Monday, January 5, 2009

Cinta Baru? Selesa Sendiri

Jehan kini bangkit dengan semangat baru untuk tahun 2009 dan memadam segala kesedihan yang pernah bersarang di hatinya.


JEHAN juga seorang individu yang gemarkan aktiviti fizikal seperti rock climbing dan skuba diving.



AKTOR tampan dan bertubuh sasa, Jehan Miskin, 29, sememangnya sudah tidak asing lagi di kalangan industri hiburan tanah air.

Kerjayanya sebagai pelakon semakin bersinar meskipun awal tahun ini, kariernya sedikit terjejas apabila kisah percintaannya dengan pelakon jelita, Jue Aziz sampai ke titik noktahnya.

Insiden itu menyebabkan Jehan membawa diri yang lara ke kota New York selama tiga minggu untuk menenangkan diri dan memadamkan kesedihan yang bersarang di hati.

Kini, Jehan sudah kembali dengan semangat baru untuk terus memantapkan dirinya menjadi pelakon yang berkaliber dan punya berkarisma. Antara drama terbaru lakonannya ialah Mertua vs Menantu, Dayabumi Taubah dan Siri Noktah Pilu.

Pengacara rancangan Health Buzz yang disiarkan di TV3 ini bagaimanapun mengakui dirinya tiada masa untuk mencari cinta baru dan lebih senang bersendiri.




Apa harapan Jehan untuk tahun 2009?

JEHAN: Tahun 2009 akan menyaksikan dunia dilanda situasi ekonomi yang tidak menentu ekoran krisis kewangan yang berlaku pada tahun ini. Justeru, saya berharap rezeki saya untuk tahun depan masih lagi baik seperti sebelumnya.

Di samping itu, saya juga berharap ekonomi negara akan terus berkembang sekali gus mampu menghadapi dilema krisis ekonomi yang lembap di pasaran global demi kemakmuran seluruh rakyat Malaysia.

Untuk perancangan diri pula, saya turut terlibat dalam perniagaan jualan langsung (MLM) Uptrend Network Sdn. Bhd. di bawah Konsortium Stars2u Sdn. Bhd. yang diharap dapat berjalan dengan baik. Apa yang pasti, semoga tahun 2009 akan membawa sinar kebahagiaan kepada semua.

Azam tahun baru?

Ingin menjadi seorang anak yang baik, abang yang memahami, rakan yang disenangi, pelakon yang berwibawa dan secara keseluruhannya manusia yang lebih baik dan berguna.

Aktiviti yang sering dilakukan jika tiada penggambaran?

Jika tiada sebarang penggambaran, pertama saya akan menyediakan ruang untuk bersama keluarga dan kawan-kawan. Kedua, saya akan melakukan aktiviti fizikal seperti panjat batu, belajar seni mempertahankan diri, selam skuba, belajar tarian baru dan banyak lagi.

Contohnya bulan lepas saya menyertai aktiviti membersihkan terumbu karang di Pulau Redang. Ia begitu menyeronokkan.

Selain itu, saya juga gemar membaca bahan bacaan berilmu di waktu lapang. Membaca adalah tabiat saya sejak kecil lagi.

Ia terbawa-bawa hinggalah saya dewasa. Biasanya saya akan membaca bahan bacaan ringan terlebih dahulu, sebelum tidur.

Makanan dan minuman kegemaran Jehan?

Makanan Thai iaitu kari hijau. Ais batu campur (ABC) pula adalah minuman kegemaran saya.

Gaya atau fesyen pilihan anda apabila keluar?

Saya sebenanya seorang individu yang ringkas dalam berpakaian. Saya lebih senang mengenakan jean dan kemeja-t apabila keluar bersantai.

Tetapi, apabila menghadiri sesuatu majlis anugerah atau hiburan, saya akan pakai pakaian yang bersesuaian dengan tema majlis tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: