DEMI Sweet Love, kehangatan mentari sanggup diredahi. Malah lautan manusia tidak lagi dihiraukan.
Seawal jam 2 petang, sekali lagi Butik Fareeda di Bandar Baru Bangi digegarkan dengan kehadiran ribuan peminat setia tudung eksklusif itu yang menyerbu perkarangan butik untuk mendapatkan nombor giliran bagi pembelian keesokan harinya.
Gegaran di Butik Fareeda berterusan sehingga lebih dua jam Sabtu, baru-baru ini hampir sahaja tidak dapat dikawal dengan pertambahan orang ramai setiap masa.
Fenomena luar biasa ini, memaksa pengedaran tiket (nombor giliran) yang dijadualkan dibuka pada jam 5 petang diberikan sejam lebih awal.
Tidak sampai satu jam, lebih 1,500 nombor giliran habis diedarkan, memaksa pengurusan Butik Fareeda mengeluarkan sehingga lebih 2,000 lagi tiket sehingga jam 6 petang.
Semua ini dilakukan demi tidak ketinggalan mendapatkan koleksi terbaru Sweet Love Fareeda yang hanya dikeluarkan dalam tempoh sangat terhad.
Pengarah Fareeda Global Resources Sdn Bhd, Mawar Abdul Karim berkata, jumlah pelanggan yang beratur tidak dijangka.
"Awalnya, kami menjangkakan hanya 1,000 pelanggan. Tetapi sambutan Sweet Love amat luar biasa. Pengedaran tiket mula diagih bermula jam 3.30 petang dan sehingga jam 4.30 petang lebih 1,500 tiket telah kehabisan.
“Kehangatan ini memaksa kami mengeluarkan lebih 500 tiket lagi untuk diagihkan dan ke semua tiket habis dalam tempoh tidak sampai tiga jam,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Butik Fareeda, baru-baru ini.
Bagi Mawar, apa yang lebih penting, tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku. Walaupun berlaku tolak-menolak, segalanya berjaya dikawal anggota Rela bersama pihak pengurusan.
“Salah satu faktor yang mendorong kehangatan ini terus membara adalah kerana pelanggan tidak mahu ketinggalan mendapatkan koleksi terbaru Sweet Love yang boleh didapati hanya di Butik Fareeda di sini.
“Pelanggan pula bukan sahaja datang dari kawasan sekitar, Selangor dan Kuala Lumpur tetapi ada juga yang sanggup datang jauh dari Kelantan, Pulau Pinang dan Johor,” katanya.
Lebih 50 paten Sweet Love dikeluarkan
Sempena pelancaran koleksi Sweet Love, sebanyak 50 paten terbaru dikeluarkan.
“Harga jualan bermula RM120. Pembelian pula sangat terhad dan koleksi ini tidak akan dikeluarkan lagi sebaik jualan berakhir pada Ahad.
“Butik pula dibuka dari jam 10 pagi sehingga jam 10 malam. Hanya sekumpulan pelanggan dalam 20 hingga 30 seorang dibenarkan masuk dalam satu-satu masa,” katanya.
Katanya setiap pelanggan pula hanya dibenarkan melakukan pembelian dalam tempoh masa setengah jam,” katanya.
Tambah Mawar, Sweet Love bukan sahaja dijadikan koleksi peribadi, tetapi sesetengah pelanggannya turut menjual koleksi eksklusif itu sebagai salah satu sumber pendapatan.
“Mungkin atas faktor inilah juga yang membuatkan mereka ‘menyerang’ Butik Fareeda tanpa menghiraukan kepenatan dan hangatnya suasana,” katanya.