Tuesday, January 31, 2012

Ana Raffali Sahkan Nikah Kawan Karib 26 Februari 2012

Ana Raffali

KUALA LUMPUR: Teka teki mengenai tarikh perkahwinan penyanyi Ana Raffali akhirnya terjawab apabila penyanyi itu mengesahkan akan bernikah dengan kawan karibnya Ahmad Aznaim Abdullah (Naim), 30, pada 25 Februari depan.

Ana Raffali atau nama sebenarnya Ana Nur Hidayah Mohd Raffali, 26, bakal bernikah di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati dekat sini.

Ia dimulakan dengan acara bertunang pada pukul 10.30 pagi dan sejam kemudian, majlis akad nikah akan dilakukan oleh bapanya, Mohd Raffali Mod Nor.

Majlis resepsi diadakan pada hari sama sejurus selepas akad nikah di masjid tersebut.

"Keluarga Naim telah merisik saya pada awal bulan Disember dan kedua-dua belah keluarga menetapkan 25 Februari depan sebagai tarikh hari bahagia kami.

"Nak diikutkan kami ingin berkahwin pada hari lahir Naim pada 24 Februari kerana dia mahu kami dinikahkan sebelum umurnya menginjak 30 tahun.

“Kemudian, apabila difikirkan semula, tak apalah, sehari selepas itu pun tidak ada masalah," kata Ana pada sidang akhbar pengumuman majlis perkahwinannya di PNB Darby Park, di sini, Selasa.

Ana dan Naim berkawan sejak enam tahun lalu.

Pada sidang akhbar itu, kedua-dua orang tua Ana dan Naim serta keluarga terdekat mereka hadir.

Ana turut melancarkan single lagu terbarunya berjudul Lisa Jatuh Cinta yang mengisahkan tentang kisah cintanya.

Pada majlis perkahwinan penyanyi yang popular dengan lagu Tolong Ingatkan Aku itu nanti, pihak perempuan akan menerima sebanyak tujuh dulang hantaran berbalas sembilan.

Bagaimanapun, wang hantaran tidak akan diberikan kepada pihak perempuan sebaliknya hanya menerima mas kahwin yang belum ditentukan jumlahnya.

Tambah Ana, dia juga enggan mengadakan majlis besar-besaran hanya kerana dirinya seorang artis sebaliknya lebih selesa dengan majlis yang sederhana.

"Selama ini saya tidak pernah merasakan diri ini sebagai selebriti dan seperti orang biasa juga, kami sekeluarga ingin mengadakan majlis secara sederhana.

"Yang penting, kami dapat melakukan perkara yang wajib dan melayan tetamu. Berdasarkan perkiraan yang dibuat, mungkin seramai 1,000 orang tetamu akan hadir," ujarnya.

Lisa Surihani Artis Paling Popular Di Facebook

Lisa Surihani

PETALING JAYA: Pelakon Lisa Surihani masih lagi kekal mendahuli senarai artis Malaysia yang mempunyai jumlah pengikut yang paling ramai di laman sosial Facebook iaitu sebanyak 1,902,487.

Angka pengikut di Facebook bintang filem Ombak Rindu itu menerima saingan sengit daripada pelakon Scha Al-Yahya yang menduduki tangga kedua iaitu sebanyak 1,339,837 pengikut sekaligus membuktikan keutuhan Lisa sebagai antara bintang muda yang paling popular.

Lisa berkata, dia bersyukur kerana mempunyai pengikut yang ramai dan sebagai tanda penghargaan, dia akan berinteraksi dan berkongsi perkembangannya sekerap yang mungkin untuk peminat.

“Lazimnya, laman Facebook adalah medium untuk saya berkongsi perkembangan kerjaya manakala Twitter pula lebih bersifat peribadi untuk berkongsi pandangan dan kehidupan.

“Saya pun tidak sangka akan diikuti dengan jumlah peminat seramai itu. Apa pun, saya bersyukur kerana ramai yang ingin mengikuti perkembangan kerjaya saya.

“Kesibukan dengan tugasan ada kalanya menghalang saya untuk sentiasa berinteraksi namun saya tetap akan cuba mengemas kini perkembangan sekerap yang mungkin,” katanya.

Bagaimanapun, perkembangan berleluasa media sosial ini juga tidak terkecuali daripada anasir-anasir negatif.

Kesan bergelar orang popular menjadikan dia berhadapan dengan pelbagai perkara buruk termasuklah menjadi mangsa pemalsuan identiti di medium itu.

Graduan Undang-Undang dari Aberystwyth University di Wales, United Kingdom ini boleh dikira sebagai salah seorang pelakon wanita tempatan yang paling popular sejak memulakan kariernya pada tahun 2007.

Selain Lisa dan Scha, pelakon Awal Ashaari menduduki di tangga ketiga dengan jumlah pengikut sebanyak 979,678 diikuti pula dengan Shaheizy Sam (932,412), Diana Danielle (862,557), Farid Kamil (658,595) dan Datuk Siti Nurhaliza (440,504).

Sementara itu, Lisa juga masih lagi menjadi selebriti paling ramai pengikut menerusi laman Twitter miliknya dengan jumlah sebanyak 507,813 diikuti dengan Scha (273,916), Awal (243,501), Sam (347,501), Siti (286,150) Diana (121,103) dan Farid Kamil (48,636).

'Aku Tak Mahu' Bukan Mengenai Zul Ariffin - Abby Abadi

Abby Abadi.

SHAH ALAM: Pelakon dan penyanyi, Abby Abadi menolak dakwaan lagu single terbarunya berjudul Aku Tak Mahu berkisar mengenai hubungan cintanya dengan pelakon muda, Zul Ariffin.

Abby ketika ditemui berkata, perkara itu adalah secara kebetulan dan dia memilih untuk merakamkan lagu tersebut kerana menyukai melodinya tetapi bukan liriknya.

"Tidak benar lagu berkenaan mengenai hubungan saya dengan Zul dan ia hanyalah kebetulan. Tambahan pula liriknya bukan dicipta oleh saya tetapi Edry.

"Sebelum merakamkan lagu tersebut, saya telah diberikan lima buah lagu dengan lirik bertemakan serupa tetapi memilih Aku Tak Mahu kerana sukakan melodinya yang berbeza daripada lagu yang sedia ada," ujarnya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, ditanya mengenai hubungannya dengan bekas suami, Norman Hakim dan isterinya, Memey Suhaiza, Abby berkata dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan pasangan itu.

Abby berkata, dia sudah melupakan semua perkara yang telah berlaku di antara mereka tambahan pula dia langsung tidak mempunyai apa-apa perasaan lagi terhadap Norman.

"Itu semua cerita lama dan hubungan kami kini berada di tahap baik, semuanya demi anak-anak yang sedang membesar," ujarnya ringkas.

Ditanya mengenai hubungannya dengan Memey, Abby memberitahu dia tidak mempunyai masalah dengan wanita itu tetapi mereka tidak berkomunikasi antara satu sama lain.

"Rasanya adalah lebih baik begitu kerana tidak mahu menimbulkan apa-apa masalah," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kemenangannya pada malam Anugerah Pilihan Pembaca Media Hiburan (PPMH) 2011/12 menerusi anugerah Artis Paling Cekal, Abby menjelaskan ia adalah sebuah penghargaan buat dirinya daripada peminat yang tidak jemu-jemu memberikan sokongan kepadanya.

Ujarnya, walaupun dirinya tidak secekal yang disangka tetapi dia tidak mahu menyerah kalah dan ingin terus berjuang demi masa depannya dan anak-anak.

"Pemilihan saya adalah mungkin berdasarkan daripada apa yang mereka lihat mengenai apa juga kejadian menimpa diri saya.

"Sejujurnya saya adalah manusia biasa dan ada ketikanya akan tumpas juga walau sekuat mana pun saya tetapi kelemahan itu tidak akan ditunjukkan kepada masyarakat," ujarnya.

Jamal Abdillah Akui Sukar Mencari Pengganti Malique

Jamal Abdillah berasa sukar untuk mencari pengganti Malique berduet dalam lagu Aku Maafkan Kamu.

KUALA LUMPUR: Penyanyi Jamal Abdillah mengakui berasa sukar untuk mencari pengganti penyanyi rap dan komposer Malique yang menjadi teman duetnya dalam lagu Aku Maafkan Kamu bagi memenuhi sebarang pertunjukan pentas.

Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, 53, berkata keadaan itu disebabkan oleh keengganan Malique untuk tampil di tempat umum melainkan atas urusan yang penting.

“Saya akui agak sukar untuk menyampaikan lagu terbaru Aku Maafkan Kamu tanpa kemunculan Malique. Kerumitan ini saya hadapi setiap kali ingin menyampaikan lagu itu pada pertunjukan pentas.

“Malangnya dia enggan untuk turut serta atau muncul di depan khalayak jika tiada urusan yang benar-benar penting. Mahu tidak mahu, saya perlu mencari penyanyi rap lain yang boleh menjadi penggantinya,” katanya.

Penyanyi yang mendapat jolokan Raja Pop itu ditemui mStar Online selepas sidang media majlis makan malam amal Mutiara Kasih yang diadakan di Saloma Bistro, di sini, Isnin.

Bagaimanapun, Jamal berkata usaha untuk mencari pengganti Malique masih menemui jalan buntu memandangkan tidak ramai penyanyi rap tanah air yang mempunyai kualiti dan teknik nyanyian rap seperti anggota kumpulan rap Too Phat itu.

“Saya ada bertanya kepada beberapa penyanyi rap yang lain tetapi masalahnya mereka tidak menepati kualiti dan teknik rap sebaik Malique.

“Kebanyakan penyanyi rap yang saya temui mempunyai teknik dan sebutan yang keras manakala Malique mempunyai cara sebutan perkataan yang lembut dan tersendiri,” katanya.

Jamal berkata atas alasan yang sama, dia terpaksa menggunakan khidmat pelawak dan pengacara Zizan Razak bagi menggantikan Malique dalam klip video rasmi lagu berkenaan.

Dalam pada itu, Jamal berkata dia bakal terlibat dalam majlis makan malam amal Mutiara Kasih anjuran SNZ Event Management dan A&A World Vacation yang bakal berlangsung pada 12 Februari depan pukul 8 malam di JB Expo, The Regency Hotel, Johor Bahru, Johor.

Mengulas tentang majlis itu, Jamal berkata dia berasa teruja untuk mengadakan persembahan di hadapan peminat di bahagian selatan tanah air memandangkan tidak banyak aktiviti dan persembahan nyanyian yang diadakan di sana sebelum ini.

Jamal (tengah) bersama pengacara Dee (paling kiri) dan pihak penganjur majlis makan malam amal Mutiara Kasih.

“Kalau hendak dibandingkan, artis kita jarang berpeluang untuk mengadakan persembahan pentas dalam majlis amal di Johor berbanding di Kuala Lumpur.

“Saya berharap sayarikat-syarikat korporat dan para peminat di Johor tidak keberatan untuk membuat tempahan meja bagi majlis makan malam ini, di mana sambil anda berhibur anda juga dapat beramal,” katanya.

Turut menampilkan penyanyi Rahmat Mega dan pengacara majlis Dee, tiket bagi pembelian meja yang berharga RM250, RM450 dan RM550 seorang boleh didapati dengan menghubungi 07-5569276, 019-7007187, 012-7232167 atau 017-7117961.

Sebahagian daripada hasil jualan tiket itu akan disumbangkan kepada Pertubuhan Rumah Orang-orang Tua Nur Ehsan, Kempas, Johor dan Sekolah Tahfiz Anak-anak Yatim Pandan, Johor.

Buruh ladang ‘ustaz’

DERITA...Kamal menceritakan pengalamannya kepada wartawan Harian Metro.
DERITA...Kamal menceritakan pengalamannya kepada wartawan Harian Metro.

KUALA LUMPUR: “Selama lebih setahun keringat kami diperah di ladang yang dibuka lelaki itu dan selama itu kami tidak menghadiri kelas seperti yang dijanjikan ketika dihantar ibu bapa ke pusat tahfiz itu,” kata Kamal, 24, bekas pelajar pusat tahfiz di Kedah yang diasaskan lelaki dikenali sebagai Azhar Wahab.

Menurutnya, sejak pusat tahfiz itu dibuka 12 tahun lalu, lelaki terbabit bukan saja memerah keringat ratusan anak yatim dan pelajarnya bagi tujuan memungut derma, malah turut menjadikan kanak-kanak dan remaja berkenaan seperti buruh paksa di ladang kelapa sawit miliknya.

Katanya, hasil penat lelah pelajar itu, lelaki terbabit mengaut keuntungan besar sehingga didakwa mempunyai kekayaan luar biasa termasuk memiliki beberapa banglo, kenderaan mewah dan pejabat rasmi dianggarkan bernilai jutaan ringgit.

Hasil daripada aktiviti perladangan dan derma yang dikutip pelajar tahfiz itu dimasukkan ke sebuah tabung khas yang dikendalikan bahagian sumber manusia pusat itu.Mendedahkan kekayaan luar biasa pengasas pusat tahfiz itu, Kamal berkata dia antara pelajar terawal direkrut untuk mengumpul dana hasil kutipan derma daripada masyarakat termasuk menjual produk, hiasan ayat al-Quran, herba, kalendar dan minyak gosok kepada orang ramai di merata lokasi.

Irma Hasmie Tidak Putus Asa Cari Jodoh

SHAH ALAM: Pelakon Irma Hasmie menjelaskan dia tidak pernah berputus asa dalam mencari jodoh buat dirinya selepas gagal dalam percintaan dengan pelawak Nabil.

Irma berkata, dia seboleh-bolehnya ingin segera mendirikan rumah tangga kerana usianya sudah mencecah 30 tahun.

"Walaupun saya seorang perempuan tetapi rasanya tidak boleh duduk berpeluk tubuh menunggu jodoh itu datang kerana kita perlu berusaha mencarinya.

"Tetapi masih belum sampai masa untuk bertemu dengan seseorang yang betul-betul sesuai dengan saya," ujarnya kepada mStar Online.

Irma juga tidak menafikan, mengenali seorang jejaka tetapi hubungan tersebut terputus kerana tiada keserasian.

Ujarnya, dia bagaimanapun tidak berputus asa dan akan terus mencari lelaki yang sesuai untuk dijadikan sebagai pembimbing hidupnya.

"Jika dulu sebelum berhijrah tumpuan dan kehendak adalah berbeza dan selepas memakai tudung juga berlainan.

"Bukan memilih tetapi hanya lebih berhati-hati tambahan pula dengan peristiwa lalu yang membuatkan diri ini serik," katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai hubungannya dengan pereka fesyen, Ezuwan Ismail yang sentiasa menemaninya di majlis-majlis rasmi, Irma berkata hubungan mereka adalah sebagai kawan baik dan tidak lebih daripada itu.

Dia sentiasa bersama Ezuwan kerana pereka fesyen itu sering mereka baju untuknya bagi menghadiri acara-acara hiburan.

"Baju pertama yang direka oleh Ezuwan adalah untuk saya dan semenjak itu saya selesa menggunakan khidmatnya dan hubungan itu bertukar menjadi sebagai seorang kawan," katanya.

Bercakap mengenai perkembangan kerjaya, Irma berkata dia sedang sibuk di lokasi penggambaran drama Jujur Aku Dayus di samping pelakon jelita, Nora Danish untuk siaran TV3.

Selain itu, dia juga baru selesai penggambaran drama berantai 26 episod berjudul Sepiluh Cinta yang bakal ditayangkan di saluran iTV.

"Alhamdulilah rezeki dalam bidang lakonan masih ada dan saya masih diterima dalam bidang ini," katanya.

'Lawak Ke, Der?' Bawa Pelawak Ke Pentas IB

Para pelawak akan membawakan beberapa karakter yang pernah dipopularkan mereka.

KUALA LUMPUR: Buat pertama kalinya, pentas Istana Budaya (IB) akan membawa penonton menyaksikan persembahan 'stand-up comedy' daripada barisan pelawak hebat, Lawak Ke, Der? bermula 3 hingga 12 Februari depan.

Persembahan yang dianjurkan oleh Istana Budaya dan NRG Enterprise Sdn Bhd itu akan memperlihatkan kehebatan peserta daripada pertandingan Maharaja Lawak Mega (MLM) iaitu Osbon (Mr.Os dan Abon), Boboi (Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik), Raja Lawak Mega (RLM) iaitu Jozan (Johan dan Zizan) serta Harith Iskander.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, idea persembahan 'stand-up comedy' itu timbul selepas rancangan pementasan tarian Thousand Hands yang sepatutnya dipentaskan pada tarikh berkenaan dibatalkan.

"Sebenarnya, saya dan Afdlin telah berbincang mengenai persembahan sebegini untuk dipentaskan di IB sejak dua tahun lalu.

"Kemudian, apabila Thousand Hands dibatalkan, pihak kami perlu mengisi kekosongan jadual itu supaya nama baik IB tidak terjejas, lantas kami terus memasukan Lawak Ke, Der? ke dalam slot aktiviti tahunan kami," katanya pada sidang akhbar Lawak Ke, Der? di Istana Budaya, di sini, Isnin.

Sepanjang dua jam persembahan, Lawak Ke, Der? yang diarahkan oleh Hans Isaac itu akan diadakan selama enam hari, dimulakan dengan persembahan Osbon iaitu pada 3 dan 10 Februari depan, diikuti Jozan (4, 5, 11 & 12 Februari) manakala Boboi, Harith Iskandar dan Nabil akan tampil pada setiap hari.

Harith Iskander

Sementara itu, beritahu Afdlin, Boboi akan mempersembahkan karakter yang pernah dibawa dalam MLM seperti 'Boboyot', 'Datin Maimon' dan 'Gegirl' sebagai penampilan istimewa.

Begitu juga dengan Osbon dan Jozan, masing-masing akan membawakan beberapa karakter yang pernah dipopularkan mereka.

Dalam pada itu, bagi memantapkan kualiti persembahan, Jozan turut mengkaji mengenai penggunaan bahasa yang sesuai memandangkan aksi mereka semestinya akan ditonton oleh pelbagai golongan umur.

"Dalam persembahan Jozan nanti, bahasa yang mempunyai dua maksud atau kasar tidak akan digunakan supaya penonton cilik sehinggalah ke dewasa dapat memahami persembahan lawak kami.

"Malah, kami telah mempersiapkan diri dengan ke Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) untuk meminta pandangan mengenai penggunaan perkataan yang sesuai dan pada masa sama turut menjalankan latihan di sana," kata Johan.

AJL26 Raih 6.5 Juta Penonton

PETALING JAYA: Keunggulan anugerah berprestij tahunan, Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL26) berjaya melakar sejarah baru apabila acara yang disiarkan secara langsung dari Stadium Putra, Bukit Jalil Ahad lalu, berjaya meraih jumlah penonton tertinggi iaitu sebanyak 6.5 juta.

Menurut kenyataan ringkas yang dihantar melalui e-mel oleh pihak TV3, kajian daripada Nielsen Audience Measurement itu sekaligus mencipta rekod baru untuk stesen penyiaran TV3.

Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar berkata, perancangan rapi acara tersebut ternyata membuahkan hasil lebih-lebih lagi, ramai yang memberikan respons positif mengenainya.

"Hasilnya bukanlah boleh dikira dengan wang ringgit sebaliknya melalui kepuasan menjadikannya satu acara di luar jangkaan.

"Bukan mudah untuk mencapai kadar jumlah tontonan keseluruhan mencecah lebih daripada 6.5 juta, segala keringat dan penat lelah tenaga kerja menjadi bukti bahawa tanggungjawab sebagai sebuah stesen TV dikongsi bersama menjadikannya sebuah acara gilang-gemilang.

Aizat

”Maklum balas yang diterima daripada para penonton juga amat menggalakkan malah pihak kami juga menerima permintaan daripada penonton untuk menyiarkan ulangan AJL26. Ini jelas membuktikan kewibawaan anugerah ini seharusnya diberikan pujian dan semoga terus sukses di masa akan datang,” katanya.

Jumlah tontonan secara online mencecah 118,884, sekali gus memecahkan rekod AJL 25 tahun lepas iaitu 83,764 dengan peningkatan sebanyak 42 peratus.

Acara yang dimulakan tepat pada pukul 9 malam itu mencapai angka tertinggi 'live streaming' pada pukul 10.55 malam dengan 20,768 hit berbanding 8,334 pada pukul 11.20 malam di AJL25 menjadikan Malaysia sebagai penyumbang utama kepada jumlah tontonan sebanyak 106,514, diikuti negara-negara lain seperti Singapura (3,271), Brunei (1,998), United Kingdom (1,790) dan Indonesia (1,032).

AJL26 membawa dimensi baru dalam penganjurannya setelah memberi satu impak maksimum melalui persembahan pentas selain komitmen finalis yang membawakan lagu-lagu mereka dengan identiti, pemfokusan dan kreativiti masing-masing.

Yuna

Tahun ini juga memperlihatkan antara penganjuran terbaik membawa konsep berlainan bersempena dengan ulang tahunnya yang ke-26, elemen air dipilih sebagai menerapkan perkembangan dan perjalanan arus muzik dan irama terutamanya dalam industri tempatan pada kemuncak acara gemilang ini.

Tuah kali ini berpihak kepada penghibur muda berbakat, Hafiz yang berjaya muncul sebagai juara menerusi lagu popular Awan Nano ciptaan komposer Datuk M.Nasir dan lirik oleh Buddhi Hekayat.

12 buah lagu lain yang turut bertanding ialah Cinta Muka Buku (Najwa Latif), Kalau Berpacaran (Ana Raffali, Sohaimi Mior Hassan, Altimet), Karma (Faizal Tahir), Penakut (Yuna) dan Sedetik Lebih (Jaclyn Victor)

Diikuti dengan lagu Wanita Seluruh Dunia (Projek Pistol), Beribu Sesalan (3 Suara), Kekanda Adinda (Atilia & Monoloque), Sungai Lui (Aizat), Kisah Hati (Alyah) dan Gadis Semasa (Yuna).

Kaer Azami Nafi Sudah Bertunang

Kaer Azami.

SHAH ALAM: Penyanyi yang popular dengan lagu Izinkan Ku Pergi, Kaer Azami menafikan dakwaan dia sudah bertunang dengan gadis pilihan hatinya.

Kaer berkata, laporan mengenai perkara itu adalah rekaan semata-mata namun tidak menafikan bakal mengikat tali pertunangan dengan gadis tersebut apabila telah bersedia.

"Jika benar saya sudah bertunang ia akan dikhabarkan kepada rakan-rakan media tetapi laporan itu adalah tidak tepat," ujarnya kepada mStar Online.

Diasak dengan pertanyaan mengenai individu yang telah mencuri hatinya, Kaer memberitahu dia mengenali wanita tersebut ketika melanjutkan pelajaran di Jakarta, Indonesia.

Kaer juga enggan mengesahkan identiti wanita itu sama ada warganegara Indonesia atau berasal dari negara ini.

"Apa yang boleh saya katakan kami telah kenal lama dan selebihnya apabila semuanya telah pasti saya akan dedahkan kepada media," katanya.

Dalam perkembangan lain, Kaer memberitahu dia mungkin bersara daripada bidang nyanyian kerana ingin memberikan tumpuan kepada perniagaan yang diusahakannya.

Kaer berkata, perniagaan yang diusahakan itu masih melibatkan bidang seni dan dia berharap dapat mencari bakat baru untuk diketengahkan di Indonesia.

"Sepanjang melanjutkan pelajaran di Indonesia, selain belajar saya juga turut aktif mencari kenalan dalam industri hiburan di sana.

"Apabila ada kenalan rasanya lebih mudah untuk membawa masuk bakat kita ke negara itu," ujarnya.

Di samping itu, Kaer memberitahu dia berhasrat untuk membuka sebuah butik di Kuala Lumpur dengan jenama Kazami yang sebelum ini rancak menerima tempahan dari Indonesia dan Filipina.

"Semasa di Jakarta saya tidak mempunyai kedai khusus untuk jenama itu tetapi berhasrat membuka sebuah butik di sini yang menjual pakaian lelaki," katanya.

Sementara itu, Kaer juga bakal menghasilkan album terbarunya yang dijangka berada di pasaran pada Mei depan.

Bekas peserta program realiti Akademi Fantasia musim kedua ini memberitahu dia ingin memeriahkan kembali industri seni suara selepas lama menghilangkan diri.

"Album itu nanti akan menampilkan genre pop rock dan harap-harap ia akan disukai peminat," ujarnya.

‘The Grey’ Ungguli Carta Kutipan Pecah Panggung

Liam Neeson dalam filem The Grey.

LOS ANGELES: Filem lakonan Liam Neeson, The Grey berkisar tentang mangsa kapal terbang terhempas yang berdepan ancaman serigala, mengungguli carta kutipan pecah panggung di Amerika Syarikat Utara pada hujung minggu lalu selepas mengutip RM59.9 juta (USD19.7 juta) pada minggu pembukaan filem itu.

Menurut rekod wakil pemamer di sini, Isnin, kutipan itu sekali gus menepis Underworld 4: Awakening ke tangga kedua dengan RM37.7 juta (USD12.4 juta).

One For the Money yang mengutip RM35 juta (USD11.5 juta) pula menduduki tempat ketiga dan diikuti filem komedi lakonan Katherine Heigl Red Tails di tangga keempat dengan kutipan sebanyak RM31.6 juta (USD10.4 juta).

Filem ngeri Man on a Ledge pula berada di tangga kelima dengan kutipan RM24.4 juta (USD8 juta) pada minggu pembukaan filem itu.

Menyusul di tangga keenam adalah filem tentang impak tragedi 9/11 ke atas sebuah keluarga lakonan Sandra Bullock dan Tom Hanks berjudul Extremely Loud and Incredibly Close dengan kutipan RM21.4 juta (USD7 juta).

Filem aksi lakonan Mark Wahlberg Contraband pula berada di kedudukan ketujuh carta dengan kutipan RM20.4 juta (USD6.7 juta).

Sementara filem genre drama lakonan George Clooney, The Descendants menduduki di tangga kelapan dengan RM19.5 juta (USD6.4 juta) selepas menyaksikan peningkatan pada jualan tiket sehingga hujung minggu lalu.

Dalam pada itu filem 3D Beauty and The Beast berada di tangga kesembilan dengan kutipan RM16.1 juta (USD5.3 juta) .

Tangga kesepuluh carta diduduki oleh filem aksi Haywire selepas mengutip RM12.2 juta (USD4 juta), kata rekod tersebut.

Tuah ‘Kisah Hati’ Bakal Lonjak Nama Alyah

Alyah

KUALA LUMPUR: Penyanyi Alyah yakin bahawa lagu Kisah Hati akan melonjakkan lagi jenama dan popularitinya pada tahap yang lebih tinggi pada tahun ini.

Pemenang kategori Persembahan Terbaik di Anugerah Juara lagu ke-26 (AJL26) itu, berkata berdasarkan pengamatannya, tuah lagu ciptaan sepenuhnya oleh Manusia Putih itu dijangka memberikan impak yang lebih besar kepada jenamanya sebagai penyanyi.

“Saya yakin dan percaya lagu kejayaan lagu Kisah Hati ini akan melonjakkan lagi nama saya di persada muzik tanah air selepas ini.

“Berdasarkan apa yang saya lihat menerusi lagu saya sebelum ini iaitu Tak Mungkin Kerana Sayang, ia telah memberikan impak yang besar pada kerjaya dan populariti saya.

“Jadi tidak mustahil ia akan berulang dengan kejayaan lagu Kisah Hati di AJL26 ini pula,” katanya.

Alyah yang tampil dengan konsep ‘cerita dongeng’ pada imej dan persembahannya di malam AJL26, Ahad lalu, berkata kejayaan tersebut akan menjadi pembakar semangat untuk dia bekerja keras dan maju ke hadapan.

“Selepas 12 tahun berkecimpung dalam seni suara, saya anggap kejayaan lagu ini sebagai pembakar semangat dan pengubat kedukaan saya yang sering jatuh dan dilukai.

“Saya bersyukur atas kejayaan ini dan ia pasti menjadi motivasi untuk terus berusaha melonjakkan nama dan kualiti kerja saya ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Pada malam AJL26 yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini, Alyah membawa pulang trofi dan wang tunai berjumlah RM10,000 selepas memenangi kategori Persembahan Terbaik.

Jual sejuta unit

LASAK...Hurul Ain menunjukkan Intellinus Classmate PC yang masih berfungsi walaupun skrinnya pecah.
LASAK...Hurul Ain menunjukkan Intellinus Classmate PC yang masih berfungsi walaupun skrinnya pecah.

INTELLINUS Sdn Bhd (Intellinus), pengeluar komputer berjenama Intellinus (www.intellinus.com.my) dijangka mencapai sasaran jualan sejuta unit komputer tablet keluarannya dikenali Intellinus Classmate PC menjelang akhir tahun ini.

Naib Presiden Pemasaran dan Jualannya, Hurul Ain Ibrahim berkata, sasaran berkenaan dijangka dapat dicapai khususnya dengan keistimewaan yang terdapat pada produk berkenaan terutama perisiannya.


“Intellinus Classmate PC berbeza dengan komputer riba atau tablet sedia ada di pasaran kerana ia mempunyai dua fungsi dalam satu peranti iaitu boleh menjadi komputer riba atau tablet bergantung kepada kehendak pengguna.

“Ia boleh diubah menjadi tablet berfungsi dengan menyentuh skrin, malah boleh digunakan sebagai komputer riba mengikut kehendak masing-masing,” katanya.


Menurutnya, produk itu sesuai digunakan sebagai alat bantuan mengajar kanak-kanak kerana ia didatangkan dengan perisian yang dapat membantu kemahiran menulis, mengira dan melukis.


“Perisian Pen Input Method dan ArtRage dapat menggalakkan kanak-kanak membina kemahiran menulis, melukis dan mengira menerusi kaedah lebih menyeronokkan.“Malah, maklum balas daripada pelanggan sedia ada membabitkan guru juga mengakui produk ini banyak membantu sesi pengajaran dan pembelajaran khususnya di kalangan pelajar kelainan upaya (OKU),” katanya.


Selain perisian itu, ia dilengkapi Windows Journal yang dapat membantu penulisan nota menggunakan pen stylus dan MyKamus Dewan Pro yang turut membantu pencarian perkataan dalam tulisan jawi.

Hurul Ain berkata, sempena promosi pengenalan, pihaknya memberi tawaran istimewa apabila untuk pembelian lebih 1,000 unit, pihaknya menawarkan harga RM599 seunit, lebih 500 unit (RM799) dan bagi pembelian individu, harga yang ditawarkan adalah RM999.


“Tawaran ini terhad untuk tempahan sehingga 28 Februari ini dan selepas tempoh itu ia akan dijual pada harga RM1,799,” katanya.

JoHaRa bikin Pagi Era semakin meletup!

JoHaRa

Setelah Aznil Nawawi atau Pak Nil meninggalkan segmen Riuh Pagi Era, pendengar setia stesen radio Era FM dihidangkan pula dengan slot baru iaitu JoHaRa Pagi Era.

JoHaRa ialah singkatan yang merujuk kepada nama tiga penyampai bagi segmen tersebut iaitu Johan, Haniff dan Ray.
Walaupun kolaborasi ini baru sahaja menjalankan tugasan mereka sejak 1 Januari lalu, ternyata gandingan ketiga-tiga penyampai ini berjaya menampilkan kelainan yang mampu memberi kejutan buat pendengar setia sekali gus menarik minat pendengar lain untuk memilih stesen tersebut.
Jika sebelum ini slot Pagi Di Era pernah dikendalikan nama-nama yang berpengaruh seperti Aznil, Allahyarham Din Beramboi, Kieran dan Khairil Rashid, kini tugas tersebut disandarkan pula kepada Johan untuk mengembalikan kegemilangan stesen radio itu.
Johan yang merupakan bekas peserta bagi program realiti Raja Lawak musim pertama kini sedang menjalani proses menyesuaikan dirinya dengan tugasan sebagai penyampai di konti bersama Ray dan Haniff yang lebih berpengalaman.
Menurutnya, walaupun sebelum ini dia tidak pernah menyimpan hasrat untuk bergelar penyampai, tawaran yang diberikan tidak dilepaskan begitu sahaja.
Malah, Johan mengakui dirinya kini sudah jatuh cinta dengan kariernya itu.
“Walaupun saya tidak mempunyai sebarang pengalaman sebagai seorang penyampai, ianya tidak memberi sebarang masalah dengan kelebihan yang ada pada saya.
“Mujur saya seorang yang banyak bercakap dan ianya sedikit sebanyak dapat membantu saya menyesuaikan diri dengan kerja ini,” katanya.
Johan yang dikenali dengan lawak spontannya itu juga menyatakan bahawa komitmen sebagai seorang penyampai yang mengendalikan segmen pagi tidaklah semudah yang difikirkan, tambahan pula dia juga merupakan seorang pelakon.
“Secara positif, saya memandang komitmen ini sebagai satu rutin harian yang mendisiplinkan diri. Walaupun terpaksa korbankan waktu rehat, saya masih lagi sayangkan karier ini,” ujarnya.
Menyentuh tentang kerjasama bersama Ray dan Haniff, Johan menyatakan dia tidak mengambil masa yang lama untuk mewujudkan keserasian antara mereka.
“Saya selesa bekerja dengan mereka berdua dan toleransi yang ada membuatkan kami cepat mesra dan senang sepanjang berada di konti. Sebagai orang baru, banyak perkara yang saya belajar daripada mereka.
“Walaupun masih baru dalam bidang ini, saya akan lakukan yang terbaik supaya JoHaRa Pagi Di Era menjadi lebih mantap seterusnya dapat menaikkan nama stesen radio Era FM ke peringkat yang lebih baik,” katanya.

Pengalaman mengajar Haniff
Berkongsi pengalaman perjalanan awal bergelar penyampai, Haniff Hamzah atau lebih dikenali sebagai Haniff menyatakan penglibatannya dalam bidang itu bermula dengan bertugas sebagai skuad X Fresh FM pada 2005.
“Saya mengambil keputusan untuk mencuba nasib sebagai penyampai di Era FM apabila mereka sedang mencari pengganti arwah Din Beramboi.
“Tak sangka saya terpilih dan peluang yang diberikan tidaklah saya sia-siakan begitu sahaja,” ujarnya.
Pada 2010, Haniff memulakan tugasnya sebagai penyampai pada segmen pagi di Era FM bergandingan bersama Aznil dan Ray.
“Bekerja bersama Pak Nil sememangnya memberi saya banyak pengajaran dan pengalaman yang berharga dan dari situlah saya belajar sedikit sebanyak pengetahuan tentang bidang penyampai.
“Pak Nil yang berpengalaman dalam bidang ini sentiasa memberi kami tunjuk ajar dan kami amat selesa bekerja bersama beliau,” katanya.
Menyentuh tentang segmen terbaru, JoHaRa Pagi Di Era, Haniff menyatakan ianya merupakan satu pengalaman baru dan kelainan yang dilakukannya bersama Ray dan Johan untuk meneruskan kegemilangan segmen pagi di stesen radio itu.
Katanya, sebagai kapten segmen itu, dia perlu mengawal dan memastikan semua yang dirancang berjalan dengan lancar bersama Ray dan Johan.
“Sebelum ke udara, perbincangan antara penyampai pagi akan diadakan supaya semuanya akan berjalan seperti yang dirancang.
“Setakat ini, saya dan Ray serta Johan telah berikan yang terbaik untuk menarik minat pendengar supaya terus setia bersama kami dan saya yakin segmen ini akan terus menceriakan pagi pendengar,” katanya.
Haniff berkata, karakter berbeza yang dibawa oleh mereka juga telah memberi kelainan yang berupaya menceriakan segmen pagi itu.

Ray lakukan yang terbaik
Bagi Shahreza Mohd Shah atau Ray, pengalaman bertugas sebagai Skuad Era bermula 2005 banyak memberinya pendedahan untuk mendekati pendengar.
“Dua tahun saya bertugas sebagai Skuad Era serba sedikit mengajar saya untuk berinteraksi bersama pendengar dan dari situlah saya mula meminati bidang penyampaian radio.
“Pada 2008, saya pernah digandingkan bersama Haniff sebagai penyampai X Fresh FM dan kemudian pada tahun berikutnya kami menyertai Era FM,” katanya.
Ray berkata, keserasian gandingannya bersama Haniff membuatkan mereka senang untuk bekerjasama dan selesa sepanjang bertugas di konti mahupun di luar konti.
“Pengalaman yang tidak akan saya lupakan adalah semasa mengendalikan segmen pagi bersama Haniff dan Pak Nil.
“Beliau banyak memberi tunjuk ajar kepada kami dan saya amat berbangga dapat bekerjasama dengan beliau yang menjadikan segmen kami lebih menarik,” kata Ray.
Bagi JoHaRa Pagi Di Era, Ray berpendapat segmen tersebut sememangnya dapat memberi impak berbeza daripada segmen pagi sebelumnya.
Lebih-lebih lagi dengan kemunculan Johan yang sentiasa memberi keceriaan pada ruangan pagi itu.
“Maklum balas yang kami terima daripada pendengar sepanjang mengendalikan segmen ini amatlah positif, malah kami juga menerima banyak panggilan daripada pendengar baru.
“Ini telah membuktikan pendengar gembira dengan segmen ini dan kami akan sentiasa melakukan yang terbaik untuk meneruskan kejayaan ini sehingga stesen radio Era FM menjadi stesen radio nombor satu di hati pendengar,” katanya.

10,000 banjiri konsert

Aaron Aziz

Kemeriahan Konsert Ulang Tahun ke-27 majalah hiburan No1, Media Hiburan yang julung kalinya diadakan di pekarangan Kompleks Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam masih lagi dapat dirasai biarpun konsert tersebut telah melabuhkan tirai pada lewat malam kelmarin.

Dengan kehadiran hampir 10,000 pengunjung yang rata-ratanya merupakan pembaca majalah tersebut, Media Hiburan membuktikan mereka mampu bertahan sehingga kini dengan sokongan daripada selebriti dan peminat.

Seawal jam 6 petang lagi, peminat telah mengerumuni bahagian pentas utama bagi mendapatkan tempat hadapan untuk melihat secara dekat persembahan artis terkenal tanah air.

Sorakan dan laungan peminat mula kedengaran apabila setiap artis muncul di karpet merah yang disediakan sepanjang jalan menuju ke pentas utama.

Konsert yang bermula pada jam 9 malam itu menampilkan DiGi sebagai penaja bersama dan diselang-selikan dengan penyampaian Anugerah Pilihan Pembaca Media Hiburan (PPMH) 2011/2012.

Majlis yang diacarakan oleh Nabil Ahmad dan Dira Abu Zahar itu dimulai dengan persembahan tarian daripada juara Showdown 2010, Wakaka Crew.

Majlis diteruskan dengan penyampaian Anugerah Ikon yang dimenangi oleh Datuk Siti Nurhaliza dan disampaikan oleh Editor Media Hiburan, Meen Tahrin. Siti dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada pihak Media Hiburan yang begitu banyak bertolak-ansur dan memahami jadualnya yang sibuk sepanjang bergelar anak seni.
“Terima kasih kepada pihak Media Hiburan terutama pihak Karangkraf kerana selama ini menyokong perjalanan karier Siti.

“Siti senang bekerjasama dengan Media Hiburan kerana banyak bertolak-ansur dengan jadual Siti yang ada kalanya padat dan tidak pernah memaksa Siti menghadiri sesi fotografi,” katanya yang sanggup datang dari Janda Baik untuk meraikan majlis itu.


Konsert gamat

Selepas menerima anugerah, majlis diteruskan lagi dengan persembahan lagu rancak daripada Nubhan, Juwita dan lagu irama balada berjudul Mata Hati.

Penyampaian anugerah selepas itu semakin gamat apabila pelakon Ombak Rindu, Aaron Aziz meraih Anugerah Selebriti Kacak.

Pantang sahaja muncul nama Aaron Aziz di setiap pencalonan, pasti peminat-peminatnya akan bersorak.

Majlis bertambah meriah apabila Aaron memberikan bunga yang dimenangi kepada Nabil. Boleh dikatakan sepanjang malam tersebut, Nabil asyik memperkatakan mengenai filem Ombak Rindu yang dilakonkan oleh Aaron.

Persembahan diteruskan lagi dengan nyanyian lagu Move Like Jagger dan Biarlah Rahsia daripada Siti Nurhaliza.

Majlis terus gamat dengan persembahan daripada Alif Aziz yang mendendangkan lagu popularnya, Sayang-Sayang dan diikuti penyanyi yang berasal dari Sabah, Adira menyanyikan lagu tema Ombak Rindu.

Ternyata penangan filem itu masih lagi dapat dirasai apabila peminat turut sama menyanyikan lagu tersebut.

Dalam pada itu, Dafi turut mencuri perhatian setelah tidak lama muncul dengan menyanyikan lagu barunya, Bila Cinta Tiada Lagi.

Turut mengambil peluang membuat persembahan pada malam itu, bakat baru di bawah syarikat rakaman Kasi Gegar Entertainment, Amir Jahari yang mendendangkan single barunya, Tanpamu sambil bermain gitar.

Konsert diteruskan lagi dengan persembahan daripada Awi Rafael dan Akim, masing-masing menyampaikan lagu Bila Aku Jatuh Cinta dan Just The Way You Are.

Tambah hangat, Stacy yang sejak awal majlis menerima sorakan daripada peminat-peminatnya tampil membuat persembahan menyanyikan lagu Kisah Dongeng dan Kasanova.

Konsert berakhir dengan persembahan daripada kumpulan 6ixth Sense yang menyampaikan tiga lagu termasuk lagu Menyesal.


Aaron menang lagi satu anugerah

Dalam pada itu, anugerah PPMH 2011/2012 menyaksikan Aaron Aziz memenangi satu lagi kategori iaitu Anugerah Hot Papa dengan menewaskan Faizal Tahir, Fazley Yaakob, Norman Hakim dan Zamarul Hisham.

Ternyata lakonannya sepanjang tahun ini memberikan impak yang besar kepada Aaron kerana menjadi pilihan pembaca Media Hiburan untuk memenangi dua kategori.

Selain Aaron, Shaheizy Sam turut merangkul Anugerah Selebriti Favourite dan Anugerah Selebriti Cekal diraih oleh Abby Abadi.

Sementara itu, pelakon Norman Hakim turut dipilih memenangi Anugerah Seksi Lelaki dengan menewaskan Aaron Aziz, Zul Arifin, Ady Putra dan Jehan Miskin.

Penyanyi berbakat besar, Yunalis Zarai atau Yuna pula menerima Anugerah Harapan sementara Anugerah Selebriti Jeliti menjadi milik pelakon Rozita Che Wan.

PPMH turut memberikan anugerah khas kepada Datuk Yusof Haslam kerana khidmat dan jasanya yang begitu banyak kepada industri perfileman negara.

Dalam pada itu, Meen Tahrin yang ditemui selepas majlis tersebut berkata, pihak Media Hiburan berkemungkinan akan mengadakan konsert dan anugerah yang sama tahun depan di pekarangan Kompleks Karangkraf memandangkan sambutan yang begitu menggalakkan.

“Ini merupakan kali pertama kami mengadakan konsert di sini dan tak sangka sambutannya sungguh luar biasa.

“Jadi, kami mungkin akan mengadakan lagi majlis seperti ini di sini pada tahun depan,” katanya yang berterima kasih dengan kehadiran ramai selebriti dan sokongan daripada pembaca Media Hiburan.

Majlis itu turut dihadiri hampir 100 selebriti tanah air termasuk Fazura, Neelofa, Hans Isaac, Rozita Che Wan, Aaron Aziz, Shahz Jazle, Gambit Saifullah, Fizz Fairuz, Zain Saidin, Marsha, Kaer Azami, Izara Aishah, Dynas, Julia Ziegler, Syamsul Yusof, Rosyam Nor, Lisdawati dan Fauzi Nawawi.

Anugerah PPMH mula diperkenalkan sejak 1996 yang bertujuan menghargai golongan artis yang mewarnai dunia hiburan tanah air.

Pada masa sama, anugerah itu turut memberi peluang kepada pembaca setia Media Hiburan untuk memilih artis.

Uniknya, keputusan Anugerah PPMH adalah 100 peratus dipilih berdasarkan undian pembaca majalah tersebut.

Farid Kamil sertai kursus lagak ngeri

Farid Kamil sertai kursus lagak ngeri

Melengkapkan diri sebagai pelakon dan pengarah berkaliber, Farid kamil, sanggup mengeluarkan wang sendiri, RM16,000 untuk mengikuti kursus di Australia Stunt Academy. Nama pun kursus stunt, maka ilmu yang ditimba menjurus kepada aksi-aksi lagak ngeri.

Pertemuan dengan aktor kacak ini, di sebuah majlis hiburan baru-baru ini, banyak merungkai pengalamannya selama sebulan dia berkelana di sana. Selesa berbual dalam loghat utara, pengarah V3 Samseng Jalanan dan Kongsi, kelihatan semakin seronok menceritakan satu-persatu pengalamannya.

Dari kisah terjun bangunan setingkat hingga lima tingkat, diikuti abseling setinggi 70 kaki, Farid berkata, aksi-aksinya ketika itu tak ubah seperti Tom Cruise dalam filem Mission Imposible: Ghost Protocol.

"Macam-macam aksi saya dah buat. Apa saja aksi dalam filem, saya dah rasa. Tapi mujurlah saya cuma cedera ringan. Ada peserta sampai patah tulang.

"Sepanjang jalani kursus yang melibatkan 17 peserta ini, ada dua yang gagal. Mujurlah saya dapat selesaikan kesemuanya," cerita Farid dengan bersungguh-sungguh.

Menurut Farid, semuanya bermula sejak dia membintangi beberapa filem aksi, termasuk Apokalis arahan Mamat Khalid. Sifat ingin tahu untuk melakukan aksi-aksi lasak sendiri, membuatkannya mencari-cari kursus sedemikian bagi melengkapkan lagi ilmu lakonan.

Jelas Farid, di Malaysia, pelakon dan pengarah kurang ilmu dan pendedahan mengenai aksi lagak ngeri, sehinggalah dia mengetahui mengenai kursus ini di luar negara.

"Sebelum ni kalau kena lakukan aksi terjun, ramai pelakon main terjun saja. Tapi bila saya dah sertai latihan ini, saya baru tahu ada cara yang lebih selamat. Hal ini dapat mengurangkan risiko ke atas pelakon.

"Insya-ALLAH dengan ilmu yang ada, saya akan gunakannya dengan sebaik mungkin dalam filem-filem saya nanti," katanya yang bakal mengarahkan filem Gerilla di samping Ismail Bob Hashim.


Tunggu seru kahwini Diana

Tidak lengkap temu bual ini, tanpa soalan mengenai hubungannya dengan si buah hati, siapa lagi kalau bukan aktres jelita, Diana Danille. Bukan jenis yang suka berselindung, Farid berkata, dia semakin selesa bersama Diana.

Namun untuk ke jinjang pelamin, masih belum terlintas di fikirannya.

Walaupun ada khabar angin me­ngatakan mereka bakal berkahwin tahun ini, namun bagi Farid, masih belum sampai seru untuknya ke arah itu.

"Saya pun tak pernah letak target untuk berkahwin. Tunggu seru sajalah. Kalau dah tiba jodoh saya dan Diana, kami akan umumkan nanti," katanya.

Hotel bajet di Batu Feringghi jadi sarang maksiat

Hotel bajet

BATU FERINGGHI – Sebuah hotel bajet di Batu Feringghi dipercayai menjadi tumpuan golongan remaja membuat maksiat namun kegiatan berkenaan dihidu beberapa penduduk setempat dan segelintir peniaga berhampiran.

Pekerja kedai runcit, Yahya Hasan, 55, berkata, kegiatan terbabit sudah lama berlaku namun semakin rancak sejak tahun ini.
Menurutnya, terdapat sekumpulan remaja berusia belasan tahun secara berpasangan datang ke kedainya dan membeli barang.
“Apabila mendengar loghat mereka bukan orang Pulau Pinang, saya bertanya datang dari mana, dan masing-masing menjawab Kuala Lumpur dan Ipoh, saya kemudiannya bertanya datang melancong ke, dan dengan selamba mereka menjawab mereka sudah di sini dua malam dan duduk di sebuah hotel bajet.
“Mereka memang ada menyebut nama hotel berkenaan, yang saya hairankan ialah semuanya baru sahaja berusia lingkungan dalam 17 hingga 20 tahun tapi sudah pandai jauh dari ibu bapa dan melakukan perkara maksiat sebegini,” katanya.
Tinjauan Sinar Harian ke hotel berkenaan mendapati bayaran yang dikenakan begitu rendah bermula dari RM50 sehingga RM100 sahaja.
Perbuatan mereka yang ingin melakukan maksiat juga lebih mudah kerana kedudukan hotel yang terletak di bahagian belakang bangunan.
Seorang pekerja hotel yang tidak mahu dikenali berkata, mereka tidak mempunyai hak untuk menghalang remaja terbabit dengan menginap di tempat mereka.
“Kami pun dapat duit, kalau kami marah-marah pasti pelanggan lari, kalau penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP)) datang, kami bagi saja mereka masuk buat pemeriksaan,” katanya.
Terdahulu Sinar Harian telah melaporkan hotel berkenaan menjadi sarang maksiat malam tahun baru berikutan penangkapan beberapa pasangan remaja di situ.
Ketua Operasi JAIPP Tanjong, Muadz Md Nazan berkata, pihaknya menahan 14 remaja berusia lingkungan 16 hingga 20 tahun di hotel berkenaan.
Menurutnya, serbuan dilakukan sekitar jam 2 pagi mendapati tujuh pasangan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 27 iaitu berkhalwat.

