Monday, January 5, 2009

Tema Rona Putih

Industri fesyen pada tahun ini banyak memberi tumpuan menghasilkan koleksi pakaian yang lebih ringan dan ringkas.




ADAKAH anda sudah bersedia melakukan transformasi diri sempena tahun baru 2009? Jika sebelum ini anda lebih selesa dengan penampilan yang ringkas, apa kata pada tahun ini anda memberanikan diri mencuba gaya dan fesyen yang terkini.

Pelbagai rekaan dan koleksi fesyen daripada variasi label tempatan dan antarabangsa menanti peluang untuk membaluti tubuh anda. Semestinya aliran fesyen pada tahun ini bakal mengalami revolusi yang lebih menarik.

Menurut pereka fesyen, Rizalman Ibrahim, 38, tahun 2009 menyaksikan pelbagai perubahan dan penambahan fesyen tempatan dan antarabangsa. Namun penghasilan sesebuah tema fesyen itu tertakluk pada perkembangan masa dan global.

Menyedari ekonomi dunia bakal merudum dan orang ramai mengambil langkah berjimat-cermat, maka industri fesyen banyak memberi tumpuan kepada penghasilan koleksi pakaian yang lebih ringan dan ringkas.

Katanya, sebelum menghasilkan sesuatu rekaan, kumpulan pereka melakukan kajian dengan melihat isu-isu yang melanda dunia dan trend fesyen di Eropah. Sekiranya berlaku bencana alam, warna-warna gelap dan suram digunakan untuk membuat busana.

"Tahun 2008 menyaksikan penggunaan warna-warna ceria dan terang. Tahun ini pula menampilkan warna-warna lembut, terutama rona putih yang akan menjadi tumpuan ramai.

"Jangan takut bergaya dengan busana putih kerana penampilan kita tampak lebih anggun, suci dan bersih. Sedikit sebanyak warna tersebut dapat melahirkan mood yang segar dan ceria," tambah Rizalman yang sudah 16 tahun menceburi industri fesyen tanah air.


PENAMPILAN busana kaftan tampak menawan dengan padanan aksesori yang sesuai.


Menyentuh mengenai rekaan dan potongan, bekas graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu memberitahu, ia bergantung pada label dan pereka fesyen itu sendiri.

Katanya, kumpulan pereka dijangka berbalik pada rekaan yang mencerminkan budaya dan warisan tempatan.

"Tetapi, tidak bagi koleksi fesyen di China. Ini kerana mereka lebih cenderung menyelitkan elemen dan ciri-ciri fesyen dari Barat. Situasi ini berlaku selepas acara Sukan Olimpik di Beijing berlangsung," ujarnya.

Menurutnya, tugas memperkenalkan kesenian China sudah tertera pada rekaan fesyen sebelum pelancaran Sukan Olimpik. Justeru, kebanyakan jenama dan pereka fesyen di negara itu menampilkan koleksi busana yang diperbuat daripada fabrik dan motif cetakan yang mencerminkan budaya tempatan. Kesannya, pada tahun 2009, masyarakat di Barat beralih angin untuk memiliki busana berkonsepkan rekaan antarabangsa.

"Bagi label Rizalman Ibrahim Couture, kami cuba menampilkan rekaan Melayu moden kontemporari. Contohnya dengan memperbanyakkan himpunan baju kaftan yang diberi sentuhan dalam pelbagai warna dan corak," katanya.

Baju kaftan sesuai digayakan ketika bersantai, koktel atau majlis formal.

Paling penting golongan wanita perlu bijak memadankannya dengan aksesori (rantai, beg tangan dan sepatu) yang sesuai. Rizalman juga berkata, kaftan berpotongan labuh lebih elok digayakan kerana ia memberi ilusi menawan kepada si pemakai.

Rizalman yang telah berpindah butik di bangunan setinggi tiga tingkat di Bukit Bintang, Kuala Lumpur memberitahu, tiada fabrik tertentu yang menjadi tumpuan.




Biasanya jenis fabrik dipilih setelah melakukan proses rekaan. Tambahnya: "Sebaik-baiknya, kita memikirkan rekaan yang diminati terlebih dahulu. Kemudian, barulah mendapatkan fabrik yang sesuai kerana tidak semua tekstil padan dengan rekaan tersebut."

Sementara itu, Syaiful Baharim yang pernah dinobatkan sebagai Pereka Avant-Garde Terbaik dan Pereka Kasual Terbaik MIFA 2004 memberitahu, biasanya fesyen di Malaysia banyak dipengaruhi dan mengikut trend antarabangsa. Namun bukan semua fesyen dari Barat sesuai diterapkan dalam kalangan masyarakat tempatan.

Justeru, pereka muda itu hanya mengambil elemen rekaan yang dirasakan sesuai digayakan di Malaysia.

"Tahun 2009 banyak memberi penekanan pada sharp tailoring dan gaya daripada pelbagai sumber (eklektik). Misalnya memadankan legging bersama blaus atau dres mini. Menerusi kaedah yang lebih popular digelar mix & match, ia dapat memberi peluang kepada kita untuk bergaya ranggi, funky, anggun atau vintaj.

"Tidak kira golongan wanita atau lelaki, kita harus berani bereksperimen dengan gaya tersendiri kerana fesyen itu amat subjektif dan luas maksudnya," ujarnya yang menggalakkan pengguna membeli koleksi pakaian berasaskan warna gelap (hitam dan coklat). Ini kerana ia mudah untuk disesuaikan dengan warna lain sekali gus menjimatkan wang.

Disebabkan tahun 2009 merupakan tahun yang berkait rapat dengan isu ekonomi, maka kebanyakan pengilang tidak mengeluarkan fabrik mewah dan mahal. Sebaliknya, kain sifon dan sutera antara kain yang sesuai.


REKAAN Calvin Thoo pada 2009 banyak diinspirasikan daripada unsur laut dan hutan menghijau.


Pandangan yang sama turut dilontarkan oleh pereka Calvin Thoo. Melihat situasi orang ramai yang menanam sikap untuk mengitar semula, jadi fesyen tahun 2009 juga melibatkan tema alam sekitar. Warna dan corak kebanyakannya mengambil ilham daripada unsur-unsur laut dan hutan yang menghijau, misalnya warna biru firus, hijau kebiru-biruan, hijau, kuning, coklat, merah dan kuning.

"Kegawatan ekonomi? Bagi saya, rekaan baju yang dihasilkan lebih kurang sama, cuma rekaannya lebih ringan."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: