KUALA PILAH – Ke mana-mana sahaja mereka akan pergi bersama, termasuk ke masjid bagi menunaikan solat berjemaah sehinggakan penduduk kampung di sini menggelarkan mereka pasangan merpati sejoli.
Kisah cinta abadi buat pasangan warga emas ini, Adam Omar, 93, dan isterinya, Ipun Obob, 86, dilihat sering menjadi bualan orang kampung kerana kemesraannya.
Bekas imam masjid Kampung Parit itu masih mampu menunggang motosikal untuk ke mana sahaja dan pastinya ditemani isterinya.
Adam juga sudah menjejakkan kaki ke tanah suci Makkah sebanyak lapan kali bagi menunaikan ibadah haji dan kini masih memiliki penglihatan serta daya ingatan yang masih baik.
Bapa kepada 15 anak itu dikatakan sering mengamalkan solat tahajud dan membaca al-Quran setiap masa, selain sentiasa bersyukur dikurniakan rezeki antara kunci mengapa dia masih kelihatan sihat sehingga kini.
"Saya mengalas tanggungjawab sebagai imam sejak 1960 hingga 2012, dan berbakti dengan masyarakat  52 tahun.
"Bukan sahaja berbakti sebagai imam bahkan menikahkan pasangan pengantin, membuka kelas al-Quran dan memandikan jenazah.
"Saya ingat lagi, saya pernah menikahkan Adun Pilah, Datuk Norhayati Omar. Alhamdulillah, saya dapat bertemu beliau lagi.
"Apa yang saya lakukan semuanya ikhlas dari hati. Insya-ALLAH, DIA membalasnya dengan menganugerahkan kesihatan yang baik kepada saya," katanya yang pernah menuntut ilmu di pondok Paya Rumput Melaka.
Dalam pada itu, Adam telah berkahwin dengan isterinya pada tahun 1943 dan dikurniakan 15 orang anak dan lima di antaranya meninggal dunia, kini mempunyai 17 cucu dan 10 cicit.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di rumahnya kampung Parit Mainau, setelah terpilih menerima anugerah Jejak Tokoh kategori bekas imam peringkat Dun Pilah, sempena Program Kembara Kebajikan.
Anugerah disampaikan Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Norhayati Omar.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (OKU), Nik Omar Nik Abd Rahman dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Mohamad Hapil.
Sementara itu, Adam juga pernah menerima anugerah tokoh Maal Hijrah peringkat daerah, dilihat masih bertenaga menjaga seorang anaknya, Muhammad Adam, 58, yang dikategorikan OKU.
"Seperti  saya kata tadi, inilah keikhlasan berbakti. Saya tidak pernah membeza-bezakan ketika mendidik anak. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana setiap hari dibantu anak perempuan, Zabedah Adam, 57, yang tinggal berhampiran," katanya.
Pada majlis berkenaan, Adam turut menerima plug sumbangan selain wang tunai serta barang keperluan dapur.