KETERUJAAN dan minat cukup mendalam terhadap kenderaan jenis lori pikap nampaknya terpaksa dipendamkan begitu sahaja oleh pelakon dengan senyuman menawan, Irma Hasmie.
Niat di hati wanita berusia 26 tahun ini pada mulanya ingin punya kenderaan dengan berkonsepkan ruang kargo yang terbuka di bahagian belakang dan juga kabin berasingan di depan, namun keinginannya tidak mendapat lampu hijau ibu tercinta.
Naluri seorang ibu itu beranggapan bahawa golongan wanita sepatutnya memandu mobil ciri sederhana atau bersifat kompak, bersesuaian dengan jiwa dan fitrah kaum Hawa.
Pandangan dua jiwa ini nyata berbeza-beza. Sedangkan si anak yang meminati kereta pikap sekadar mahu mengguna ruang luas dan lebar yang ada untuk menyimpan bermacam barangan bagi pelbagai tujuan.
HASIL usaha dalam bidang lakonan, Irma akhirnya berjaya mendapatkan kereta sendiri.
Kalau sudah namanya pelakon, hidup dilingkari dengan status anak seni, sudah tentulah individu itu perlu bersiap sedia tiap masa untuk menjalani penggambaran yang selalunya memakan masa berhari-hari tanpa mengira lokasi.
Dan kereta dengan ruang besar menjadi jalan terbaik untuk memasukkan pelbagai benda termasuk baju, kasut, aksesori serta kelengkapan lain.
Ada ketikanya, kenderaan yang bersaiz besar mampu memudahkan kegiatan harian. Boleh saja bertukar baju dalam kereta, sekiranya lokasi penggambaran tidak menyediakan bilik persalinan atau tempat menukar baju.
Menurut Irma, dia benar-benar menyukai kenderaan jenis pikap yang menyediakan ruang tidak terhad buat pengguna.
"Saya cukup teruja dengan kenderaan yang dikenali sebagai kereta atau lori pikap. Paling saya minati adalah Toyota Hilux.
"Kondisi dalaman dan luaran kereta itu cukup luas, malah ia nampak berbeza dan memudahkan si pemandu untuk menyimpan banyak barang.
"Pernah juga suarakan hasrat untuk beli kereta jenis ini, tapi emak tidak membenarkan kerana dia kata pikap terlalu besar untuk saya.
"Lagipun emak tidak menyokong membeli kereta tersebut kerana saya ni perempuan. Mungkin emak fikir lebih manis kalau saya pandu kereta sederhana saja," ungkap Irma ketika diwawancara Kosmo! baru-baru ini.
Sekadar informasi dan panduan tambahan, sejarah lori pikap bermula dengan penciptaan lori pikap berasas Ford Model T yang dibikin pada tahun 1925.
Tidak dinafikan, kenderaan jenis ini banyak digunakan untuk tujuan komersiol, cuma sejak akhir-akhir ini lori pikap makin mendapat perhatian daripada pengguna.
Ia dilihat sebagai kenderaan terarah kepada gaya hidup berikutan reka bentuk dan model-model terkini yang memikat hati seperti Mitsubishi Triton dan Ford Ranger.
Di Malaysia, lori pikap ini tidak memerlukan si pemandunya mempunyai lesen memandu kelas E (kenderaan berat), sebaliknya memadailah dengan lesen kelas D (kereta) sahaja.
Mendengar nasihat daripada si ibu, Irma membiarkan begitu sahaja cita-citanya ingin membeli lori jenis pikap. Baguslah, kalau anak-anak macam Irma yang sanggup mendengar kata dan melupakan keinginan sendiri demi menjaga hati ibu sendiri.
Hinggalah suatu hari yang indah dan tidak terjangka, Irma membelek sebuah majalah kenderaan sekadar suka-suka.Daripada hanya mahu melihat-lihat keluaran kenderaan baru di pasaran, sepasang mata cantik Irma itu tertumpu kepada kenderaan kompak atau supermini, Mitsubishi Colt.
"Apabila tengok saja kereta itu, saya terus berkenan. Cepat-cepat saya telefon syarikat yang berkenaan untuk bertanya lebih lanjut tentang kenderaan itu.
"Puas menjalankan urusan tawar-menawar, saya menolak untuk membeli kereta tersebut kerana syarikat itu tidak berupaya menunaikan permintaan saya.
"Enggan berputus asa, saya menghubungi syarikat jualan kereta lain. Dari situlah, saya ditawarkan harga yang lebih rendah.
MESKIPUN berbentuk kompak, berada dalam kereta ini ibarat berada di rumah sendiri.
"Dengan hati dan perasaan yang penuh berbunga, saya terus bersetuju, lantas pergi ke kedai berkenaan yang terletak di Batu Caves," kata Irma yang dilahirkan pada 8 Januari 1982 sambil mengimbas keterujaan menjadi pemilik kereta berkenaan.
Dek semangat penuh membara, Irma terus membayar wang pendahuluan kereta itu sekali gus menyelesaikan beberapa prosedur penting bagi pembelian kereta termasuk membuat pinjaman daripada pihak bank.
Bermula bulan Julai 2007, Mitsubishi Colt dengan warna perak itu menjadi hak milik mutlak Irma.
"Sukar hendak digambarkan perasaan saya saat pertama kali menatap sendiri Mitsubishi Colt itu jadi kepunyaan saya.
"Memang gembira sangat disebabkan impian untuk memiliki kereta sendiri akhirnya termakbul jua, " tutur anak sulung daripada tiga beradik ini.
Kini secara eksklusif, peminat Irma dapat menonton sendiri kereta yang mengangkut artis kesayangan mereka sejak setahun lalu di jalanan.
Paling mengujakan, ruangan Ini Mobilku minggu ini sengaja ingin merobah sisi lain Irma yang selama ini nampak cukup anggun dan ayu tatkala wajahnya menghiasi mana-mana saluran media cetak dan elektronik tempatan.
INI aksi acah-acah saja tau, bukan betul-betul. Irma dengan aksi dengan kereta kesayangannya. ‘bergurau’ betul-betul.
Nah, lihat sahaja hasilnya. Irma mampu memperlihatkan aksi selamba dan gila-gila. Tanpa sebarang rasa keluh-kesah yang bermain di minda, Irma terus menunjukkan aksi menarik buat peminatnya.
Bukan itu sahaja, Irma sendiri yang mencadangkan beberapa gaya menarik untuk bergambar dengan kereta kesayangannya.
Macam-macam gelagat si Irma ini. Meskipun pada mulanya, jiwa muda Irma masih dibayangi perasaan malu-malu untuk bergambar, namun lama-kelamaan gundah-gulana itu terus terhapus.
Menyambung bicara, sepanjang setahun memandu kereta dengan harga RM80,000 tidak memberi sebarang masalah kepada Irma.
"Rasa selesa sangat pandu kereta ini. Paling menarik apabila minyak Mitsubishi Colt ini jimat betul.
"Walaupun harga minyak sekarang ini ada naik dan turunnya, tetapi saya bersyukur sangat sebab kereta ini tidak menggunakan banyak minyak.
"Bayangkan isi petrol sepenuh-penuhnya tangki minyak pun tidak sampai RM100. Cukup jimat dan menyenangkan hidup saya. Minyak yang diisi penuh itu, kalau dalam perjalanan dan mengembara pergi dan pulang ke Melaka pun tidak habis. Itu yang paling saya suka tentang Mitsubishi Colt ini," celah pemilik Diploma Kejuruteraan Elektrik (Telekomunikasi), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Selain itu, akui Irma, Mitsubishi Colt pun tidak banyak berada di atas jalan raya, lantas membuatkan ada yang tertanya-tanya tentang model sebenar kereta Irma.
"Saya memang menyukai sesuatu perkara lain daripada yang lain. Saya mengakui kuantiti Mitsubishi Colt ini memang tidak banyak. Tidak tahu apa puncanya, tapi saya anggap situasi ini nampak cukup unik.
"Bahkan ada juga rakan-rakan yang sering tanya jenis kereta saya, mereka mungkin tak tahu sangat tentang jenama ini" jawab wanita berdarah campuran Pakistan dan Cina ini sambil tersenyum manis tanda dia bahagia dengan kemunculan Mitsubishi Colt dalam hidupnya.
muah sekali kat Irma Hasmie hehe
ReplyDeleteMari Bersama Kami Menjadi Pengguna Dan Usahawan Perniagaan Rangkaian Produk Halal HPA Secara Online
Register Di Sini:
http://www.myfzbiz.com/?x=radix_hpa