DALAM usahanya mengukuhkan nama di persada antarabangsa khususnya rantau Asia Tenggara, KRU Studios (KRU) mengorak langkah positif apabila menjalin hubungan kerjasama dengan syarikat media gergasi, Astro.
Termeterainya apa yang dikatakan 'output agreement', kerjasama itu membolehkan pelanggan Astro di tanah air dan juga negara-negara seperti Singapura, Brunei, Indonesia serta Vietnam akan dapat menikmati filem-filem KRU Studios melalui perkhidmatan Astro Box Office atau saluran lain.
Walaupun ia biasa dilakukan oleh syarikat-syarikat penyiaran asing, output agreement merupakan perjanjian yang julung kali ditawarkan Astro kepada syarikat penerbitan tempatan.
Kerjasama yang bermula 1 Januari lalu tersebut akan berlangsung selama tiga tahun membabitkan 12 buah filem terbitan KRU Studios.
Ketua Pegawai Eksekutif KRU, Norman Abdul Halim berkata, apa yang 'dianugerahkan' kepada KRU oleh Astro itu merupakan satu penghargaan dalam usaha KRU bergerak lebih cemerlang serta terus berkarya untuk tahun mendatang.
"Kami berasa amat bertuah dan terharu dengan kepercayaan Astro dan akan memastikan produk-produk terbitan KRU akan mendapat tempat di hati penonton Astro.
"Perjanjian ini bukan sahaja dapat memberikan perolehan kewangan bagi kesemua filem-filem terbitan kami tetapi membantu memperkenalkan produk KRU di peringkat antarabangsa.
"Ia memberi keyakinan kepada KRU untuk terus meningkatkan produktiviti serta pelaburan apabila KRU Studios berpindah ke Cyberjaya nanti,'' katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman kerjasama KRU Studios-Astro di Menara Kuala Lumpur baru-baru ini.
Hadir sama, Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd., Zainir Aminullah.
Ujar Norman, output agreement dengan Astro juga merupakan satu pengiktirafan yang besar di atas hasil usaha, kemahiran teknikal dan kreaticiti tenaga kerja, para karyawan dan pelakon yang terlibat dalam filem-filem KRU Studios.
"Segala karya KRU Studios akan mendapat keutamaan untuk ditayangkan di Astro, Namun, ia masih boleh disiarkan di stesen televisyen lain sebaik berakhirnya penyiaran di Astro,'' jelasnya.
Sementara itu, Zainir yang ditanya mengenai kerjasama antara KRU dan Astro berkata, KRU telah membuktikan bahawa filem-filem mereka bukan sahaja mendapat sambutan baik di kalangan penonton tetapi mempamerkan kemahiran teknikal bagi penerbitan visual dan audio khususnya teknik imej janaan komputer (CGI).
Jelasnya, perjanjian kerjasama itu juga membuktikan kesungguhan Astro dalam mengembangkan industri penerbitan bahan hiburan tempatan dan diketengahkan ke peringkat antarabangsa.
"Kita memberi jaminan kepada KRU, walau apa jua sambutan yang diterima terhadap karya mereka di pawagam, ia akan tetap disiarkan di Astro.
"Saya juga berharap agar akan ada penerbit-penerbit lain mengikuti jejak KRU. Pasaran industri hiburan kita cukup kecil dan perlu dibantu,'' katanya.
Menurut Zainir, selepas tampat tempoh tiga tahun, pihaknya akan berunding sama ada meneruskan kerjasama dengan KRU atau memberi ruang kepada penerbit lain.
"Astro akan tetap menyokong apa jua usaha untuk menerbitkan hasil karya yang cemerlang menerusi platform yang disediakan.
"Ini kerana, pembekalan pengisian yang bermutu dan berkualiti sentiasa menjadi tonggak dalam memberikan yang terbaik kepada pelanggan Astro,'' ujarnya.
Komitmen KRU sepanjang 2009
Sementara itu, di majlis sama, KRU turut mengumumkan, senarai filem-filem terbitan dan edaran mereka yang bakal disiarkan sepanjang 2009 ini.
Filem berkenaan adalah Jin Notti lakonan Mawi, Fara Fauzana dan diarahkan Azhari Mohd. Zain; My Spy (lakonan AC Mizal, Harun Salim Bachik dan Hannah Tan, arahan Afdlin Shauki) serta Magika, lakonan Ziana Zain, Mawi, Diana Danielle dan diarahkan oleh Edry KRU.
KRU juga menyenaraikan filem antarabangsa terbitan mereka iaitu Deadline lakonan Brittany Murphy dan Thora Birch yang diarahkan oleh Sean McConville serta filem animasi berjudul Sunshine Barry & The Disco Worms dan Planet 51.
Kepada satu persoalan tentang penglibatan KRU dalam penerbitan filem luar, Norman menjelaskan bahawa ia sebagai inisiatif KRU untuk bertapak di peringkat antarabangsa.
Sebagai contoh, katanya, melalui filem Deadline, KRU bertindak sebagai pelabur kepada filem berkenaan selepas menjalin kerjasama dengan penerbitnya iaitu Roger Betterton ketika menghadiri American Film Market, November 2007.
"Filem itu telah siap menjalani pengambaran di Louisiana dan ia akan diedarkan untuk tayangan sekitar Julai atau Oktober ini di 11 buah negara termasuk Malaysia.
''Sebagai pelabur, kita juga terlibat dalam memberikan input perjalanan cerita. Kerja-kerja kesan khas pula telah dilakukan di studio kami di sini,'' katanya.
Tambah Norman, selain perancangan untuk menerbitkan filem animasi, KRU Studios bakal menghasilkan karya berbentuk epik berbahasa Inggeris sepenuhnya iaitu The Chronicle Of Merong Mahawangsa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: