Sunday, January 11, 2009

Cinta Segera Que Dan Linda





PERNYATAAN cinta yang menggebu nyata tidak disembunyikan lagi. Baik aktor Que Haidar mahupun kekasihnya koreografer Linda Jasmine, masing-masing menonjolkan emosi gembira mereka dengan saling tertawa dan menyatakan perasaan tidak sabar untuk segera bernikah.

Hadir bersama di Butik Calvin Thoo di Kuala Lumpur untuk memilih busana yang bakal digayakan sempena majlis memotong kek pada hari penyatuan mereka tanggal 14 Februari depan, pasangan yang berbeza jurang usia enam tahun itu menumpahkan perasaan mereka menghitung detik bahagia.

Kenapa dipilih tarikh 14 Februari? Macam mahu mengagungkan budaya Barat.

Que (Q): Bukan, sebab kami tak mahu mengikut budaya barat seperti banyak pasangan kekasih meraikannya, jadi kami memilih untuk diijabkabulkan pada hari itu. Kalau orang bagi bunga, saya melihat ikatan ijab kabul itu adalah hadiah terbaik antara saya dengan Linda.

Linda (L): Sebenarnya kami juga tak sabar nak kahwin cepat. Sebab sebelum ini kami merancang untuk berkahwin pada bulan Oktober. Namun tak sempat dan kami fikir mahu melangsungkan pada Januari, juga begitu terkejar-kejar. Akhirnya kami memilih 14 Februari kerana senang diingati. Tarikh itu juga jatuh pada hari Sabtu, sekali gus memudahkan tetamu kami hadir.

Kenapa nak kahwin cepat? Tak rasa masih awal berkenalan dan tergesa-gesa?

L:Sebab saya nak kehidupan baru saya cepat bermula.

Q: Saya rasa kalau saya kahwin cepat, hidup saya akan terurus. Walaupun dia cerewet, tapi saya okey sebab dia membantu saya. Agaknya juga kerana soal hati, soal cinta dan saya bersyukur kerana perkara baik ini terjadi.

Que, sukarkah meyakinkan Linda untuk menikahi anda?

Q:Tidak, tapi kami ada berdialog tentangnya beberapa kali. Masa mula-mula tanya, saya berdebar juga, tapi bila dia kata okey, lega betul. Dan daripada pertanyaan pertama, saya sering tanya lagi sebab saya takut dia ingat saya main-main. Akhirnya kami serius dan sepakat untuk segera bernikah.

L:Mana taknya, masa mula-mula dia tanya, dia tanya 'You nak kahwin lagi?' Saya tak faham soalan dia. Nak saya kahwin dengan dia atau orang lain.

Q:Maksud saya, saya tanya dia nak kahwin lagi dan kahwin dengan saya ke? Lucu.

Ada banyak pertembungan dan perbezaan antara kalian berdua. Dari segi usia, budaya dan cara hidup. Linda anak moden dan Que sebaliknya. Jadi bagaimana Que dan Linda melihat isu-isu ini?

Q: Itu saya tak nafikan. Tetapi pertembungan-pertembungan ini yang membuatkan kami lebih saling mendekati dan mengenali. Kami begitu menyayangi antara satu sama lain.

L:Orang bandar atau kampung sama sahaja. Malah pertama kali bertemu ibu Que, saya gemuruh dan kami ada berbincang tentang pertembungan-pertembungan ini. Tapi Alhamdulillah, memang tak ada masalah kerana kami saling berterus terang.

Ramai yang kata kalian macam tak sesuai bersama?

Q:Tak kisahlah yang penting kami bahagia. Saya akan jaga rumah tangga saya, jadi orang yang kata kami tak sesuai, jagalah rumah tangga mereka sendiri.

Ini perkahwinan pertama Que dan kedua buat Linda. Keluarga Que cakap apa? Ini satu kelebihan buat Linda bukan?

Q: Semua ibu bapa akan risau apabila anak mereka ingin berkahwin. Itu normal.

L:Ya, saya akui kelebihan itu. Kelebihan menjadi panduan buat saya. Perkahwinan lalu juga menjadikan saya lebih matang dan belajar memperbaiki kesilapan lalu. Tentunya saya mengharapkan agar perkahwinan ini kekal.

Que, banyak orang kata Linda seksi. Adakah anda akan mengubah dia kelak?

Q: Mulut dan kehendak orang tidak boleh ditutup atau dipuaskan. Saya tak akan ubah dia. Saya terima dia seadanya. Saya tak mahu dia jadi hipokrit hanya untuk membuat orang tidak bercakap yang bukan-bukan. Jangan cepat menghukum orang.

L:Saya akan terus menjadi diri sendiri dan berharap orang bersikap lebih terbuka. Yang penting niat saya.

Bagaimana tentang anak? Maaf dengan soalan ini, sebab wanita pada usia lebih 30 tahun selalu mengalami komplikasi kelahiran anak.

L: Saya harap saya okey. Sebab ada saudara saya, pada usia 45 tahun pun masih mendapat anak. Jadi saya harap saya okey dan saya memang nak anak lagi. Kita usaha dan berserah.

Siapakah di belakang perkahwinan?

L:Perancang perkahwinan kami ialah Jeslina Hashim. Kami bernikah di Bora Ombak, memakai busana daripada Datin Kirana untuk akad nikah. Untuk majlis sanding, saya pakai rekaan Syaiful Bahrim sementara Que daripada Lord's Taylor. Busana potong kek daripada Calvin Thoo. Sementara untuk majlis di Johor Bahru pula kami pakai rekaan Datin Kirana dengan kek daripada Thebloomingcakes.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: