Sunday, January 18, 2009

Cari cinta, bukan harta - Rozita







“CANTIKKAH saya?” tanya Rozita Che Wan, 35, dalam ketawa manja. Pertanyaan penulis berbalas soalan apabila menanya Rozita mengenai konflik wanita cantik. Sambungnya: “Sukarnya kerana terdedah kepada fitnah.”

Masih berkisar perihal cantik, sekali lagi dia tertawa manja, “Saya rasa saya tidak cukup cantik. Kata orang, wanita cantik selalu dapat barangan yang mahal. Tetapi saya tidak pernah dimewahkan sebegitu.

“Cukup hanya dihantarkan bunga atau di-SMS (Khidmat Pesanan Ringkas) menyatakan hasrat berkenalan.” Ia satu pernyataan yang sekali gus membuktikan dia tidak pernah dihujani kemewahan material.

Seperti luahan Rozita di atas kertas kajang dua muka surat yang disuakan kepada VAZZ, dia menegaskan dirinya bukan wanita murahan. Individu-individu bergelar VIP (orang kenamaan) tidak pernah gagal digosipkan dengan dirinya. Tetapi siapa sebenarnya mereka ini pada mata Rozita sendiri?

“Ada antara mereka gunakan duit untuk beli perempuan. Sukar untuk mencari lelaki sebegini yang jujur. Pada mereka duit boleh beli segalanya.

“Mereka juga terdedah dengan wanita cantik di mana sahaja. Jadi di mana akhirnya? Selepas berjumpa seorang, tidak mustahil untuk mereka bertemu yang lain pula pada masa depan.”

Saya soal, adakah seorang Rozita Che Wan memerlukan perbelanjaan yang tinggi maka sebab itu dia dikaitkan dengan lelaki-lelaki kaya sahaja?

Jawabnya: “Mahu sahaja saya katakan kepada mereka yang berpendapat sebegitu bahawa bukan mereka yang perlu menjaga diri saya.

“Kehidupan saya biasa-biasa sahaja. Perbelanjaan saya hampir serupa dengan wanita yang lain.”

Apa yang menjadi keutamaan Rozita adalah perkara asas yang perlu dilunaskan – rumah, kereta, perbelanjaan sekolah anak-anak, gaji pemandu, barangan rumah dan petrol kereta.

“Saya jarang ke spa mahupun salon. Begitu juga gimnasium. Tidak juga saya membuat rawatan muka. Kali terakhir saya ke salon ialah bulan Mei tahun lalu.

“Saya juga jarang keluar bersosial. Kalau yang menjadi obsesi saya hanyalah minyak wangi yang saya gunakan sebotol seminggu. Lalu bagaimana saya dilabelkan sebagai ‘wanita maintenance tinggi’?”


CUKUP sekadar jambangan bunga, Rozita yang bakal bergelar DSP Zita melalui drama bersiri Gerak Khas, tidak perlu dimewahkan dengan harta untuk memenangi hatinya.


Menurut Rozita, pekerjaan dan anak-anak menjadi antidot kepada rusuh hatinya menghadapi semua cerita orang. Tidak lama lagi pelakon yang berasal dari Kedah ini bakal bergelar DSP Zita melalui drama bersiri Gerak Khas.

Kepadanya, suasana penggambaran dan kesibukan dapat menukar hala tuju pemikiran dan ia adalah lebih penting daripada terlalu memikirkan cakap-cakap orang.

“Saya mencari cinta, bukan harta,” tegas wanita ini yang kini bergelar duta barang kemas Avon.

Melihat ke dalam mata yang diselaputi warna biru kanta lensa, orang akan menemui kejujuran di situ.

Saya cuba bertanya lagi, bagaimana keadaan seorang Rozita apabila jatuh hati dan lelaki yang bagaimana dapat membuat dia berasa kuasa listrik cinta?

“Saya tahu saya jatuh cinta apabila hati saya sering berdebar-debar dan sering melihat ke arah telefon bimbit. Memeriksa sama ada terdapat SMS yang dikirimkan olehnya.

“Saya kurang gemar lelaki berusia. Saya mahukan lelaki muda. Lelaki yang tidak berfikiran kolot dan dapat mengawal keadaan.

“Dia juga perlu bijak dan pandai bercakap. Saya hanya mahu mendengar dia berkata-kata dan saya akan terdiam sambil memerhati,” ujarnya tersenyum cantik.

Tuturnya dalam senyuman ditemani tahi lalat di pipi: “Kalau benarlah lelaki kaya itu jujur dan mahu membantu ibu tunggal, saya sarankan mereka berkahwin dengan wanita yang dalam kesusahan.

“Itu baru benar-benar dinamakan pertolongan yang ikhlas.”

Rozita lantas bersiap-siap untuk sesi fotografi VAZZ kali ini dalam emosi gembira, namun hanya Tuhan yang tahu apa yang terkandung dalam diri dan hatinya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: