Wednesday, January 21, 2009

Etnik kreatif AJL23 kurang sambutan?


ANUGERAH Juara Lagu ke-23 (AJL23) yang berlangsung Ahad lalu menyaksikan lagu popular Meet Uncle Hussain (MUH), Lagu Untukmu mewakili kategori pop rock diumumkan juara AJL23.

Lagu Sampai Syurga ciptaan Audi Mok dan Ahmad Izham Omar pula menjuarai kategori balada manakala penyanyinya, Faizal Tahir menang Persembahan Terbaik dan Vokal Terbaik sementara kategori etnik kreatif dijuarai lagu Persoalan Cinta.

Berbanding kategori pop rock dan balada, ada yang beranggapan saingan lagu menerusi etnik kreatif kurang menyengat dengan hanya tiga lagu layak ke AJL23 iaitu Persoalan Cinta (Farawahida), Doa Dalam Lagu (duet Zahid bersama Heliza) dan Dusta Berkalang (Aiman).

Lagu Persoalan Cinta adalah ciptaan Julfekar bersama Ku Seman dan Izza Rosley.

Pada persembahan malam itu, Farawahida tampil seperti maharani Cina yang menyanyi sambil diiringi ramai penari.

Namun, di sebalik kemenangan lagu ini, ia memberi gambaran sambutan penyanyi kategori etnik kreatif makin berkurangan berdasarkan faktor penyertaan lagu yang bertanding.

Persoalan yang bermain di fikiran, apakah komposer tempatan kekurangan idea menghasilkan lagu sebegini atau peluang lagu ini bertanding terhad.

Etnik kreatif menerusi AJL23 mula diperkenalkan sejak 2000 menggantikan Irama Malaysia.

Lagu Ghazal Untuk Rabiah nyanyian Jamal Abdillah dan M Nasir pada 1997, Cindai (Datuk Siti Nurhaliza, 1998), Balqis (Siti Nurhaliza, 2000) dan Mimpi Laila (Yassin, 2001) pernah menang Lagu Terbaik.

Namun, mutakhir kategori ini seolah-olah melukut tepi gantang apabila hanya tiga lagu yang layak bertanding berbanding kategori lain lima dan enam lagu.



Minggu ini, Interaksi memilih komposer Julfekar atau nama sebenar, Julfekar Ahmad Shah, 44, untuk berkongsi rahsia dan cerita mengenai kejayaannya menerusi Persoalan Cinta serta masa depan etnik kreatif bersama wartawan Rap,



Sebelum ini Julfekar pernah menyertai AJL20 menerusi lagu Elergi Sepi nyanyian Azharina untuk kategori balada, tetapi kemenangan berpihak kepada lagu Gemilang.

SOALAN (S): Tahniah atas kemenangan yang diraih. Apa komen anda?

JAWAPAN (J):
Saya bersyukur kerana sebelum ini saya banyak mencipta lagu pop dan lagu Persoalan Cinta adalah lagu eksperimen kedua saya selepas Farawahida membawakan lagu Penglipur Lara yang layak ke separuh akhir tahun lalu. Pada saya, lagu ini mempunyai kekuatan dari aspek gabungan konsep muzik pop, world music dan tradisional Cina.

Tujuan saya mengetengahkan konsep ini adalah mahu menarik minat penonton khusus generasi muda dan berbilang bangsa menghayati keunikan dan keindahan lagu ini. Kemenangan ini menunjukkan juri menilai kelebihan sesebuah lagu yang layak dipilih sebagai pemenang.

Juri bersikap lebih tulus dan apa yang dapat kita lihat pada AJL23 kali ini, tiada suara yang cakap belakang selepas keputusan pemenang diumumkan.

Ini bermakna, ramai yang bersetuju dengan keputusan kali ini. Ia juga bukan atas dasar lagu popular, tetapi merangkumi semua aspek dalam persembahan pada malam itu.

Secara keseluruhan, semua lagu yang bertanding pada AJL23 mempunyai potensi untuk menang dan penyanyi yang terbabit juga mempunyai vokal yang bagus.

Malah, penerbitan program AJL23 sendiri bertambah baik apabila menggunakan jurutera berpengalaman seperti Greg Henderson dan Peter Song untuk memastikan sistem bunyi kali ini memberi kepuasan pada penonton.

S: Bagaimana pula dengan respons yang diterima sebaik lagu ini menang?

J:
Ada yang turut menjangkakan lagu saya ini menang kerana faktor kelainan dalam persembahan. Bagaimanapun, seperti yang saya katakan tadi, lagu lain tetap mempunyai kelebihan masing-masing.

Sebagai komposer, saya mengharapkan persembahan Farawahida pada AJL23 adalah yang terbaik dan saya fikir tidak pernah dalam sejarah majlis anugerah ini ketengah etnik lain seperti Cina dalam persembahan.

Untuk persembahan ini, saya menggunakan khidmat 30 penari tempatan iaitu kumpulan Dua Space Dancer dari Puchong, Selangor yang berganding bahu bersama kumpulan penari Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Bagi pemain erhu pula, dia adalah pelajar muzik erhu yang pernah menimba pengalaman selama tujuh tahun bermain muzik itu.

Walaupun lagu ini menggabungkan etnik Cina, tetapi apa yang saya buat sebenarnya masih mengikut kehendak lagu untuk kategori etnik kreatif. Lagu ini masih mementingkan budaya Melayu, tetapi ia disampaikan dengan cara lebih indah menerusi gabungan etnik lain. Saya yakin lagu sebegini mampu pergi ke peringkat antarabangsa jika diberi peluang.

S: Apakah kemenangan ini satu kejutan pada anda?

J:
Saya tidak berapa terkejut kerana sejak awal, saya turut mempunyai keyakinan lagu ini mempunyai peluang untuk menang.

Namun, keyakinan saya bukan bererti saya terlebih yakin. Untuk bertanding dalam majlis anugerah seperti AJL23, saya memikirkan soal kualiti dalam lagu dan apa kriteria lagu dan melodi yang sesuai untuk menarik perhatian khalayak. Aspek pembikinan sesebuah lagu perlu diberi perhatian agar ia memberi kepuasan.

Seperti lagu Persoalan Cinta, saya hasilkan lagu ini bukan sambil lewa, tetapi bersungguh-sungguh. Lagu ini bertuah kerana ia dirakam di China.

Ketika itu, kami ingin mendapatkan khidmat seorang pemuzik erhu dan secara kebetulan dia berada di China.

S: Berbanding kategori pop rock dan balada, etnik kreatif hanya bersaing tiga lagu. Ia seolah menggambarkan kategori ini kurang sambutan.

J:
Memang benar, etnik kreatif kurang sambutan kerana faktor tidak banyak karya yang bagus memasuki AJL23. Malah, lagu sebegini juga terbatas untuk dimainkan di stesen radio hingga ia terpinggir.

Namun, sejak kebelakangan ini saya melihat stesen radio swasta sudah mula memberi peluang pada lagu sebegini. Ini menandakan satu perkembangan yang positif pada masa depan lagu etnik kreatif dan tradisional.

Sebenarnya, lagu sebegini masih ada di pasaran, tetapi akibat kurang sokongan dan promosi di radio, komposer kurang berminat menghasilkan lagu baru. Ini perlu diberi perhatian serius dalam usaha mengangkat budaya tempatan menerusi lagu.

Stesen radio perlu mainkan peranan dengan lebih meluas untuk mempromosikan lagu sebegini.

Jika banyak ruang diberikan, saya percaya ia dapat menarik lebih banyak lagu baru untuk dihasilkan dan seterusnya minat masyarakat juga bertambah. Lagu sebegini penting dalam mendidik masyarakat mencintai nilai budaya tempatan agar jati diri bangsa sendiri tidak hilang.

S: Setiap kali AJL berlangsung, kalau kategori etnik Kreatif, selalunya menampilkan ramai penari seperti persembahan kebudayaan. Apa komen anda?

J:
Ia sebenarnya bergantung kepada konsep sesebuah lagu itu sendiri.

Pelbagai cara dapat dilakukan dalam persembahan untuk menarik perhatian penonton. Untuk persembahan lagu Persoalan Cinta, ia menggabungkan etnik Cina lalu saya rasakan persembahan perlu dibuat semeriah ini.

Walaupun kos untuk persembahan ini tinggi kerana menampilkan ramai penari, saya sanggup menanggung perbelanjaan yang diperlukan agar menjadi terbaik.

Hanya lagu tertentu yang sesuai menggunakan ramai penari untuk persembahan.

Untuk AJL23, ini adalah kali pertama Farawahida berjaya melangkah ke peringkat akhir dan tentunya saya mahu persembahannya memberi impak pada penonton. Soal menang adalah perkara nombor dua dan apa yang perlu diberi fokus, dia menyampaikan persembahan dengan baik.

S: Secara keseluruhan untuk AJL23, apakah anda berpuas hati dengan keputusan pemenang yang diputuskan lapan juri profesional?

J:
Secara jujur, saya berpuas hati dengan keputusan juri memilih semua pemenang pada malam itu. Juri pada AJL23 menjalankan tanggungjawab dengan tulus dan baik. Kita dapat lihat walaupun Faizal Tahir menang tiga anugerah untuk Persembahan, Vokal dan Balada, juri mahu kelainan yang ditampilkan seperti MUH.

Saya bukan berniat mahu membodek TV3, tetapi saya juga bersetuju dengan keputusan juri yang mahukan perubahan pada lagu yang menang sebagai Lagu Terbaik. MUH mempunyai kelebihan dan sejak awal, saya menjangkakan kumpulan ini menang Lagu Terbaik dan pop rock manakala Faizal mengungguli balada serta Farawahida berjaya untuk etnik kreatif.

S: Apakah projek selepas ini?

J:
Farawahida kini tampil dengan album baru ketiga yang akan berada di pasaran pada Jun nanti. Rakaman album ini sudah siap dan ia turut menekankan gabungan konsep Pop dan Etnik Kreatif. Kelainan yang ingin ditampilkan kali ini, saya selitkan muzik dari Borneo dan Kalimantan.

Saya berharap pembaharuan pada album Farawahida kali ini dapat memberikan keistimewaan pada album sebelumnya. Pasti, kelainan ini juga dinantikan peminat.

S: Harapan untuk mempertingkat AJL23 pada masa akan datang?

J:
Pada pendapat saya, AJL23 adalah yang terbaik sepanjang penganjurannya sebelum ini. Untuk masa akan datang, saya berharap setiap kategori perlu mempunyai keseimbangan dari aspek penyertaan.

Sebolehnya, etnik kreatif juga mempunyai sekurang-kurangnya empat lagu bertanding agar saingan lebih terasa.

Atas sokongan penganjur, lagu Melayu masih mempunyai ramai peminat dan peluang juga terbuka pada penyanyi baru untuk mengembangkan bakat dalam nyanyian. Adanya ramai penyanyi, persada muzik tanah air bertambah meriah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: