Saturday, January 24, 2009

Bahagia hidup sendiri


BERCINTA kemudian berpisah seolah-olah sentiasa mengejar kehidupan aktres Kate Hudson, 29, selepas bercerai dengan Chris Robinson pada 25 Oktober 2007.

Sejak bergelar janda selama dua tahun, ibu seorang anak lelaki, Ryder Russell Robinson yang genap usia lima tahun pada 7 Januari lalu, dua kali putus cinta. Kali pertama dengan aktor Owen Wilson pada Ogos 2007 diikuti jaguh lumba basikal, Lance Armstrong, Mei tahun lalu.

Kate berkata, dia tidak mahu terburu-buru untuk kembali menjalin hubungan dengan mana-mana lelaki selepas ini, malah tidak pasti apakah akan berkahwin lagi.

“Saya kini mahu menikmati kehidupan solo dan tidak mahu terburu-buru mengejar cinta baru. Sebabnya, buat masa ini saya benar-benar bahagia dengan kehidupan solo kerana tidak pernah melalui saat begini sebelum ini. Malah, saya tidak tahu apakah akan berkahwin lagi selepas ini.

“Tidak dinafikan, saya bahagia ketika menjalin perhubungan dengan seseorang dan saya memang sukakannya. Saya juga tidak pernah menyesali kegagalan perkahwinan lalu walaupun sesaat.

“Malah saya bersyukur pada Tuhan kerana dipertemukan dengan Chris. Dia kini menjadi sebahagian daripada hidup saya dan saya melalui detik indah sepanjang bersamanya. Kami saling mencintai dan dikurniakan anak yang bijak.

“Tapi apabila hidup solo, saya rasa seperti punya kekuatan dan ini kali pertama saya melihat kehidupan saya kini dengan perspektif baru. Jadi, saya mengambil satu keputusan wajar dengan kekal solo selama yang saya mampu,” katanya.

Apapun kata anak perempuan aktres Goldie Hawn ini, hanya ada satu lelaki yang sentiasa hadir dalam hidupnya iaitu anak lelakinya hasil perkongsian hidup dengan Robinson.

Malah, Kate yang kini sibuk dengan promosi filem terbaru lakonannya, Bride Wars, bercadang berehat panjang tahun depan semata-mata mahu meluangkan banyak masa bersama anaknya. Sepanjang tahun lalu, jadual kerja Kate cukup padat dengan membintangi Bride Wars, My Best Friend’s Girl dan kini sibuk dengan filem terbaru, Nine.

Akui Kate, apa yang paling membahagiakan dirinya apabila Ryder melompat ke katilnya sebaik saja bangun daripada tidur lalu dengan pantas memeluk erat anaknya dan Ryder berkata: “Mama lihatlah matahari sudah tinggi.”



“Ia pagi yang cukup indah dan detik yang cukup membahagiakan. Apakah saya sanggup tinggalkannya kerana tuntutan kerja? Sudah tentu tidak.



“Dia mempunyai otak berbeza dengan saya. Saya lebih kepada sukan dan aktiviti lasak, Ryder pula lebih banyak berfikir. Dia juga sukakan muzik dan sangat meminati lagu Coldplay, Viva La Vida.

“Malah saya terkejut melihat betapa cepatnya dia membesar. Seperti baru semalam dia dilahirkan ke dunia tetapi kini usianya sudah lima tahun,” katanya.

Mengenai pengalamannya ketika penggambaran filem Bride Wars yang turut dibintangi Anne Hathaway, Kate mengakui pada satu tahap benar-benar mendalami wataknya hingga bertindak di luar sedar.

Katanya, dia tanpa disedari menumbuk Anne dengan kuat pada bahagian mukanya ketika satu babak pergaduhan.

“Ketika kami sangat letih dan saya benar-benar geram hingga menampar mukanya dengan sangat kuat. Dia seperti berkata, tumbuklah lagi. Dua jam selepas babak itu, dia duduk di belakang kereta dengan bungkusan ais di wajahnya.

“Ketika itu barulah saya rasa sangat teruk. Saya benar-benar membuatkan dirinya bermasalah,” katanya.

Dalam filem yang mula ditayangkan di pawagam Amerika sejak 9 Januari lalu, Kate dan Anne menjadi kawan baik yang sentiasa suba mensabotaj satu sama lain, mendapati mereka bakal melangsungkan perkahwinan pada hari yang sama.

Kate yang mula menjadi tumpuan selepas menang Aktres Pembantu Terbaik di Anugerah Golden Globe menerusi lakonannya dalam Almost Famous pada 2001, mula dipertemukan dengan Robinson, anggota kumpulan Black Crowes, dalam satu majlis Halloween pada Oktober 1998.

Mereka kemudian dilihat keluar bersama ketika menyaksikan persembahan Kids In The Hall pada Mei 2000 dan beberapa hari selepas itu mengakui saling menyintai satu sama lain dan tidak menafikan mereka mahu berkahwin.

Pasangan ini melangsungkan perkahwinan di ladang milik Goldie dan Russell Crowe di Colorado pada 31 Disember 2000. Rumah tangga yang dibina tambah bahagia dengan kelahiran Ryder.

Selepas hampir enam tahun berkahwin, pasangan ini berpisah pada 14 Ogos 2006 dan Wilson dikatakan punca keretakan hubungan mereka selepas sama-sama membintangi filem You, Me And Dupree. Pada 17 November 2007, Robinson menfailkan cerai dan mereka bercerai secara rasmi pada 25 Oktober 2007.

Wilson dan Kate muncul bersama di khalayak ramai ketika tayangan khas filem lakonan Matthew McConaughey, We Are Marshall di Australia tetapi berpisah pada Ogos 2007. Selepas itu, Kate menjalin hubungan dengan Armstrong pada Mei tetapi tidak lama selepas itu mereka berpisah. Kini Armstrong menanti detik kelahiran anaknya bersama Anna Hansen pada Jun ini.



>Profil

Nama sebenar: Kate Garry Hudson

Nama timangan: Katie

Tarikh lahir: 19 April 1979

Tempat lahir: Los Angeles, California, Amerika

Tinggi: 1.68 meter

Bapa: Bill Hudson

Ibu: Goldie Hawn

Anak: Ryder Russell Robinson (7 Januari 2004)

FILEM: Bride Wars (2009), Nine (2009), My Best Friend’s Girl (2008), Fool’s Gold (2008), You, Me and Dupree (2006), The Skeleton Key (2005), Raising Helen (2004), How to Lose a Guy in 10 Days (2003), The Four Feathers (2002), Almost Famous (2000)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: