Thursday, June 20, 2013

Dharma terkejut menang anugerah

DHARMA HARUN merancang untuk membikin Adik Manja The Returns dalam bentuk drama bersiri.


KEHADIRAN pelakon dan pengarah Dharma Harun Al-Rashid semasa acara Anugerah Blokbuster 2 yang berlangsung di Stadium Tertutup Majlis Bandar Raya Johor Bahru (MBJB) pada 15 Jun lalu sekadar memenuhi kehendak keluarganya.
Walaupun filem arahannya iaitu Adik Manja The Returns tercalon dalam beberapa kategori, dia tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk menang.
Namun begitu, berlaku sedikit kejutan apabila Dharma menjadi pilihan orang ramai untuk memenangi kategori Direktor Baharu Terhebat.
Ternyata kemenangan tersebut cukup bermakna buat pengarah yang pernah menjadi teraju utama filem Adik Manja itu kerana dia telah menewaskan calon pilihan seperti Syafiq Yusof untuk filem Saya Amat Menyintaimu (SAM).
Dharma yang ditemui selepas berakhirnya acara pada malam tersebut ternyata tidak dapat menyembunyikan rasa terkejutnya dengan kemenangan itu.
“Saya tidak menyangka akan muncul sebagai salah seorang pemenang kerana saingan daripada calon-calon lain yang lebih hebat.
“Apabila nama saya diumumkan sebagai pemenang, saya seolah-olah tidak percaya, tetapi saya menganggapnya sebagai rezeki yang tidak dijangka,” ujarnya.
Ketika ditanya pandangannya terhadap kemenangan itu, Dharma tidak menolak kemungkinan filem Adik Manja yang pernah dibintanginya bersama Nookumalasari turut memberi impak.
Ujarnya, dia percaya orang ramai yang mengundi dirinya menerusi filem Adik Manja The Returns untuk kategori berkenaan merupakan golongan yang meminati filem Adik Manja yang diterbitkan pada tahun 1979.
“Saya berasa kemenangan ini sesuatu yang sangat berbaloi memandangkan filem ini mengambil masa yang agak lama untuk ditayangkan di pawagam iaitu setelah tiga tahun dihasilkan.
“Lagipun ini bukan kemenangan buat saya seorang sahaja kerana semua pelakon telah memberikan lakonan yang terbaik, meskipun filem Adik Manja The Returns kurang mendapat sambutan di pawagam,” jelasnya.
Berkenaan dengan sambutan filem berkenaan, Dharma menyatakan bahawa antara punca filem itu gagal meraih kutipan tinggi di pawagam ialah saingan daripada dua filem antarabangsa.
DHARMA bersama Maria Tengku Sabri dan pelakon kanak-kanak, Raykarl.


“Filem arahan saya ini ditayangkan secara serentak dengan CZ12 yang dibintangi Jackie Chan dan Jack Reacher lakonan Tom Cruise. Jadi, ia turut memberi kesan kepada kutipan filem arahan saya.
“Sedangkan semasa ditayangkan di Astro First pula ia mendapat sambutan yang baik, malah saya menerima banyak pujian daripada orang ramai yang sudah menontonnya,” jelasnya.
Drama bersiri
Dengan kemenangan itu, Dharma berkata, ia telah menjadi pembakar semangat buat dirinya untuk menghasilkan Adik Manja The Returns dalam versi drama bersiri pula.
Jelas pengarah berusia 57 tahun itu, perkara tersebut sudah lama dirancang dan dia telah berbincang dengan beberapa buah stesen televisyen.
“Kalau filem ini dibuat dalam versi drama sudah tentu jalan ceritanya akan menjadi lebih menarik dan disesuaikan dengan kehidupan remaja perempuan di kolej sekarang.
“Cuma buat masa ini, ia masih lagi dalam peringkat perbincangan memandangkan kertas kerja untuk projek tersebut sudah disiapkan. Saya berharap ia dapat dihasilkan secepat mungkin,” jelasnya.
Selain mahu membikin drama bersiri yang diadaptasi daripada filem arahannya itu, Dharma menyatakan dia bakal menghasilkan beberapa buah program realiti dan dokumentari pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: