|
|
SEJAK pembabitannya sebagai ‘orang televisyen’ beberapa tahun lalu, Ally Iskandar Mohd. Mardzi cukup sinonim dengan kepetahan serta tindak balas yang diberikan setiap kali mengendalikan sesebuah program.
Program-program terbitannya di TV3 juga selalu menjadi program wajib tonton semua khalayak.
Cukup sinonim dengan beberapa program termasuk Singgah Sahur, Konsert Jom Heboh serta Malaysia Hari Ini (MHI), Ally kemudian ‘membesar’ dengan variasi program yang menonjolkan kredibilitinya sebagai salah seorang perantara atau pengacara berwibawa tanah air.
Kini apabila dia muncul dalam program miliknya sendiri yang juga menggunakan namanya, Ally, sebagai label program kendalian terbaru yang disiarkan setiap Rabu pada pukul 11 malam di TV3 bermula tahun baru lalu, Ally kembali menggamit perhatian.
Banyak topik dan idea yang dibincangkan bersama barisan panel yang menampakkan hala tuju sebenar pemegang Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dan Pengajian Filem dari Universiti The Pacific, Stockton, California, Amerika Syarikat ini dalam usaha memperkasakan industri seni dan televisyen.
“Ini aspirasi yang lama saya simpan iaitu untuk mengendalikan sebuah program bual bicara yang mengupas tentang pelbagai isu semasa untuk dikongsi bersama semua,” ujar Ally mengenai program itu.
Sudah adat menjadi selebriti, Ally tidak terlepas dihinggapi gosip. Namun populariti yang dikecapi melalui kerjaya yang selalu membuat dia akrab dengan dunia hiburan juga sempat memercikkan api gosip bercinta dengan beberapa artis wanita tempatan termasuk Fasha Sandha dan Fara Fauzana.
Namun realitinya, lelaki yang dilahirkan pada 13 Januari 1976 di Kuala Lumpur tetapi dibesarkan di Gong Badak, Kuala Terengganu ini menegaskan: “Hubungan kami hanya sekadar teman dan saya belum punya calon untuk mendirikan rumah tangga.”
Pernyataan tersebut diterjemahkan Ally dengan kerja kuatnya sementara masih hidup membujang. Bagi anak kedua daripada tujuh beradik ini, kehidupan solonya mahu dimanfaatkan dengan bekerja kuat dan mengumpul aset untuk sebuah kehidupan yang lebih baik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: