Thursday, January 22, 2009

Astro terbuka terima maklum balas mengenai AF




MAKLUM balas dan komen peminat Akademi Fantasia (AF) dan pihak media sering dijadikan landasan terbaik untuk memantapkan penerbitan program realiti nombor satu di Malaysia ini.

Elemen pembaharuan dan kejutan yang cukup sinonim dengan pertandingan ini usah diragui lagi. Lalu, syarat membenarkan golongan artis dan membuka peluang kepada warga negara Singapura antara kelainan yang cuba ditampilkan pada program yang bakal merentas musim ketujuh dijangka memulakan siarannya Mac ini.

Biar apa juga persepsi masyarakat terhadap AF termasuklah pandangan sesetengah pihak yang mengharapkan supaya program ini dihentikan seketika rentetan kesuraman populariti yang dikecapi beberapa tahun kebelakangan ini.

Stesen berbayar Astro masih tegar untuk melaksanakannya pada tahun ini. Uji bakat pertama AF7 sudah dimulakan di Kuala Lumpur pada 17 dan 18 Januari lalu.

Jumlah kehadiran peserta menyertai uji bakat tempoh hari dilihat memberangsangkan biarpun diakui potensi yang diperoleh agak mendukacitakan. Namun, itu hanya permulaan, siri uji bakat ini akan berjalan seterusnya ke Johor Bahru, Sabah dan Sarawak sebelum kembali semula ke Kuala Lumpur. Dengan pasukan penerbitan baru, Astro positif untuk kembali menyemarakkan AF7 diketuai Penerbit Eksekutifnya, Sooraj Nair.

“Apa yang kami lakukan pada tahun ini berdasarkan menutupkan kekurangan yang mungkin wujud dan diperkatakan tahun lalu. Apa yang berkesan dan apa yang diingini orang di luar sana tanpa mengubah format asal program ini. Pihak kami membuat penyelidikan dengan pasukan yang betul selepas mendapat lampu hijau pemegang asal hak program ini.

“Durasi uji bakat pada setiap peringkat dilaksanakan dengan lebih cepat dan tepat. Menyanyi secara acapella dilakukan bagi membolehkan juri menilai siapa yang layak dengan pantas selama tiga minit berbanding 10 minit pada tahun lalu. Pihak penerbitan mencari peserta yang ada kualiti dan pakej yang lengkap untuk diketengahkan menjadi bintang,” katanya yang ditemui Hip pada satu sidang media ringkas hari pertama uji bakat dijalankan.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan mengharapkan musim ini akan dihasilkan dengan lebih hebat dan lain daripada yang lain. Keputusan membenarkan warga negara Singapura menyertai uji bakat juga menjadi batu loncatan bagi Astro meluaskan empayarnya di sana termasuklah mengikuti jejak sebuah program realiti membenarkan golongan artis turut serta.

Mengenai urusan undian SMS melangkaui negara lain, Khairul belum boleh menjelaskan lanjut kerana semuanya masih di dalam perbincangan. Jelas Khairul, setakat ini kita hanya membuka penyertaan kepada peserta dari negara itu dan belum pasti lagi sama ada akan ada peserta negara itu yang layak. Ditanya mengenai kenapa tidak dibuka penyertaan ke negara Brunei, Khairul menjelaskan negara itu tidak mahu kerana terikat dengan peraturan stesen TV mereka.

“Sebagai strategi meluaskan pasaran dan kerjasama rakan kongsi di Singapura yang berminat untuk mendapatkan siaran Astro Ria, lalu tak salah kalau kita membuka peluang kepada penduduk di sana. Umum sedia maklum AF menjadi format program yang berjaya dan mendapat sambutan di Malaysia. Kita bangga kalau produk Malaysia dapat dikembangkan ke negara lain.

“Di Thailand pun ada program ala AF begitu juga di Indonesia yang hanya bertahan empat musim. Saya difahamkan ada lagi beberapa negara yang mahu mengadaptasi program ini di negara mereka. Satu proses perbincangan juga sedang dilakukan mengusulkan kepada pemegang format asal program ini, TV Azteca untuk dianjurkan pertandingan membabitkan persaingan negara luar seperti mengadakan pertandingan seperti World Idol. Tapi banyak faktor perlu dipertimbangkan termasuklah kekangan soal ekonomi dan logistik,” kata Khairul Mizan yang turut hadir pada sidang media ringkas ini.

Kata Khairul lagi, penyertaan artis perlu dibuktikan bahawa mereka tidak terikat dengan kontrak syarikat rakaman. Pembabitan artis mampu menjadi penanda aras untuk terus memacu program realiti ini. Peserta yang diuji bakat juga mungkin diserap ke program lain terbitan dan disiarkan di Astro.

Info AF7

  • Lokasi uji bakat seterusnya akan diadakan The Zon Regency Hotel, Johor Bahru (24-25 Januari), Borneo South Atrium, Kota Kinabalu (30-31 Januari), Enter K Entertainment, Crown Square, Kuching (31 Januari dan 1 Februari) dan Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur (7-8 Februari).

  • Antara juri yang terbabit di peringkat uji bakat ini ialah Fatimah Abu Bakar, Syafizawati Sharif, Ida Nerina, Mok Search, Edrie Hashim, Nurul Huda, Syaiful Rizal Kamarudin dan Fatimah Ismail.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: