|
AKTOR berwajah kacukan Amerika-Latin yang bernama Josiah Hogan ini mencipta nama menerusi watak Razif dalam drama Bicara Hati. Dia kemudiannya mula mencuri hati para peminat wanita selepas membawa peranan Dr. Hud, seorang lelaki budiman dalam drama yang kini sedang hangat ditayangkan di kaca TV9 iaitu Cinta Jangan Pergi.
Mengakui sukar untuk menerima peranan utama dalam drama mahupun filem Malaysia kerana wajah Amerika-Latin yang dimilikinya, namun dia bersyukur kerana sering ditawarkan dengan watak-watak mencabar.
"Alhamdulillah, perlahan-lahan saya mendapat kepercayaan untuk membawa watak yang mencabar dan berharap ia berterusan. Memang saya suka pada watak mencabar dan baharu," ujar Josiah.
Pernyataan tersebut, antara lain merujuk kepada peranan baharu yang dibawanya kini dalam drama seram berjudul What If yang sedang ditayangkan di 8TV. Josiah memegang watak lelaki gila dan psiko bernama Imzan.
Lancar bertutur dalam bahasa Melayu tanpa secalit pun slanga Sepanyol, aktor berusia 27 tahun itu juga sebenarnya mempunyai selera luar biasa terhadap wanita pilihannya.
Luar biasa yang dimaksudkan adalah kerana Josiah bukan menyukai wanita Amerika-Latin seperti dirinya malah dia lebih sukakan wanita Melayu yang penuh dengan ciri-ciri ketimuran.
Baru sahaja melangsungkan perkahwinan kali kedua dengan wanita Melayu dari Kuantan, Pahang, pada 25 Mei lalu, Josiah atau nama Islamnya Mohamad Musleh itu memilih seorang jururawat sebagai isterinya.
"Nama dia (isteri) Nurul Hidayu Noordin dan dia boleh diibaratkan seperti Wanita Melayu Terakhir, pandai memasak dan seorang yang ada disiplin," tuturnya yang memiliki seorang anak lelaki bernama Irvine Hogan, 7, hasil perkahwinan pertamanya dengan seorang wanita Melayu dari Temerloh, Pahang.
|
Kahwin pada usia 19 tahun
Menyingkap sedikit sisi peribadi Josiah, dedahnya, dia pernah berkahwin pada usia 19 tahun tetapi malangnya, jodoh mereka tidak berpanjangan atas sebab tiada persefahaman.
Selama tiga tahun hidup menduda, Josiah masih tidak serik memperisterikan wanita Melayu dan hatinya mula terbuka untuk Nurul yang berusia 23 tahun itu.
"Saya mula mengenali Nurul sekitar 2010 menerusi sebuah majlis hari ulang tahun temannya. Kebetulan kawan saya bercinta dengan kawannya dan kami mula berkenalan daripada situ. Lama-kelamaan kami intim dan bercinta.
"Saya bersyukur kerana selain dihadirkan dengan isteri yang penyabar dan memahami, anak lelaki saya juga sangat mesra dengan Nurul. Sebabnya, saya hantar anak saya ke sekolah Cina dan kebetulan isteri boleh cakap Mandarin. Jadi, dia selalu bantu anak saya buat kerja sekolah dan mereka menjadi mesra," luahnya.
Begitupun, dedah Josiah, isterinya agak cemburu dan tidak akan menonton lakonannya. Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan babak-babak romantik.
Mengulas lanjut, ujar Josiah, ada sekali sahaja isterinya menonton lakonannya menerusi telefilem Cinta Hero Malaya.
"Sebelum kahwin lagi dia cakap tidak mahu menonton cerita lakonan saya. Cuma dia ada tonton satu telefilem lakonan saya iaitu Cinta Hero Malaya. Sebabnya dalam cerita itu saya galas peranan sebagai lelaki lembut," ujarnya sambil ketawa mengatakan cemburu isterinya itu tanda sayang.
Sepanyol
Mengenali Josiah dengan lebih mendalam, luahnya, dia menetap di Malaysia ketika berusia enam tahun.
Ramah bercerita tentang dirinya, Josiah melanjutkan perbualannya.
"Ibu saya berkahwin dengan bapa tiri saya iaitu orang Kelantan. Saya tinggal di Kelantan dan dibesarkan di sana sebelum berpindah ke Kuantan. Disebabkan itu, saya juga pandai cakap dialek Kelantan," ujarnya yang tidak tahu langsung bercakap dalam bahasa Sepanyol kerana tidak diajar oleh ibunya.
Ujarnya, dia memeluk Islam pada usia empat tahun dan ibunya pula memeluk Islam sebelum berkahwin dengan bapa tirinya.
Sengaja berkongsi bagaimana dia mula menceburkan diri dalam bidang lakonan, jelas Josiah, dia pernah menerima tawaran berlakon di Hollywood memandangkan bapa saudaranya kenal dengan orang filem di sana. Malangnya, hasratnya untuk mencipta nama di Hollywood tidak kesampaian selepas bercerai dengan isteri pertamanya.
"Kebetulan masa dapat tawaran, saya bercerai dengan dia (isteri pertama). Mahkamah memutuskan hak penjagaan anak adalah secara bergilir. Saya akhirnya menolak tawaran itu kerana memikirkan mengenai Irvine," ungkapnya.
Mengulas lanjut, Josiah kemudiannya bekerja di sebuah syarikat automotif jenama mewah dan akhirnya ditawarkan sebagai pelakon dalam telefilem Tangisan Langsuir pada tahun 2010.
lelaki gila, psiko
Bercerita tentang drama terbaharunya berjudul What If arahan pelakon Jehan Miskin, Josiah mengakui menyukai watak Imzan, seorang lelaki gila dan psiko.
"Episod pertama membawa penonton terus ke wad gila. Imzan dimasukkan ke wad gila oleh bapa mertuanya walaupun sebenarnya dia tidak gila. Ketika di wad gila, dia menulis dalam diari namun dia tidak sedar memiliki kuasa yang mampu menjadikan setiap cerita yang ditulisnya menjadi kenyataan di alam realiti. Saya suka melakonkan watak gila dan psiko ini kerana ia mencabar," ceritanya.
Ditebak adakah watak Imzan ini yang paling mencabar pernah dilakonkannya, menurut Josiah, watak Dr. Hud dalam drama Cinta Jangan Pergi lebih mencabar.
Katanya, watak itu memerlukan dia menjadi seorang yang segak dan budiman, sedangkan dia bukan begitu.
"Saya sebenarnya seorang yang gila-gila dan bukan juga seorang yang segak dalam berpakaian. Tetapi, Dr. Hud memaksa saya jadi seorang lelaki budiman dan segak," jelasnya mengakhiri perbualan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: