Wednesday, January 14, 2009

Dengarnya... Pandainya pelakon ini buat helah


CIK Normah dengar cerita seorang pereka yang tidak kurang popularnya sudah bengang dengan seorang pelakon ini. Dia ini kalau Cik Normah sebut namanya, mungkin ramai yang tak berapa nak kenal. Tapi kalau melihat wajahnya, mesti ramai yang perasan sebab dia ni pun banyak juga berlakon drama.

Apa yang membuatkan si pereka bengang dengan pelakon yang baru nak naik ini sebab sikapnya yang asyik memungkiri janji. Beberapa kali dia berjanji nak tolong si pereka peragakan pakaiannya untuk beberapa pameran. Janji saja lebih lepas itu habuk pun tak ada.

Masuk baru-baru ini, sudah dua kali si pelakon ini buat hal’ dengan pereka itu. Kali pertama, dia kata neneknya meninggal dunia. Pereka ini pun tumpang simpati, dia pun ada hati perut, tak sampai hatinya nak suruh si pelakon ini beraksi atas pentas peragaan.

Selepas itu, pereka ini mengundang lagi pelakon itu untuk menjayakan satu pamerannya. Tup...tup kali ini dia beritahu kepada pereka itu, sekali lagi dia tak dapat nak hadiri kerana terpaksa pergi ke selatan tanah air kerana saudara terdekatnya pula meninggal dunia. Bila insiden yang sama berulang kembali, si pereka jadi hilang sedikit kepercayaan kepada pelakon itu.

Pereka itu siap tunjukkan lagi SMS aktres itu kepada kawan Cik Normah yang cantik meletup itu. Dalam nada yang cukup kesal, pereka itu beritahu, dia tak mahu lagi undang pereka itu kerana sudah tawar hati dengan sikap pelakon berkenaan.

Pereka itu bukan nak menidakkan soal kematian tetapi itu kerja tuhan. Tapi dia berasa curiga sebab setiap kali dia undang pelakon wanita itu, mesti ada saja alasan yang diberikan. Kalau tak mahu baik beritahu dari awal. Kalau betul, pereka itu tak kisah. Cuma dia bimbang kalau si pelakon penipu!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: