Monday, February 29, 2016

Johan, Ayda Jebat ungguli #AME2016



Johan, Ayda Jebat ungguli #AME2016
Johan dan Ayda Jebat.
POPULARITI dua selebriti, Johan dan Ayda Jebat dalam kalangan peminatnya tidak dapat disangkal apabila sekali lagi 'menyapu bersih' lima kategori di kemuncak Anugerah MeleTOP Era 2016 (AME 2016) yang berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB, Kuala Lumpur, semalam.

Johan atau nama sebenarnya Mohammad Yazid Lim membawa pulang trofi bagi kategori Penyampai Radio MeleTOP, Program Radio MeleTOP, Artis Lawak MeleTOP dan Couple MeleTOP dan Top Top MeleTOP (Lelaki).

Pelakon Ayda yang dikenali menerusi lagu Siapa Diriku pula diumumkan sebagai pemenang kategori Penyanyi MeleTOP, Lagu MeleTOP, Pelakon MeleTOP, Drama MeleTOP dan Top Top MeleTOP.

Dengan kemenangan itu, kedua-duanya membawa pulang RM30,000 berserta trofi sumbangan Astro.

Kali ini, AME 2016 bertemakan ‘Glamour Futuristic’ seterusnya tagline ‘Satu Malam, Seribu Senyuman’ yang mana ia bukan sekadar mengiktiraf selebriti tempatan bahkan prihatin membantu masyarakat.

AME 2016 dihoskan empat selebriti hebat iaitu Nabil Ahmad, Neelofa, Datuk AC Mizal dan Jihan Muse.

Berikut adalah senarai penuh pemenang AME 2016:

TOP TOP MELETOP (LELAKI)
Johan

TOP TOP MELETOP (WANITA)
Ayda Jebat

DRAMA MELETOP
M.A.I.D

ARTIS LAWAK MELETOP
Johan

HOS MELETOP
Datuk AC Mizal

PELAKON MELETOP
Ayda Jebat

PROGRAM MELETOP    
Gegar Vaganza 2015

LAGU MELETOP
Ayda Jebat - Siapa Diriku

PENYANYI MELETOP
Ayda Jebat

GRUP/DUO MELETOP
Akim & The Majistret

PENYAMPAI RADIO MELETOP
Johan

PROGRAM RADIO MELETOP
JoHaRa Pagi Era

FILEM MELETOP
Polis Evo

BINTANG FILEM MELETOP
Zizan Razak

ARTIS BAHARU MELETOP
Mira Filzah

BINTANG ONLINE MELETOP
Datuk Siti Nurhaliza

COUPLE MELETOP
Johan & Ozlynn

Impian tiga tahun Remy tercapai



Remy Ishak
Remy Ishak
SELEPAS tiga tahun menyimpan hasrat, kini aktor tampan, Remy Ishak merealisasikan impiannya dengan menampilkan koleksi jenama wangian sendiri iaitu Rumi by Remy Ishak.
Menurut Remy, idea menghasilkan wangian di bawah label sendiri timbul setelah memikirkan dirinya yang agak cerewet dalam mencari wangian yang memenuhi cita rasanya.
“Sejak dari dulu lagi, saya memang sukar untuk memilih wangian yang bersesuaian dan disebabkan itu saya ambil keputusan untuk cuba hasilkan sendiri.
“Wangian ini sangat peribadi buat saya kerana saya sendiri terlibat dalam memilih campuran pati yang didatangkan khas dari Paris.
“Wangian untuk lelaki yang saya hasilkan menggambarkan ciri-ciri maskulin dan pada masa sama masih mengekalkan imej yang elegan.
“Manakala untuk wanita, saya memilih wangian yang berinspirasi bunga-bungaan yang sesuai untuk gaya feminin dan berkeyakinan tinggi,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Rumi by Remy Ishak, di Hotel Royale Chulan, baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai produk itu, Remy berkata, nama Rumi dipilih berdasarkan  nama wataknya dalam drama Rumi Dan Jawi arahan Erma Fatima yang bakal menemui penonton Ramadan akan datang.
“Rumi berasal daripada nama Jalaluddin Rumi yang merupakan cendekiawan Islam yang banyak melahirkan syair dan puisi indah yang dikenali seluruh dunia.
“Ketika awal ditawarkan watak ini, saya ada membuat beberapa kajian mengenai watak ini dan setelah menghayatinya, saya mula tertarik dengan karakter dan karyanya dan yakin ia juga akan memberi impak kepada penonton.
“Saya rasa adalah sangat istimewa apabila saya menggabungkan karya Rumi dan juga karakter yang dilakonkan dalam satu bentuk wangian,” jelasnya.
Dalam perkembangan karier lakonan, Remy bakal muncul menerusi teater Randai Cinduo Mato yang akan dipentaskan di Istana Budaya mulai 25 hingga 27 Mac depan selain tampil dengan drama Redha, April depan.

Wanita Malaysia berhijab raih perhatian dunia




Wanita Malaysia berhijab raih perhatian dunia
Gambar Saraswati - foto www.instagram.com/queenofluna
SARASWATI, seorang jurusolek wanita dari Malaysia meraih perhatian dunia apabila kreativiti beliau menggunakan hijab untuk membantu mengubah dirinya menjadi  watak-watak kartun Disney dan Superhero berjaya menarik tumpuan dunia.
Menerusi akaun Instagramnya (@QueenofLuna), telah berkongsi 'kehebatannya itu' sehinggakan beliau berjaya menarik 162 ribu pengikut dengan perkongsian lebih daripada 300 gambar.
Maka tidak hairanlah beberapa portal antarabangsa turut menyiarkan berita berkenaan kreativiti Saraswati, antaranya ialah Dailymail UK, dan Metro News Canada.
Ternyata, rata-rata komen yang diberikan netizen seluruh dunia adalah positif, malah menurut majoriti netizen mereka kagum dengan kreativiti Saraswati.

Jodoh istikharah Yatt Hamzah



 Yatt Hamzah
Yatt Hamzah
MESKIPUN hanya tujuh bulan bergelar ibu tunggal, pelakon dan pengacara Yatt Hamzah mengakui pengalaman lalu membuatkannya serik dan trauma untuk menerima insan baharu dalam hidupnya.
Pun begitu, kalau sudah namanya jodoh, selebriti berusia 36 tahun ini reda dengan segala ketentuan yang ditetapkan Yang Maha Esa.
Hanya sekali lafaz, Yatt atau nama sebenarnya, Haryati Hamzah kembali bergelar isteri selepas diijabkabulkan dengan pilihan hatinya, Mohammad Zulfadhli Khiruddin, tepat jam 9 pagi, di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, semalam.
Dalam majlis pernikahan itu, Yatt yang berwalikan hakim menerima sebentuk cincin berlian dan mas kahwin RM300, manakala nilai wang hantaran dirahsiakan.
"Alhamdulillah, saya bersyukur kepada ALLAH SWT kerana majlis ini berjalan lancar. Terus-terang saya katakan, pada awalnya saya tidak yakin untuk berkahwin sekali lagi lantaran terkenang pengalaman lalu. Tapi, inilah yang dinamakan jodoh, bahkan saya kerap melakukan solat istikharah sebelum menerimanya sebagai pasangan hidup," katanya kepada Zass selepas majlis pernikahannya itu.
Sebelum ini, Yatt mendirikan rumah tangga dengan Abdul Mutalib Abdul Shukor pada 29 Mac 2009, namun berpisah pada Ogos 2015.
Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan cahaya mata perempuan, Suci Hanania Malika yang kini berusia enam tahun.
Kata Yatt, kehadiran Mohammad Zulfadhli mengubati kekosongan hatinya berikutan ditinggalkan insan tersayang dalam hidupnya.
Katanya, penceraian yang dialami dan pemergian bapanya, Hamzah Hashim akibat barah paru-paru pada November 2015, meninggalkan kesan mendalam kepadanya.
"Selepas bercerai, saya kehilangan abah tersayang apatah lagi saya sangat rapat dengannya. Situasi itu menyebabkan ada ruang kosong dalam hati saya. Siapa sangka, kehadirannya benar-benar melengkapkan hidup saya," katanya.
Bekas pengacara program Al Hidayah ini memberitahu, Mohammad Zufadhli memiliki keperibadian tinggi sekali gus menyebabkan dia jatuh cinta sekali lagi.
"Dia seorang yang sangat istimewa. Saya terpikat dengannya kerana akhlaknya yang tinggi. Selain itu, dia juga penuh dengan sifat kesabaran dan kelembutan. Ia merupakan ciri-ciri yang saya dambakan sebelum ini. Alhamdulillah, ALLAH SWT memakbulkan doa saya dan ini adalah hadiah yang terbaik berbanding sebelum ini.
"Saya harap dia boleh terima saya dan anak seadanya seterusnya membimbing ke arah keluarga sakinah dan dirahmati ALLAH SWT,” katanya.
Ketika ditanya mengenai perancangan selepas ini, Yatt berhasrat untuk 'melamar' suaminya itu menyertai perniagaan yang diusahakannya, Suci By Yatt Hamzah.
"Saya bukan sahaja menginginkannya sebagai pasangan hidup tetapi juga rakan kongsi perniagaan. Itu adalah cadangan saya dan terserah kepadanya," katanya.
Bagi Mohammad Zulfadhli pula, hubungan dengan isterinya itu bermula selepas dipelawa untuk mengikuti kelas Usrah demi mendalami ilmu agama.
"Di kelas Usrah, kami berkenalan dan hubungan kami mula rapat. Malah, pada awalnya saya menganggap dia sebagai kakak," katanya.
Jelasnya, istimewa Yatt di matanya adalah cara wanita itu membawanya ke arah kehidupan Islamik.
"Kebetulan, saya dalam proses 'mencari' sesuatu ke jalan diredai ALLAH SWT.
"Dia seorang yang sangat mengambil berat terhadap anaknya bahkan hubungannya dengan keluarga juga cukup rapat," katanya.
Memilih Istanbul, Turki dan Krabi, Thailand sebagai lokasi berbulan madu, pasangan ini juga mengimpikan untuk memiliki empat cahaya mata.
"Kami punya minat dan hobi yang sama. Jiwa kami lebih kepada aktiviti kebajikan dan  misi kemanusiaan.
"Insya-ALLAH, dia akan ke Syria pada Mac nanti dan sekiranya ada kuota lebih, saya teringin mengikutnya sekali," kata Yatt sambil menjeling manja kepada suaminya.
Pada masa sama, pasangan ini turut mengharapkan agar perkahwinan yang dibina itu akan berkekalan hingga ke syurga.
"Seperti mana, insan-insan lain, kami turut mengharapkan yang terbaik dan mampu membawa hingga ke syurga. Memberi kebahagiaan seterusnya perkahwinan ini  'ladang' kami mengutip pahala," katanya.
Tenang hadapi kontroversi
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kontroversi yang terpaksa dihadapi, pasangan sama cantik sama padan ini mengakui tidak tertekan dan enggan menoleh ke belakang.
Bahkan, Mohammad Zulfadhli yang merupakan seorang juruvideo mengambil langkah untuk tidak melayan sebarang gosip.
"Saya ini jenis yang tidak melayan media sosial walaupun saya sendiri ada platform sendiri. Keadaan itu membuatkan lebih tenang dalam menangani isu ini," katanya.
Sambil mencelah, Yatt mengakui bersyukur kerana suaminya matang dalam menangkis kontroversi meskipun baru berusia 26 tahun.
"Dia bukanlah seorang yang kelam kabut atau panik sebaliknya sangat tenang. Malah, dia juga profesional. Sebenarnya apabila ditimpa dengan pelbagai gosip dan tohmahan, ia ujian dari ALLAH SWT. Alhamdulillah, kami bersyukur kerana sentiasa dikelilingi sahabat dan keluarga yang sering menyokong dan menyalurkan kekuatan," katanya.
Sebelum ini, Mohammad Zulfadhli dikatakan menjadi orang ketiga sekali gus punca kepada perpisahan Yatt dan bekas suaminya. Namun, ia segera dibidas Yatt.
Mengenai isu penjagaan anak pula, kata Yatt, tiada persetujuan secara lisan yang dilakukannya dengan bekas suaminya.
"Saya tidak pernah membuat perjanjian seperti itu. Semua orang tahu saya menyayangi anak dan apa jua keputusan yang dibuat adalah semata-mata kerana anak saya.
"Demi ALLAH SWT, ia tidak berlaku. Anak saya akan tetap bersama saya sehingga akhirat," katanya.

Gambar bercium: Jangan cepat melatah - Ahya



Ahya U Rosli
Ahya U Rosli
BAHARU sahaja terpalit dengan kontroversi gambar separuh bogel yang tersebar di laman web lucah, nama anak pelakon Normah Damanhuri yang juga pelakon dan model, Ahya U Rosli, 29, kembali menjadi perhatian.
Semuanya gara-gara sekeping gambar yang dimuat naik di laman sosial Instagram miliknya yang memperlihatkan susuk sepasang kekasih bercumbuan dengan berlatar belakangkan pemandangan laut.
Gambar tersebut membuatkan ramai pengikut mencemuh dan mempersoalkan tindakan pelakon yang pernah membintangi filem Tanda Putera ini.
Ahya yang dihubungi Zass pada awalnya mengaku bahawa dia memuat naik gambar berkenaan dan gambar tersebut adalah miliknya.
Bagaimanapun, Ahya menegaskan, gambar tersebut dijumpai di laman sosial Instagram dan di muat naik kembali olehnya.
"Terpulanglah apa orang nak kata kerana di sebalik gambar tersebut, saya menyukai pemandangan laut di belakang subjek (gambar kekasih bercumbuan).
"Ya, memang saya muat naik dan seperti yang saya katakan, jom island (pulau). Bermaksud saya mengajak kawan-kawan bercuti ke pulau.
"Terpulanglah sama ada orang berkeras mengatakan itu saya atau nak kata saya 'kantoi' kerana muat naik gambar sendiri.
"Apa yang penting saya tahu apa yang sebenarnya," jelasnya.
Ditebak adakah dia sengaja berbuat demikian untuk mencari publisiti menaikkan namanya, Ahya pantas menepis dakwaan itu.
"Bagi mereka yang sudah lama mengenali saya, tahu saya bagaimana.
"Saya memang suka bergurau. Tapi yang tak dapat terima, terpulanglah," ujarnya lagi.
Berkongsi perkembangan terbaharunya, Ahya berkata, dia masih menantikan tayangan filem terbaharu lakonannya, Harmonika yang diarahkan oleh Raja Mukhriz.
Katanya, jika tiada tawaran lakonan, dia memberi fokus kepada bidang peragaan dan juga perniagaan kafe yang sedang diusahakannya bersama rakan-rakan.
"Insya-ALLAH tidak lama lagi, saya akan membuka sebuah kafe di Setapak iaitu di tapak kelab golf yang sudah dirobohkan.
"Kafe yang diberi nama Buaya Cafe ini mengetengahkan konsep kontena dengan bajet RM2 juta.
"Ia akan bermula sekitar Julai atau selepas raya nanti," katanya.

Raja Azmi, Eddie sah bergelar suami isteri buat kali kedua



Raja Azmi
Raja Azmi menerima mas kahwin berjumlah RM300.
SETELAH bercerai pada 2013, penerbit filem kontroversi,Raja Azmi Raja Sulaiman kembali bergelar isteri yang sah kepada gitaris kumpulan CRK, Mohd Eddie Ghazali.
Raja Azmi dan Mohd Eddie, 48, pernah berkahwin buat kali pertama pada 13 Oktober 2013 lalu.
Ia adalah pernikahan kali kedua Raja Azmi, 57, dengan Mohd Eddie selepas pasangan berkenaan bercerai pada 11 November 2014 di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini.
Memetik laporan M Star Online, pasangan berkenaan dinikahkan di Surau Sering Ukay, Ukay Perdana yang dihadiri oleh ahli keluarga kedua-dua belah pihak dan kenalan rapat.
Akad nikah berkenaan disempurnakan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan Masjid Al- Ridhuan Ulu Klang di sini kira-kira pukul 10.15 malam semalam.
Sementara itu, Raja Azmi ketika ditemui berkata, beliau bersyukur apabila diberi peluang sekali lagi untuk kembali bergelar isteri kepada Eddie.
"Saya berharap ini adalah keputusan yang terbaik buat kami berdua," katanya.

Anugerah Oscar ke-88: Mampukah The Revenant cipta sejarah?



The Revenant
The Revenant
BAHANG kehangatan dan debaran menjelang Anugerah Academy (Oscar) kali ke-88 yang akan berlangsung 28 Februari ini di Dolby Theatre, California, Amerika Syarikat semakin terasa.
Selepas mengumumkan senarai penuh pencalonan, teka-teki siapakah yang bakal memenangi anugerah berprestij itu kembali diperkatakan.
Tentu sekali, perhatian terarah kepada filem The Revenant.
Selepas mengungguli Golden Globe ke-73 dan Anugerah BAFTA 2016 Britain, mampukah filem tersebut mencipta sejarah dan mengungguli Anugerah Oscar 2016?
Filem arahan Alejandro Inarritu ini dilihat berpotensi untuk menang besar selepas tercalon dalam 12 kategori.
Bahkan untuk rekod, Inarritu sudah membolot anugerah pengarah terbaik dalam dua majlis anugerah yang berbeza.
Filem yang diadaptasi daripada sebuah novel dengan judul yang sama ini mendapat respons positif pengkritik filem yang melihat ia filem yang hebat.
The Revenant tercalon dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik (Loenardo DiCaprio), manakala Inarritu sekali lagi tercalon dalam kategori Pengarah Terbaik dan Tom Hardy (Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik).
Selain itu, The Revenant turut tercalon dalam kategori Sinematografi Terbaik, Rekaan Kostum Terbaik, Suntingan Terbaik, Solekan Terbaik, Rekaan Produksi Terbaik, Bunyi Terbaik, Visual Terbaik, Adunan Bunyi Terbaik dan Filem Terbaik.
Mengikut rapat senarai pencalonan adalah filem Mad Max: Fury Road yang tercalon dalam 10 kategori antaranya, Filem Terbaik, Rekaan Produksi, Kesan Visual, Sinematogri, Suntingan Bunyi dan Adunan Bunyi.
Majlis penganugerahan Oscar yang ke-88 ini bakal dihoskan pelakon komedi, Chris Rock yang pernah menggalas tugas sama pada 2005.

Impian DiCaprio jadi kenyataan?
Sementara itu, impian DiCaprio untuk menggondol anugerah Pelakon Lelaki Terbaik diramal bakal menjadi kenyataan.
Apatah lagi, pencalonan kali ini merupakan pencalonan kelima dalam kerjayanya.
Sebelum ini dia tercalon dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem The Aviator (2005), Blood Diamond (2007), The Wolf of Wall Street (2014) dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik untuk filem What’s Eating Gilbert Grape (1993).
Dengan kemenangannya dalam Anugerah Golden Globe dan BFTA, aktor berusia 42 tahun itu dilihat mempunyai potensi besar untuk dipilih memenangi kategori berkenaan.
Manakala Jennifer Lawrence dan Cate Blanchett terus jadi pilihan ramai dan diramalkan bersaing sengit untuk memenangi anugerah Aktres Terbaik.
Namun dalam masa yang sama, peramal Oscar ke-88, tidak memandang rendah kemampuan aktres muda, Saoirse Ronan yang kembali tercalon menerusi kategori yang sama setelah pertama kali dicalonkan ketika usia 13 tahun pada 2007.
Bagaimanapun untuk mendapatkan jawapan pemenang penuh Oscar ke-88, jangan lupa untuk menyaksikan anugerah berprestij itu yang disiarkan secara langsung menerusi Astro HBO (saluran 411/430) pada 9.39 pagi tadi (waktu tempatan).

Munafik cetus debaran, kejutan



Munafik cetus debaran, kejutan
Antara babak dalam filem Munafik
NAMA Syamsul Yusof dalam arena pengarahan sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi.
Tidak keterlaluan mengatakan sejak awal kemunculannya dalam bidang pengarahan, Syamsul sentiasa tampil dengan sesuatu kelainan dan pembaharuan menerusi garapannya.
Setelah lama menghilang dan kali terakhir muncul menerusi filem KL Gangster 2, kini, pengarah prolifik ini tampil dengan filem seram kedua arahannya, Munafik.
Filem yang ditulis, diarah dan dilakonkan sendiri oleh Syamsul ini, turut dijayakan pelakon hebat lain seperti Nabila Huda, Fizz Fairuz, Pekin Ibrahim dan Datuk Rahim Razali.
Munafik mengisahkan tentang Adam (Syamsul), seorang pengamal perubatan Islam yang tidak dapat menerima takdir apabila isterinya meninggal dunia.
Bagaimanapun dia mengalami pelbagai pengalaman aneh setelah dipujuk mengubati seorang wanita bernama Maria (Nabila) yang mengalami gangguan syaitan.
Penulis yang berpeluang menyaksikan filem ini baru-baru ini merasakan Munafik adalah antara karya terbaik Syamsul setakat ini.
Masakan tidak, dalam pada menonton, penonton akan mendapat input baharu mengenai Islam, biarpun ia tidak dijelaskan secara terperinci.
Penggunaan dialog bahasa Arab dan doa-doa yang digunakan untuk menghalau syaitan dan iblis juga adalah ayat dan doa sebenar yang dilontarkan secara jelas oleh Syamsul dan Nabila.
Biarpun karya ini berat, namun ia masih boleh difahami dengan jelas oleh penonton.
Bagaimanapun penulis meletak ke tepi beberapa kekurangan yang terdapat di dalam filem ini dan menyifatkan ia masih boleh dimaafkan.
Masakan tidak, jika dibandingkan dengan pertaruhan dan garapan yang lebih berkesan, Munafik memberikan sesuatu pengalaman yang berbeza kepada penonton.
Dari segi suntikan audio, pencahayaan dan syot, Syamsul berjaya tampil dengan sentuhan yang cukup rencahnya.
Biarpun suntikan kejutan dan debaran adalah perkara klise dalam filem seram, namun faktor itu jugalah yang menentukan kejayaan seseorang pengarah dalam mempersembahkan sebuah karya dengan genre seram.
Dari segi jalan ceritanya pula, penulis amat memuji sentuhan Syamsul dalam karyanya kali ini.
Syamsul tidak lagi bermain dengan pengakhiran biasa dalam filem seram. Namun sama seperti Khurafat, dia tampil dengan sebuah pengakhiran yang tidak terjangka.
Lakonan mantap Nabila Huda
Bukan itu sahaja, lakonan mantap pelakon terlibat, terutamanya Nabila Huda berjaya menghidupkan cerita ini lagi.
Bahkan Nabila Huda sendiri bersetuju, watak Maria merupakan antara watak paling berat yang pernah dijayakan.
Melakukan beberapa aksi lagak ngeri sendiri, dicampak, digantung dan paling menyeramkan apabila Nabila memberanikan diri untuk masuk ke dalam peti mayat demi memberikan lakonan cemerlangnya di dalam filem ini.
Pendek kata dari awal hingga akhir, anda pasti akan 'sesak nafas' melihat lakonan Nabila Huda dan kadang kala ngeri untuk melihat matanya.

Yatt Hamzah kembali bergelar isteri



Yatt Hamzah kembali bergelar isteri
Yatt Hamzah kembali bergelar isteri
PELAKON dan pengacara, Yatt Hamzah, 36, sah bergelar isteri kepada Mohammad Zulfadhli Khiruddin, 26, dengan sekali lafaz, tepat jam 9 pagi tadi di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Yatt atau nama sebenarnya Haryati Hamzah dinikahkan oleh Pendaftar Nikah, Cerai, dan Rujuk Daerah Petaling, Muhamad Sujak Dusuki.
Dalam majlis pernikahan itu, Mohammad Zulfadhli Khiruddin menyerahkan mas kahwin RM300 manakala nilai wang hantaran dirahsiakan.
Pada masa sama, pihak lelaki memberi sembilan dulang hantaran kepada Yatt dan dibalas 11 dulang oleh pihak perempuan.
Pasangan mempelai itu juga kelihatan anggun dan berseri-seri menggayakan busana berona putih.
Majlis pernikahan pengacara yang popular dengan program Islamik, Al Hidayah itu berlangsung secara sederhana dan dihadiri oleh teman rapat serta keluarga.
Difahamkan, pasangan sama cantik sama padan ini tidak akan mengadakan majlis persandingan sebaliknya hanya hanya jamuan makan pada tengah hari yang sama, bersempena sambutan ulang tahun hari lahir keenam anak tunggalnya, Suci Hanania Malika.
Sebelum ini, Yatt mendirikan rumah tangga dengan Abdul Mutalib Abdul Shukor, 36, pada 29 Mac 2009 namun berpisah pada Ogos 2015.

Asfan bakal tampil album pertama



Asfan
Asfan bersama keluarga tercinta.
BERSIKAP lebih positif, penyanyi dan komposer Asfan Shah, 32, menganggap kontroversi yang melibatkan pertelingkahan bersama adik iparnya tahun lalu sebagai pergaduhan manja dalam hubungan kekeluargaan.
Malah dia juga enggan lagi memperbesarkan perkara tersebut kerana baginya ia hanya akan lebih mengeruhkan keadaan.
“Apa yang berlaku ini saya anggap sebagai masalah keluarga yang tidak perlu dihebohkan.
“Ketika perkara ini berlaku, ada pihak yang cadangkan saya untuk mengambil tindakan undang-undang tapi saya menolak kerana ia tiada manfaat malah lebih memburukkan keadaan antara kami sekeluarga.
“Tiada siapa yang betul atau salah kerana yang penting keadaan akan pulih seperti sedia kala,” katanya.
Asfan bagaimanapun menafikan kariernya terjejas malah bersyukur kerana apa yang berlaku sedikit sebanyak memberi hikmah kepada karier seninya.
“Alhamdulillah, kontroversi seperti itu tidak langsung menjejaskan karier saya malah boleh dikatakan ia lebih membuka ruang kepada saya untuk teruskan karier.
“Sepanjang kontroversi itu, saya tidak pernah lari daripada memberi sebarang kenyataan dan itu tidak bermakna saya mahu mencari publisiti murahan,” katanya tenang.
Sebelum ini media tempatan melaporkan Asfan ditumbuk adik iparnya kerana mengabaikan tanggungjawab terhadap isteri dan dua anaknya.
Bercerita mengenai perkembangan terbaharu, penyanyi lagu Alasan Untuk Bahagia ini sedang sibuk menyiapkan album pertamanya.
“Sekarang saya masih dalam proses merakam beberapa lagu yang turut melibatkan kolaborasi pendatang baharu yang bernaung di bawah syarikat rakaman saya iaitu Black Beast Entertainment.
“Dalam album ini juga saya akan menyelitkan beberapa lagu lama yang masih lagi dalam proses pemilihan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Siti Nordiana nafi bercinta dengan pengurus sendiri



Siti Nordiana
Siti Nordiana
BARU-BARU ini tersebar spekulasi mengaitkan penyanyi Siti Nordiana, 31, yang dikatakan bercinta dengan pengurusnya sendiri, Anas.
Bagaimanapun, penyanyi yang mendapat perhatian semula selepas memenangi program realiti Juara Gegarvaganza musim kedua itu, tampil menafikan perkara itu dan menganggap gosip itu sebagai resam kehidupan seorang artis.
"Memang tiada sebarang hubungan cinta antara saya dan Anas. Mungkin orang tengok dia selalu ke hulu ke hilir bersama saya atas urusan kerja, jadi mereka pantas menganggap adanya hubungan istimewa antara kami," jelasnya dipetik BHOnline.
Menurutnya lagi, pengurusnya itu telah lama menjaga kerjaya seni iaitu sejak berada di bawah pengurusan FMC sambil menambah dia turut mempunyai seorang pembantu peribadi wanita.
Siti Nordiana atau lebih dikenali sebagai Nana mempunyai seorang anak lelaki Mohamad Rayyan Nakhaie hasil perkongsiannya dengan pelakon drama, Mohd Faizal Yusup.
Nana dan Faizal berkahwin pada tahun 2006 namun berpisah tiga tahun kemudian.

Liza Hot FM tamat zaman solo



Liza Hot FM
Liza Hot FM
BAKAL menamatkan zaman bujangnya tidak berapa lama lagi, penyampai radio Hot FM,  Liza sudah mula merasa debar itu.
Walaupun baru bergelar penyampai radio, namun Liza atau nama sebenarnya Khairu Norliza Khairudin bersyukur kerana kerjayanya itu disokong penuh bakal suaminya.
Bertuah kerana bakal suaminya, Mohd Khairil Mohd Ghany, menyokong kariernya sebagai penyampai radio, Liza tidak mahu mensia-siakan kepercayaan yang diberikan.
"Bergelar penyampai radio meskipun tidak sepopular pelakon atau penyanyi tetapi kami juga golongan selebriti.
"Kerana itu, restu bakal suami untuk meneruskan kerjaya ini selepas berkahwin amat diperlukan," katanya.
Majlis pernikahan pasangan ini akan berlangsung di Kuantan, Pahang pada 27 Februari ini.  Menurutnya, keperibadian bakal suaminya yang memahami antara faktor dia memilih Mohd Khairil sebagai teman hidup.
"Dia seorang berterus-terang dan senang berkomunikasi. Biasanya, dia juga tenang berhadapan perkara di luar dugaan.
"Kalau ada gosip atau khabar angin melibatkan saya, dia tidak mudah melatah.
"Kalau ikutkan, perkenalan kami tidak lama, tetapi keserasian terbina sangat baik dan saya bersyukur bertemu dengannya," katanya.
Liza memberitahu, Khairil merupakan seorang pelatih peribadi dan kurang selesa menjadi perhatian masyarakat sebelum mereka berkahwin.
Liza dan Khairil berkenalan selama setahun dan bertunang pada 10 Oktober 2015.
Mengulas mengenai tanggungjawabnya sebagai isteri nanti, katanya, dia sudah bersedia menggalas tanggungjawab tersebut.
"Apa sahaja perkara baharu dalam kehidupan harus diterima dengan terbuka, mungkin selepas ini saya lebih sibuk kerana perlu berhadapan tanggungjawab lain," katanya.
Liza juga bakal bersama stesen radio lain di bawah Media Prima bermula Mac nanti.
"Ini juga pengalaman baharu untuk saya, saya harap langkah ke stesen baharu tersebut mendapat respons baik daripada pendengar," katanya.

Suhaimi, Ina fokus pada syarikat keluarga



Suhaimi Saad
Suhaimi dan isterinya, Ina Naim. 
TIDAK hanya sekadar berbakat dalam nyanyian, penyanyi nasyid Suhaimi Saad turut mempunyai minat terhadap bidang perniagaan.
Buktinya, kini, bekas ahli kumpulan In-Team ini sibuk menguruskan perniagaannya, Karya Mosus iaitu sebuah syarikat penerbitan karya seni dan pengurusan artis yang ditubuhkan sejak 2007.
"Syarikat ini sudah hampir 10 tahun ditubuhkan. Namun, setakat ini hanya pernah menerbitkan satu album dan single.
"Malah, kita juga masih belum bersedia untuk menguruskan artis lain," katanya kepada Zass.
Ini kerana, sebelum ini, Suhaimi lebih selesa merebut peluang dan menimba pengalaman dengan syarikat lain terlebih dahulu.
Yakin pada diri sendiri dan sokongan keluarga, kini Suhaimi mengakui bersedia untuk memajukan syarikatnya itu.
Jadi, sebagai pengenalan, suami kepada penyanyi, Ina Naim ini ingin menjadikan Karya Mosus sebagai sebuah syarikat keluarga dengan beberapa perancangan telah diatur.
Menariknya, selain pasangan suami isteri ini, syarikat itu turut dinaungi oleh empat anak mereka iaitu Nurlayla El Ghufrony, Phyrosh El Fadwah, Sallman El Khoyri dan Hadie El Fardie yang berusia di antara dua hingga lapan tahun.
"Isteri saya, Ina akan kembali aktif menyanyi memandangkan anak-anak pun semakin membesar.
"Malah, saya bercadang untuk berduet dengannya menerusi single, Jutawan Pemurah. Insya-ALLAH, ia akan diterbitkan dalam tahun ini.
"Saya juga bertuah apabila dua anak kami, Hadie dan Sallman berminat dalam bidang ini dan sudah merakamkan 10 lagu zikir, doa dan selawat. Album mereka juga akan dikeluarkan pada tahun ini," katanya.
Lebih membanggakan lagi, berbekalkan pengalamannya, Suhaimi kini mampu mencipta lagu dan lirik sendiri.
"Insya-ALLAH, single duet dan album kanak-kanak itu nanti bakal melihat kebolehan saya sepenuhnya terhadap bidang penciptaan lagu dan penulisan lirik," katanya.
Pada masa sama, Suhaimi dan Ina turut merancang mengeluarkan produk makanan tambahan, Medigion, sekitar awal Mac depan.
Katanya, Medigion dihasilkan bersandarkan kepada makanan sunnah seperti yang diamalkan Rasulullah SAW.
"Sebenarnya, produk ini dibuat khas untuk anak-anak, namun ia juga sesuai bagi golongan dewasa.
"Sebelum dipasarkan, saya mencubanya kepada anak-anak kami terlebih dahulu dan kesannya bagus untuk kesihatan minda dan memberi daya ingatan yang baik.
"Bahkan, kami sekeluarga juga akan muncul sebagai model untuk produk itu nanti," katanya.

Belajar di rumah

Selain sama-sama terlibat dalam aktiviti seni, hubungan kekeluargaan ini juga terjalin erat menerusi ukhuwah yang terbina.
Suhaimi yang merupakan ketua keluarga turut terlibat dalam proses pengajaran dan pembelajaran keempat-empat anaknya itu.
"Anak-anak saya tidak bersekolah. Mereka mengamalkan kaedah belajar di rumah.
"Saya sendiri yang bertindak sebagai guru manakala Ina akan membantu sekiranya saya sibuk memenuhi jemputan menyanyi.
"Setakat ini, saya tiada masalah untuk mengajar mereka memandangkan saya seorang guru yang tegas walaupun mengajar anak sendiri," kata Suhaimi yang juga merupakan bekas guru.
Tambahnya, anak-anaknya pernah dihantar bersekolah namun terpaksa berhenti lantaran tidak berpuas hati dengan perkembangan pembelajaran mereka.
"Saya pernah menghantar mereka bersekolah tadika di luar, tetapi perkembangan pembelajaran mereka perlahan berbanding saya sendiri yang mengajarnya.
"Sampai satu tahap saya akan melihat kecenderungan anak dan baru saya akan menghantar mereka menuntut ilmu di luar berdasarkan minat masing-masing," katanya.
Kata Ina pula, situasi dan keadaan ekonomi yang kian meruncing menyebabkan mereka lebih selesa mengamalkan kaedah tersebut.
"Hari ini, dapat dilihat, pergi ke sekolah pun seolah-olah tidak menjamin keselamatan anak-anak.
"Jadi, kami cuba memberi yang terbaik kepada mereka," katanya.
Selesa bergerak solo: Suhaimi

Tanpa disedari, sudah 10 tahun Suhaimi bergerak secara solo selepas mengambil keputusan berundur daripada kumpulan yang menaikkan namanya, In-Team.
Dalam tempoh itu, penyanyi berusia 35 tahun ini sudah menghasilkan empat album solonya iaitu Kias Cinta (2006), Kalamak (2008), Zikir Selawat dan Doa (2013) dan yang terbaru, Maksud Hidup (2015).
"Kini, saya sedang dalam rangka promosi untuk album keempat, Maksud Hidup yang dilancarkan sejak dua bulan lalu.
"Alhamdulillah, setakat hari ini jualannya juga dilihat agak memberangsangkan.
"Bukan saja daripada segi fizikal tetapi juga melalui online," katanya.
Kata Suhaimi atau nama sebenarnya Mohd Suhaimi Saad, album Maksud Hidup diterbitkan dan diedarkan oleh Arteffects International Sdn Bhd, milik penyanyi nasyid Hafiz Hamidun.
Jelasnya, album itu memuatkan lapan lagu termasuklah zikir dan selawat iaitu Hasbi Rabbi, Astaghfirullah, Cinta Sidna, Ilahi Lastu Lilfirdaus, CintaMu, Nour El Anwar, Subhanallah dan Maksud Hidup.
"Ada satu lagu hasil karya saya sepenuhnya iaitu CintaMu manakala yang lain merupakan ciptaan Hafiz," katanya.
Biarpun bergerak secara solo, penyanyi berusia 35 tahun ini mengakui tidak mempunyai masalah untuk menjalinkan kolaborasi dengan bekas kumpulannya, In-Team.
"Saya menyanyi secara solo sejak tahun 2006 lagi.
"In-Team pernah menawarkan saya supaya kembali semula kepada mereka, namun saya lebih selesa seperti ini.
"Namun, dalam tempoh itu juga, saya ada mendapat tawaran sebanyak tiga kali untuk muncul dalam album bersama mereka," katanya.
Tambahnya, adalah menjadi kebiasaan apabila In-Team memerlukan khidmatnya terutamanya ketika ahli kumpulan lain tidak sihat.
"Saya tiada masalah untuk menyanyi bersama. Lagipun, saya dan ahli In-Team yang lain masih berkawan sehingga ke hari ini.
"Malah, tempat tinggal pun di kawasan kejiranan yang sama," katanya.
Impian jadi kenyataan: Ina Naim
Status isteri dan ibu yang digalas tidak menjadi penghalang buat penyanyi, Ina atau nama sebenarnya, Nordiana Md Naim kembali aktif di persada seni tanah air.
Apa yang penting, impian dan kemahuannya itu hadir dengan keizinan si suami, Suhaimi.
"Sebenarnya, ia adalah impian yang tidak tertunai sejak 2010 lagi. Ketika itu, saya harus menangguhkan seketika hasrat ini kerana berbadan dua.
"Kini, anak-anak pun semakin membesar dan mungkin inilah masa terbaik saya.
"Alhamdulillah, suami turut merestui impian saya itu kerana tahu saya wanita yang sudah biasa bekerja," katanya.
Sebelum ini, Ina pernah dilamar syarikat rakaman Hijjaz Records dan sempat hadir dengan dua album mini solo, Duhai Hati dan Lukisan Hati, kira-kira 10 tahun lalu.
Namun, namanya semakin tenggelam seterusnya menyepi selepas mendirikan rumah tangga dan dikurniakan empat cahaya mata.
Tambahan pula, masa penyanyi berusia 33 tahun ini sangat padat dengan rutin hariannya sebagai isteri dan ibu.
"Saya bukanlah penyanyi yang bagus, tetapi untungnya masyarakat sudah mengenali siapa saya.
"Kalau orang lain mungkin agak sukar untuk membina nama, tetapi saya pula hanya perlu menyuburkan semula bidang yang sudah lama ditinggalkan," katanya.
Katanya, kemunculan semulanya itu bukan atas dasar mencari populariti semata-mata sebaliknya menjadikan platform untuk berdakwah.
"Saya ingin membuat sesuatu kepada masyarakat lebih-lebih lagi apabila ada sedikit ilmu, eloklah disampaikan. Bahkan, selain menyanyi, saya juga terbuka dengan apa saja tawaran asalkan ia bersesuaian.
"Rugi jika saya tidak melakukan apa-apa. Apabila saya dan suami bersama-sama dapat membina nama dalam industri, banyak yang kami boleh lakukan untuk mengukuhkan ekonomi keluarga," katanya.
Bercerita lanjut mengenai single duetnya itu, Ina mengakui akan ke studio rakaman dalam masa terdekat.
"Buat permulaan, saya akan menghasilkan single, Jutawan Pemurah duet dengan suami dan bakal diterbitkan oleh syarikat kami, tahun ini. Jutawan Pemurah berkisarkan kepada cara hendak  menggalakkan masyarakat supaya menderma dan bersedekah. Lagu itu merupakan ciptaan sepenuhnya daripada Suhaimi.
"Insya-ALLAH, saya akan tampil solo pula selepas itu," katanya.
Ketika ditanya adakah imej berpurdahnya itu tidak akan mengganggu sekali gus menimbulkan pertikaian daripada orang ramai, Ina ternyata punya pendapat sendiri.
"Saya berpurdah selepas diminta oleh  suami, sejak 2012 lagi.
"Pada awalnya saya kurang selesa, namun selepas sekian lama saya mula serasi dan tidak bermasalah dalam melakukan segala aktiviti harian.
"Saya malas mahu ambil tahu apa yang orang hendak cakapkan. Biarlah orang hendak bercakap apa pun, yang penting saya tahu apa yang saya lakukan," katanya.
Bahkan, Ina mengakui bersedia menghadapi sebarang kontroversi selepas ini.
"Kalau kerana berdakwah, biarlah. Saya sedia terima apa sahaja," katanya.

Sihir di hujung jari



Sihir di hujung jari
Pelbagai web belajar sihir yang mudah ditemui.
JIKA dahulu, amalan sihir ataupun ilmu hitam mungkin dianggap popular di kalangan orang yang lebih berusia.
Namun kini, siapa sangka, remaja berumur sekitar belasan tahun pun sudah mampu mempelajari ilmu itu dengan sekelip mata sahaja.
Itulah pendedahan dibuat pengamal perubatan muda, Mohd Khalid Ab Rahman, 29, kepada Sinar Harian.
Berpengalaman dalam dunia perubatan Islam sejak tahun 2009, menurut Mohd Khalid, dia pernah mengubati salah seorang pesakit muda yang berusia 14 tahun.
Katanya, amat mengejutkan apabila pelajar tersebut mengakui ‘saja-saja’ mencuba ilmu hitam dengan mempelajarinya melalui internet sahaja.
“Ia berlaku disebabkan remaja lelaki itu suka kepada salah seorang pelajar perempuan di sekolahnya. Oleh kerana dia nak pelajar itu menyukai dia juga, maka dia cuba buat ilmu hitam, yang mana padanya dianggap mudah serta cepat.
“Bukan satu atau dua kes kejadian macam ni. Sebenarnya memang banyak berlaku di kalangan remaja sekolah, dan pada saya sudah semestinya ia adalah trend yang membimbangkan untuk umat Islam sendiri,” katanya.
Jelasnya yang juga ahli perubatan Pusat Rawatan Islam dan Tarbiyah Ilmu Nuraniyyah Pulau Pinang, pada zaman remajanya dahulu, antara amalan sihir popular ialah permainan yang digelar ‘spirit of the coins’ atau menyeru roh menggunakan duit siling.
“Disebabkan permainan inilah berlakunya histeria dan pelbagai jenis gangguan di asrama serta sekolah. Ini kerana roh ataupun jin yang dipanggil oleh manusia-manusia ini datang setelah diseru.
“Itu zaman lebih kurang 20 tahun lepas, tapi zaman moden sekarang lagi bahaya. Dengan hanya belajar di internet saja, remaja boleh mengakses pelbagai jenis jampi serapah ataupun mantera sekali gus mempraktikkannya,” katanya.
Gadis jadi mangsa ilmu sihir
Sementara itu, menceritakan pengalamannya, Mardhiah (bukan nama sebenar) baru berusia 16 tahun dan pernah mengalami gangguan penyakit misteri.
Awalnya dia hanya berasa sakit-sakit kepala dan juga tidak ada selera makan.
Namun lama-kelamaan badannya lemah dan tidak mampu fokus dalam pelajaran.
Hampir setiap kali waktu maghrib, gadis itu meronta-ronta serta minta dilepaskan dari rumah.
“Tapi kalau kat sekolah saya jadi bersemangat bila tengok ada seorang budak lelaki ni. Mata pun asyik melekat kat dia, sampai saya tak boleh nak pandang papan hitam dan guru pun.
“Tapi bila balik rumah, saya jadi lemah dan seolah-olah benci tengok mak dan ayah," katanya.
Hampir dua bulan merasai kelainan pada anaknya itu, ibu Mardhiah cuba membawanya ke klinik, namun tidak ada penyakit serius dikesan.
Sehinggalah suatu hari dia terdetik untuk mencuba perubatan Islam.
Ibu Mardhiah yang hanya mahu dikenali sebagai Ruhil berkata, pengamal perubatan itu dikenali melalui rakannya.
“Tak salah mencuba selagi ia berlandaskan syariat Islam. Saya pun cuba bawa Mardhiah. Alangkah terkejutnya saya bila dapat tahu Mardhiah terkena sesuatu seperti yang dianggap sihir pengasih, tapi bukan ditujukan kepadanya.
“Difahamkan anak saya hanya terkena kerana mungkin ada remaja lain sengaja cuba ilmu yang dipelajari,” katanya.
Kini Mardhiah semakin pulih dan keluarganya berusaha membantunya dengan meningkatkan amal ibadat.
“Setiap kali waktu Maghrib, kami cuba solat berjemaah. Sebelum keluar rumah pun saya minta anak-anak amalkan surah al-Fatihah, tiga kul, ayat Kursi dan 1,000 dinar.
“Saya juga minta mereka berzikir setiap masa tak lepas dari bibir, katanya.
Sihir rumah tangga antara paling popular
Dalam pada itu, sihir untuk meruntuhkan rumah tangga antara paling popular di zaman moden kini.
Mohd Khalid yang juga lebih mesra dipanggil Ustaz Khalid di kalangan pesakitnya memberitahu, bukan sahaja pasangan suami isteri, malah penyihir atau individu yang sakit hati turut mampu merosakkan hubungan di antara anak dan ayah serta ahli keluarga yang lain.
“Kita kena ingat, amalan jahat ini sebenarnya berpunca daripada hati bermasalah, termasuk dengki, tidak puas hati, dendam dan sebagainya.
“Punca utamanya juga ialah al-ain iaitu mata atau pandangan mata. Dari situlah timbul hasutan dan ia berlaku apabila manusia berada di luar kawalan dan tidak mampu membendungnya,” katanya.
Jelasnya lagi, iblis ataupun syaitan amat menyukai sekiranya penceraian berlaku dan ia diceritakan melalui Surah al-Baqarah.
Selain sihir terhadap rumah tangga, santau antara penyakit yang sering kali cuba dipulihkan Mohd Khalid bersama kumpulan perubatannya.
Terdapat dua jenis santau iaitu kepada orang atau tuan kedai dan juga santau secara rawak atau lebih mudah dipanggil santau membabi buta.
Kesan santau lebih cepat terkena kepada seseorang individu melalui muntah, sakit perut dan badan jadi lemah.
“Kebiasaannya ia melibatkan kesan fizikal. Santau rawak ini berlaku disebabkan tukang santau ini sengaja hendak mencuba, dan jika tersilap kita juga mungkin berisiko untuk kena sebab mereka saja nak ‘test’,” katanya.
Sihir pengasih juga semakin menjadi amalan di kalangan manusia hidup di zaman serba canggih ini.
“Senang, itu saja boleh cakap. Tak dapat perempuan itu sebelum ini, ok kenakan sihir pengasih, selesai masalah,” katanya.
Belajar perubatan Islam demi keluarga
Pasti ada yang tertanya-tanya, usia Mohd Khalid begitu muda untuk bergelar pengamal perubatan Islam.
Ceritanya, keluarganya pernah ditimpa musibah dan kerana itulah dia mula mempelajari ilmu perubatan berkenaan.
“Niat saya pada awalnya hanya mahu melindungi keluarga daripada ditimpa musibah, dan lama-kelamaan saya rasakan ilmu perubatan Islam ini begitu menarik.
“Jadi sehingga hari inilah saya terus belajar walaupun sudah mampu mengubati pesakit,” katanya.
Didatangi ramai pesakit yang cuba meminta bantuan, Ustaz Khalid turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak salah memilih ‘tukang ubat’.
Dalam Islam, kaedah perubatan yang utama hanya menggunakan ayat al-Quran dan juga bahan alam termasuk tumbuh-tumbuhan.
“Sekiranya jin yang digunakan, mungkin ia akan bertambah buruk. Oleh kerana itu saya katakan, cukup dengan ayat al-Quran, Insya-ALLAH sekiranya diizinkan ALLAH SWT, penyakit tersebut akan sembuh,” katanya.
Nasihatnya, orang ramai tidak perlu takut dengan ilmu hitam ataupun sihir jahat.
Jelasnya, sebagai umat Islam, keyakinan adalah teras utama dan sebagai muslim kita perlu sentiasa istiqamah dalam setiap amalan.
Ia termasuk menunaikan solat fardu lima waktu dan juga menunaikan amalan-amalan sunat yang lain.
“Zikir adalah makanan rohani umat Islam dan paling mudah dilakukan. Cuba kita berzikir, hati kita akan menjadi lebih tenang,” katanya.
Sihir antara tujuh dosa besar
Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor turut mengingatkan umat Islam supaya sentiasa menghindari sihir kerana ia di antara tujuh dosa besar yang membinasakan.
Tegasnya, setiap muslim perlu menghindari amalan buruk dan berdosa itu lebih-lebih lagi yang bertujuan menganiayai orang lain.
“Walaupun ada yang menggunakan sihir untuk menawan hati seseorang supaya suka kepada dirinya atau mencintainya seperti ilmu pengasih, tetapi biasanya ini juga boleh memudaratkan sasaran seperti menjadikan individu itu bodoh dan kebingungan.
“Oleh itu tak usahlah terlibat dalam perbuatan yang keji dan tercela ini.
“Apalah sangat dengan kepentingan dan kentungan yang diperolehi semasa hidup di dunia yang sementara ini kalau di akhirat nanti akan terseksa di dalam api neraka selama-lamanya.” katanya.
Wan Salim berkata, perkataan sihir berasal daripada bahasa Arab yang membawa pengertian sesuatu yang menarik, memukau dan mempesonakan.
Sihir adalah satu hakikat dan ia disebut di dalam ayat al-Quran, termasuk kisah tentang tukang-tukang sihir Raja Firaun yang dikalahkan oleh Mukjizat Nabi Musa.
Juga kisah syaitan mengajar ilmu sihir pada zaman Nabi Sulaiman.
Tambah Wan Salim, sihir sememangnya berkesan dari segi memanfaatkan atau memudaratkan manusia.
“Amalan sihir adalah kufur jika diiktiqadkan memberi kesan dengan sendirinya serta hukum mempelajari ilmu sihir bergantung kepada niat seseorang.
“Kalau niat hendak memudaratkan orang lain maka hukumnya haram dan berdosa, tetapi jika niat untuk membantu orang terkena sihir atau melindungi daripada kemudaratannya, maka hukumnya harus dan tidak berdosa,” katanya.

Rakyat Malaysia disaran labur dalam emas fizikal




emas

RAKYAT Malaysia disaran memperuntukkan antara lima hingga 10 peratus simpanan emas fizikal daripada portfolio simpanan keseluruhan mereka bagi membantu mengurangkan kesan daripada penurunan nilai ringgit dan pertumbuhan perlahan ekonomi sekarang.
Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Public Gold Marketing Sdn Bhd, Datuk Wira Louis Ng Chuu Hau berkata, pelaburan emas fizikal memainkan peranan penting dalam situasi ekonomi berbeza dan ia merupakan instrumen  paling mudah diurusniagakan berbanding  derivatif yang lebih rumit serta mengandungi unsur spekulasi.
"Harga emas ditetapkan berdasarkan harga antarabangsa dan didagangkan dalam mata wang dolar AS, jadi jika nilai ringgit jatuh berbanding  dolar AS, ia akan memberi kelebihan kepada pemilik emas," katanya kepada pemberita pada Seminar yang bertajuk Emas sebagai Penyelamat kejatuhan Ringgit, di sini, hari ini.
Beliau menjangkakan ringgit akan terus diniagakan pada paras 4.4 hingga 4.5 pada tahun ini, dan ini akan memacu harga emas untuk menjadi lebih tinggi.
Selain itu, katanya, harga emas dijangka terus meningkat selari dengan perdagangan antarabangsa kerana faktor pertumbuhan ekonomi global yang tidak memberansangkan menyumbangkan sentimen positif kepada pasaran emas.
"Memperkukuhkan nilai ringgit bukanlah senang, ditambah lagi dengan faktor kebanyakan bank-bank pusat telah mewujudkan pelan baharu, polisi kadar faedah sifar dan pelbagai program pelonggaran kuantitatif dan ini sebenarnya menyebabkan lebih ramai memilih untuk membeli dan menyimpan emas berbanding menyimpan wang di bank," katanya.
Selain itu, katanya, usaha bank pusat asing yang mengubah pelaburan bon ke dalam bentuk emas fizikal akan turut memberi kesan yang besar kepada permintaan emas dunia.
Seminar yang julung kali diadakan ini yang menggabungkan penceramah daripada sektor pelaburan emas dianjurkan oleh Public Gold dengan kerjasama Agrobank, Pos ArRahnu dan Koperasi Dagang Emas.

'Buat bising' burung tiung akan diusir dari Singapura



'Buat bising' burung tiung akan diusir dari Singapura
Burung tiung
SINGAPURA - Penguasa Makanan Pertanian dan Ternakan Singapura (AVA) akan melakukan semburan kabut di beberapa pokok di Yishun dan Clementi untuk mengawal pembiakan burung tiong.
Memetik laporan Channel News Asia melaporkan semburan kabut itu akan dilakukan selama setahun yang mana ia sudah dimulakan di sekitar kawasan Yishun sejak 25 Februari yang lalu.
Program unik tersebut kemudian akan bermula di Clementi pula pada bulan depan.
Tindakan itu dilakukan kerana para penduduk Yishun membuat aduan mengenai bunyi bising yang berpunca daripada burung tiong itu sehingga menggangu tugas-tugas harian mereka.
Sebelum ini, usaha pihak AVA dan Majlis Bandaran Nee Soon untuk mencantas pokok-pokok serta mengehadkan sumber bekalan makanan unggas itu, tidak berhasil kerana burung ini ternyata bijak mengawal keadaan, malah burung ini tidak terjejas dengan perlakuan itu.
Menurut Ahli Parlimen Nee Soon GRC, Louis Ng berkata, langkah ini bukanlah satu penyelesian jangka panjang.
"Apa yang perlu kita lakukan adalah menguatkuasakan undang-undang supaya penduduk tidak memberi burung ini makan.
"Kerana peningkatan populasi burung-burung ini adalah kerana penduduk yang memberi ia makan," katanya.
Dalam pada itu, memetik laporan itu lagi melaporkan bahawa bahan kimia yang dikeluarkan menerusi proses semburan asap kabus itu diharap akan mengusir dan mengekang burung-burung berkenaan daripada pulang ke tempat-tempat tersebut dalam jangka masa lebih panjang.
Jurucakap AVA bagaimanapun memberi jaminan bahawa kesan semburan kabut tersebut sebenarnya tidak akan membahayakan nyawa burung itu sendiri yang banyak terdapat di rantau Asia tenggara, India dan China.

Friday, February 26, 2016

Diserang Melalui Instagram, Putri Najuwa Anggap Julia Ziegler Tidak Matang




Puteri Najuwa enggan melayan Julia Ziegler kerana hal tersebut adalah peribadi.
PETALING JAYA: Pelakon baharu iaitu Putri Najuwa memberitahu tindakan Julia Ziegler menyerangnya menerusi laman sosial adalah satu cara yang kurang bijak dan tidak matang.

Putri Najwa atau nama sebenarnya Tengku Putri Najuwa, 30, berkata, dia enggan melayan aktres tersebut berikutan mahu mengelak hal peribadi menjadi bahan diperkatakan umum.

"Saya malas nak layan mesej dan dia sering telefon saya untuk bertanyakan tentang perkara yang saya sendiri tiada jawapannya. Dia tahu saya tidak salah dalam perkara tersebut tapi dia desak saya untuk bercakap.

"Saya tahu dia sedang marah dan emosi, namun tindakannya menyerang saya di laman Instagram bukanlah tindakan yang matang kerana ia hanya mendedahkan perkara ini kepada umum," ujarnya kepada mStar Online.
 
Antara komen Julia Ziegler yang berbaur ugutan di foto Putri Najuwa.
Putri Najuwa berkata demikian ketika diminta mengulas tentang tindakan aktres Julia Ziegler yang masih menulis kata-kata ugutan di foto yang dimuat naik di laman Instagramnya.

Malah Julia, pada Ahad lalu menerusi program hiburan Melodi telah tampil memberi penjelasan dan mendakwa Putri Najuwa hanya melarikan diri daripada bersemuka dengannya.

Dalam pada itu, Putri Najuwa berkata, perkara tersebut adalah berkaitan hal peribadi yang tidak sesuai untuk didedahkan kepada umum.

"Dia tidak malu ke kalau orang lain tahu tentang hal peribadi ini. Saya rasa orang luar akan anggap kami seperti budak sekolah jika bergaduh tentang lelaki.

"Sebab itu saya diam dan malas mahu layan, apa jawapan yang dia mahu itu boleh bertanya sendiri kepada pihak satu lagi. Dia tahu saya tidak bersalah dalam hal ini dan saya juga tidak pernah salahkan dia bertindak demikian kerana tahap marah seseorang ada batasan," ujarnya.
Julia Ziegler
Julia Ziegler

Bagaimanapun, Putri Najuwa meminta agar aktres tersebut juga tidak melibatkan keluarganya dalam hal berkenaan.

"Dia ada tinggal komen yang kononnya mengenali bapa saya, saya akui dia kenal bapa saya tapi tidaklah baik seperti dia mengetahui keseluruhan keluarga saya," ujarnya.

Dalam perkembangan kerjaya, Putri Najuwa berkata, dia baharu sahaja selesai penggambaran dramaDawai Asmara yang bakal ditayangkan di slot Azalea di TV9.

Aznil Curi Perhatian Giuliana Rancic Dapat Ditonton Di E!




Aznil (kanan) dan Giuliana Rancic.
KUALA LUMPUR: Buat kali kedua pengacara nombor satu negara, Datuk Aznil  Nawawi dipilih untuk menjayakan program berbentuk hiburan, E! selepas rancangan Aznil LA Selfieyang disiarkan pada tahun lalu mendapat sambutan baik penonton.

Rentetan kejayaan itu, E! Sekali lagi melamar pengacara tersohor ini untuk 30 minit tayangan istimewa program Pak Nil Goes To Hollywood yang memperlihatkan bagaimana dia  berkongsi pengalaman sebagai wakil media mendekati selebriti bertaraf antarabangsa dengan cara tersendiri.

Aznil, 54, berkata, beliau amat terharu dan bersyukur atas pemilihannya kali ini biarpun masih ramai wajah baru yang disifatkan berpotensi untuk diketengahkan oleh produksi E! Di Malaysia.
Dari kiri Hunny Madu, Fazura, Aznil dan Didie Alias. 

"Alhamdulillah, sudah tentu saya rasa bersyukur dan teruja kerana pada usia sekarang masih diberi kepercayaan untuk program ini. Ia merupakan siri kedua saya bersama E! di mana sebelum ini saya pernah menjayakan rancangan Aznil LA Selfies dan rancangan itu mendapat maklum balas baik penonton.

"PakNil Goes To Hollywood adalah satu program yang memerlukan saya bertindak sebagai wakil media dari Malaysia, mendekati dan menemubual secara eksklusif personaliti fesyen dan hos program E! Hollywood iaitu Giuliana Rancic," kata Aznil pada sidang medianya di Astro di sini pada Khamis.

Tambah Aznil, lapan minit diberi peluang menemubual Giuliana Rancic, beliau ada cara tersendiri  untuk menarik perhatian personaliti itu agar tidak dilihat klise dengan mana-mana wakil media dari negara lain.

"Nampaknya usaha saya menyediakan sebuah mini Ipad dan meminta beliau memberi komen beberapa gambar selebriti kita yang sedang melaram di karpet merah berjaya menarik perhatian beliau. Lebih menyeronokkan, proses temubual kami berjalan dalam suasana yang cukup santai dan menghiburkan.

"Saya sertakan 18 keping gambar namun atas faktor masa yang terlalu singkat, beliau hanya sempat memberi komen pada lapan gambar sahaja dan antara selebriti bertuah ini ialah Fazura, Diddie Alias, Hunny Madu, pasangan Scha AlYahya dan Awal Ashaari dan Juliana Evans," katanya.