Wednesday, January 21, 2009

Kereta Fara dipecah masuk


image
IBARAT pepatah malang tidak berbau, demikianlah yang menimpa penyanyi muda, Naufara Yasin atau Fara apabila cermin keretanya dipecah, baru-baru ini.

Kejadian itu menyebabkan Fara hilang segala dokumen penting serta wang tunai yang disimpan dalam beg tangannya. SS difahamkan kejadian berlaku ketika Fara baru pulang daripada menyertai aktiviti futsal i-Metro yang berlangsung di Sports Planet Ampang, Ahad lalu.

Menurut Fara, semua dokumen penting seperti kad bank, nombor akaun, kad pengenalan dan wang tunai RM150 hilang dalam kejadian itu.

“Selepas selesai bermain futsal kira-kira jam 7 malam, saya bersama rakan artis meluangkan masa untuk makan dan minum di sebuah restoran yang berhampiran. Saya meletakkan kenderaan tidak jauh daripada restoran berkenaan.

“Selepas setengah jam saya kembali ke kenderaan. Adik dan kakak yang menemani saya ketika itu tiba-tiba ternampak cermin kereta sebelah kiri tempat duduk depan sudah dipecahkan,” katanya.

Bagaimanapun hanya beg tangan diambil dari kereta jenis Honda Jazz yang baru dibeli tidak sampai setahun itu. Penyanyi yang berasal daripada Sabah itu kemudian ditemani rakan artis antaranya Mas AF, Riot (Kool) dan Yasin membuat laporan di Balai Polis Taman Dagang pada malam kejadian.

Menurut Fara, dia reda dengan apa yang berlaku. Kejadian seumpama itu adalah yang pertama terjadi kepadanya. Ia membuatkannya akan sentiasa berwaspada pada masa depan.

“Biasanya, saya tidak pernah meninggalkan beg tangan dalam kenderaan. Entah bagaimana sewaktu kejadian mungkin saya terlalu penat atau terlupa mengenai beg tangan itu. Memang sedih dan masih trauma dengan kejadian yang berlaku. Mujur ada rakan-rakan yang tolong.

“Hendak buat macam mana benda sudah berlaku. Kejadian ini membuatkan saya lebih berhati-hati pada masa depan,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: