isteri tercinta dalam bidang seni selagi dia tahu menjaga diri dan menjalankan tanggungjawab sebagai isteri.

"Berkecimpung dalam bidang seni merupakan impiannya dan saya tidak akan menghalang dia daripada mengejar impiannya.

"Apa yang penting, kami sama-sama saling faham memahami kerjaya masing-masing dan bertolak ansur antara satu sama lain," ujarnya.

Beritahu Eddy lagi, dia menyukai segala-galanya tentang Sari Yanti dan bersyukur memperisterikannya. Mereka juga masih belum mengetahui destinasi berbulan madu kerana masing-masing terikat dengan kerja dan jadual yang padat.

Menurutnya, mereka bercadang untuk mendapat lima cahaya mata untuk menyerikan lagi kehidupan baru yang bakal ditempuhi.

Selain majlis persandingan di sebelah pihak perempuan pada 17 Januari lalu, majlis bertandang di sebelah pihak lelaki pula akan berlangsung di kediaman pihak lelaki berhampiran pekarangan Masjid Subang Jaya pada 24 Januari nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: