CHHATTISGARH - INDIA. Seorang wanita yang pada mulanya menyangka mengandungkan seorang bayi terkejut apabila dia melahirkan bayi perempuan kembar lima dalam masa setengah jam.
Manita Singh, 25, dimasukkan ke hospital kerajaan di Ambikapur, Chhattisgarh di timur India, semalam selepas mengadu sakit perut.
Doktor yang menyambut bayi berkenaan pada jam 11 pagi mendapati, wanita itu sebenarnya bukan hanya mengandungkan seorang bayi sebaliknya lima bayi perempuan.
Menurut doktor, wanita itu tidak pernah melakukan imbasan sepanjang kehamilan.
Kesemua bayi tersebut selamat dilahirkan dengan berat 1.3kg setiap seorang dan kini diletakkan di bawah pemantauan doktor di Unit Rawatan Rasmi (ICU).
Bapa bayi kembar itu, Mahesh Singh, 26, berkata, dia sangat gembira dengan kelahiran kelima-lima anak perempuannya itu.
"Saya bersyukur kepada tuhan kerana bukan hanya mendapat seorang anak sahaja sebaliknya lima anak," katanya dipetik Metro.uk
Tambah lelaki itu, dia pernah bersedih kerana kehilangan anak pertama yang disahkan meninggal dunia sebaik dilahirkan dua tahun lalu tetapi kini tuhan menggantikan kesedihannya itu dengan  menganugerahkan lima anak sekali gus.
"Saya hanya berharap kesemua mereka akan hidup dan berjanji akan membahagiakan mereka," ujarnya lagi.
Ibu kembar berkenaan berada dalam keadaan stabil dan doktor memantau rapi kesemua bayi kembar berkenaan yang berkemungkinan mempunyai peluang hidup yang tipis.
Sementara itu, Dr Tekam yang mengetuai pasukan doktor menyambut kelahiran bayi berkenaan, berkata, ini adalah kes pertama dalam kerjayanya yang berjaya menyambut kelahiran lima bayi secara normal.
”Kami amat gembira untuk ibu bapa namun bayi yang dilahirkan pra matang perlu diberikan pengawasan yang rapi.
”Walaupun mereka sihat, namun kita tidak boleh menjanjikan kesemua mereka akan terus hidup. Kami  akan lakukan yang terbaik untuk menyelamatkan mereka, " katanya.‎