Pantai Sungai Sembilang 'tenat'


KEADAAN jalan yang rosak akibat hakisan di Pantai Sungai Sembilang, Kuala Selangor semalam.


KUALA SELANGOR – Keadaan Pantai Sungai Sembilang berhampiran Pantai Remis di sini bukan sahaja kotor dan tidak terurus malah turut diancam hakisan.

Tinjauan Kosmo! ekoran aduan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima baru-baru ini mendapati hakisan teruk menyebabkan beberapa batang pokok di tepi pantai tumbang.

Kawasan itu seolah-olah tidak dijaga langsung kerana sampah-sarap bertaburan sehingga menyakitkan pandangan.

Seorang peniaga makanan ringan di kawasan itu yang dikenali sebagai Maniam, 36, berkata, beberapa kakitangan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) pernah meninjau lokasi itu tahun lalu.

Namun, katanya, sehingga kini, tiada tindakan susulan dilakukan untuk mengatasi masalah hakisan pantai itu.

“Jika tidak diatasi, hakisan akan menyebabkan pantai tidak sesuai lagi untuk dikunjungi pada masa akan datang.

“Walaupun ia bukan lokasi pantai peranginan popular seperti Port Dickson, Negeri Sembilan namun bilangan pengunjung pada hujung minggu memang ramai,” katanya di sini semalam.

15 lagi diiktiraf Sekolah Kluster Kecemerlangan


ABDUL GHAFAR (tiga dari kiri) bermesra dengan sebahagian pengetua pada majlis pengiktirafan Sekolah Kluster Kecemerlangan di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA – Sebanyak 15 buah sekolah lagi diiktiraf sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) apabila memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud berkata, sebanyak tujuh buah sekolah menengah dan lapan sekolah rendah telah dipilih untuk fasa enam pengiktirafan itu.

“SKK merupakan salah satu laluan yang akan menjurus kepada Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) di mana SKK yang cemerlang akan dipilih sebagai calon SBT.

“Daripada 52 buah sekolah yang telah diiktiraf sebagai SBT, 31 daripadanya terdiri daripada SKK,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan SKK di sini semalam.

SKK merupakan sekolah-sekolah yang cemerlang dalam kelompoknya berasaskan aspek akademik, kokurikulum, sahsiah, pengurusan sekolah, budaya, hubungan dengan pihak luar, pembangunan modal insan dan sumber yang ada.

Ia juga dikategori berdasarkan lokasi seperti bandar, luar bandar atau pedalaman serta jenis sekolah dan tahapnya.

Menurut Abdul Ghafar, pada masa kini antara SKK yang menyerlah sehingga ke peringkat antarabangsa ialah Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Jalan Davidson dari Kuala Lumpur, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat, Perak dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu.

Sasar jual 10,000 unit rumah PPR


RAJA NONG CHIK (tiga dari kanan) bermesra dengan sebahagian pemandu teksi pada majlis minum petang dan sesi dialog bersama pemandu teksi di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar menyasarkan sebanyak 10,000 unit kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) akan dijual pada fasa pertama kepada penyewa rumah PPR di ibu kota.

Menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, penyewa-penyewa terbabit boleh mendapatkan pinjaman daripada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) bagi tujuan pinjaman dalam urusan jual beli tersebut.

“YWP telah diberikan pinjaman sebanyak RM1.5 bilion oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam membantu para penyewa sebagai alternatif bagi mendapatkan pinjaman membeli unit-unit kediaman PPR yang ditawarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Setakat ini, sebanyak 5,000 unit berjaya dijual daripada 25,000 unit PPR terbabit,” katanya ketika ditemui selepas majlis minum petang dan sesi dialog bersama 200 pemandu teksi sekitar Lembah Pantai di sini semalam.

Skim jualan PPR kepada penyewa itu bagi memberikan peluang kepada mereka khususnya golongan miskin memiliki rumah sendiri.

Raja Nong Chik berkata, setiap unit PPR akan dijual pada harga di antara RM25,000 hingga RM35,000 dengan pinjaman yang akan dikenakan pada pembeli adalah selama 25 tahun.

“Kita tidak mengenakan sebarang syarat minimum gaji tetapi tawaran pembelian hanya kepada golongan penyewa PPR ini.

“Mereka ini hanya perlu membayar pinjaman bulanan pada kadar sehingga RM300 sebulan,” jelasnya.

Bertubuh kecil kerana berhenti makan ubat hormon


MOHD. FAIRUS menunjukkan kad OKU miliknya tetapi dia tidak mendapat bantuan daripada JKM.


KANGAR - Tindakan seorang remaja berusia 18 tahun yang berhenti memakan ubat hormon pembesaran selepas kematian ibunya sejak 10 tahun lalu telah memberi impak besar dalam kehidupannya apabila saiz tubuhnya kini tidak ubah seperti seorang kanak-kanak berusia lapan tahun.

Akibatnya, Mohd. Fairus Firdaus Zainol kini hanya mempunyai ketinggian kira-kira 115 sentimeter manakala berat badannya hanya 15 kilogram.

Remaja itu mendakwa, pertumbuhan tubuhnya terbantut dan menjadi seperti kanak-kanak gara-gara dia tidak mengambil ubat hormon pembesaran setelah kematian ibu.

"Sebelum ini ibu yang memberi ubat tersebut yang dibekalkan khas oleh Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Kuala Lumpur.

"Selepas ibu meninggal dunia sejak 10 tahun lalu, tiada sesiapa pun yang boleh mengambil ubat tersebut dan tubuh saya kekal seperti dahulu," katanya ketika ditemui di Kampung Kuala Sanglang di sini semalam.

Keadaan fizikal yang dialami Mohd. Fairus berbeza seperti orang kerdil lain yang mengalami pertumbuhan anggota tidak seimbang sebaliknya keadaannya adalah normal namun tulangnya kecil.

"Bapa telah meninggal awal daripada ibu manakala saudara-mara lain pula tidak mampu ke PPUKM untuk mengambil ubat khas itu pada setiap bulan," ujarnya lagi.

Sejak itu, jelasnya, pertumbuhan tubuhnya tidak menampakkan perubahan dan dia begitu terkilan kerana keadaan fizikalnya yang kecil menyebabkan pergerakannya terhad tidak seperti remaja seusianya yang aktif dan kuat.

Jaclyn berpayung di KRU Music


JACLYN VICTOR menurunkan tandatangan pada single pertamanya, Sebelah Jiwaku sebagai tanda simbolik menjadi 'anak' KRU Music.


SEMENJAK menjuarai rancangan realiti Malaysian Idol pada musim pertama, penyanyi Jaclyn Victor ternyata berjaya menempatkan dirinya sebaris dengan penyanyi popular tanah air dan berada di kelas tersendiri.

Lapan tahun berkecimpung dalam industri hiburan, perjalanan karier seni penyanyi yang popular menerusi lagu Gemilang itu dilihat terus konsisten. Malah, mempunyai vokal yang lantang antara kelebihan yang ada pada dirinya sehingga terus diminati ramai.

Melihat kepada kelebihan serta populariti yang ada pada penyanyi berkenaan, KRU Music telah membuat keputusan dengan mengambilnya untuk bernaung di bawah syarikat tersebut.

Timbalan Presiden KRU Music, KC Ismail berkata, Jaclyn Victor adalah artis pertama yang mengikat bersama mereka untuk tahun 2012 dan pihaknya sudah mengatur beberapa perancangan untuk artis terbaharu mereka itu.

“Sebenarnya kami sudah lama mengikuti perkembangan seni Jaclyn dan mendapati dia adalah seorang penyanyi yang hebat. Jadi, dengan memilihnya untuk bernaung di bawah KRU Music adalah satu langkah yang tepat.

“Sebagai langkah permulaan, sebuah lagu telah diciptakan untuknya oleh Edry Abdul Halim yang berjudul Sebelah Jiwaku. Kemudian sudah ada perancangan untuk menerbitkan album pertamanya bersama kami pada bulan April nanti,” jelasnya dalam satu majlis menandatangani kontrak baru-baru ini.

Menurut KC Ismail, selain Jaclyn, pihaknya juga sudah membuat perbincangan dengan beberapa orang penyanyi popular tanah air untuk turut bernaung di bawah KRU Music dan ia akan diumumkan dalam masa terdekat ini.

Jelasnya, pada tahun lepas pihaknya sudah banyak mengambil artis-artis baharu untuk bersama mereka dan tahun ini mereka memang merancang untuk bekerjasama dengan artis yang berpengalaman dan bertapak kukuh dalam industri.

“Mengenai album yang bakal dihasilkan itu nanti, terdapat enam buah lagu yang terkandung dalam album berkenaan dan dua buah lagu daripadanya adalah lagu tema untuk filem muzikal 29 Februari dan filem animasi Ribbit,” ujarnya.

Sementara itu, Edry yang ditemui pada majlis yang sama memberitahu tawaran yang diberikan kepada Jaclyn untuk bernaung di bawah KRU Music bermula semasa dia menyanyikan lagu Sedetik Lebih pada separuh akhir Muzik-Muzik tahun lalu.

Jelasnya, antara salah satu sebab pemilihan penyanyi berkenaan dibuat adalah berdasarkan kepada bakat besar yang ada serta potensi untuk membawakan lagu-lagu yang dihasilkan oleh KRU ke tahap yang lebih jauh.

“Dalam perbincangan semasa menawarkannya sebagai artis residen KRU Music, Jaclyn ada memberitahu, dia ingin mencari suatu kelainan dalam kariernya sebagai seorang penyanyi.

“Sebelum ini dia sememangnya dikenali sebagai penyanyi yang popular menerusi lagu-lagu balada. Jadi, menerusi lagu Sebelah Jiwaku ini, peminat akan dapat melihat perbezaannya memandangkan ia adalah sebuah lagu berentak rancak,” ujarnya.

Mengenai penerbitan album sulung penyanyi berkenaan bersama KRU Music, Edry menjelaskan ia masih lagi dalam proses pemilihan lagu dan pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan komposer luar dalam penerbitan album berkenaan.

Sukar ditolak

Bagi Jaclyn Victor, tawaran yang diterima olehnya untuk menjadi artis di bawah naungan KRU Music adalah sesuatu yang sukar untuk ditolak memandangkan ia adalah sebuah syarikat anak tempatan yang berjaya dalam industri hiburan tempatan.

Jelasnya, ketika bersekolah dahulu KRU adalah antara kumpulan muzik tanah air yang sangat digemarinya dan kini dia berasa kagum kerana kumpulan tersebut sudah mampu membina sebuah empayar yang besar.

“Pada mulanya saya sendiri terkejut dan tertanya-tanya kenapa mereka tiba-tiba mahu mengambil saya bernaung dengan syarikat mereka. Apa pun saya tetap gembira dengan tawaran yang diterima dan saya tidak mengambil masa lama untuk memberikan keputusan.

“Lagipun KRU Music boleh memahami kehendak saya sebagai seorang penyanyi memandangkan pemiliknya juga adalah berasal daripada penyanyi. Jadi, saya yakin kerjaya sebagai anak seni mampu berkembang apabila bernaung di bawah mereka,” jelasnya.

Menurutnya, sepanjang lapan tahun bergelar sebagai anak seni, dia tidak menafikan selama ini para peminat lebih mengenali dirinya sebagai pelantun lagu Gemilang yang muncul sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-20.

Ujarnya lagi, selepas popular dengan lagu tersebut, kebanyakan lagu-lagu nyanyiannya seakan-akan kurang menjadi sebutan ramai. Bagaimanapun, dia tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak terhadap perkara tersebut.

“Sudah tentu saya berharap dengan keputusan yang saya buat ini akan lebih menyerlahkan saya sebagai penyanyi kerana tidak dinafikan lagu-lagu ciptaan KRU sememangnya sering diterima peminat,” jelasnya.

Perkahwinan urusan Tuhan - Ramli MS


RAMLI memohon supaya semua pihak memahami prinsip dirinya yang enggan berkongsi kisah peribadinya dengan masyarakat umum.


BELUM reda pujian menggunung diberikan kepada penyanyi Alyah impak vokal hebatnya dan kejayaannya membawa pulang trofi Anugerah Persembahan Terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-26, timbul pula khabar angin kononnya Alyah bakal dilamar dalam masa terdekat.

Orang yang didakwa bakal melamar Alyah itu bukan calang-calang orang tetapi pengarah muzik terkenal Datuk Ramli MS.

Bagi mendapatkan kepastian, Kosmo! bertanya sendiri kepada Alyah dan Ramli yang ditemui secara berasingan pada majlis Anugerah Juara Lagu ke-26 malam Ahad lalu di Stadium Bukit Jalil Kuala Lumpur bagi menjawab semua persoalan.

Kosmo!: Benarkah Alyah dan Datuk Ramli MS bercinta dan bakal berkahwin dalam masa terdekat ini?

ALYAH: Berkenaan isu ini saya tidak mahu komen kerana saya bimbang takut tersalah cakap.

Alyah sedar atau tidak, isu percintaan antara Alyah dan Datuk Ramli MS menjadi bualan ramai?

Saya tahu sebab ramai yang bertanya, bila orang tanya saya hanya jawab apa yang saya mampu.

Adakah Alyah selesa andai bakal suami Alyah orang yang lebih muda atau tua?

Bagi saya, kalau kita sudah sayang orang itu dan sudah serasi, usia tua atau muda bukan lagi satu perkiraan. Asalkan kita selesa antara satu sama lain, itu sudah cukup.

Alyah terima andai jodoh hadir dalam masa terdekat?

Itulah yang saya mahu pada usia sekarang, 31 tahun. Jika orang itu memang jodoh saya, mestilah saya terima, semuanya kerja Allah. Umur saya bukannya muda lagi, tahun lepas bila jumpa rakan-rakan saya sering minta mereka doakan agar saya berkahwin tahun ini.

Maknanya Alyah akan kahwin tahun ini?

Saya tidak ada sebarang rancangan, tetapi jika sudah ditakdirkan saya tamatkan zaman bujang tahun ini, saya akan kahwin.

Lebih selesa bakal suami orang seni atau orang di luar bidang seni?

Kalau boleh saya mahu orang yang di luar bidang seni kerana inginkan sesuatu yang baharu tetapi kalau sudah ditetapkan jodoh saya bertemu dan berkahwin dengan orang yang sama bidang dengan saya, saya terima dengan hati yang terbuka.


ALYAH tidak menolak andainya ditakdirkan bertemu jodoh dengan sama ada lelaki muda atau lebih tua berbanding dirinya.


Sementara itu, Datuk Ramli MS sewaktu ditanya tentang spekulasi percintaannya dengan Alyah meminta jasa baik pihak media agar menghormati privasi dan prinsip dirinya.

Kosmo!: Betul ke Datuk didakwa akan melamar Alyah?

RAMLI MS: Perkara itu tidak betul sama sekali. Jangan menulis tanpa fakta kerana implikasi yang diperoleh itu berpanjangan.

Misalnya apabila berita tak benar itu ditulis, mak saya kecil hati. Dia tanya saya, “sampai hati kau nak kahwin tak beritahu mak,” sementara anak saya pula terkejut dan bertanya, “are you getting married? (Awak nak kahwin?).” Benda-benda macam ini kita kena jaga, ia sensitif sebab tak wujud.

Tapi betul atau tidak Datuk bercinta dengan Alyah?

Saya tak suka bercakap tentang hal peribadi saya, apa lagi berkongsi dengan umum. Saya harap semua pihak menghormati prinsip saya dan tolong hentikan spekulasi yang akan memberi implikasi kurang baik kepada mana-mana pihak.

Datuk sudah berusia 52 tahun. Pernah berkahwin dan adakah berkahwin semula itu satu tabu untuk Datuk?

Perkahwinan ini urusan Tuhan. Kita sebagai manusia jangan suka meramal jodoh.

8 selebriti gila yoga


LARA DUTA menjadikan yoga sebagai ritual hariannya.


SENAMAN yoga kini nampaknya semakin popular di kalangan selebriti Bollywood. Sudah semakin ramai yang mengamalkan senaman tersebut, termasuklah lapan orang selebriti terkenal yang antaranya mempunyai cakera padat (CD) khas senaman tersebut. Mereka terdiri daripada:

Neha Dhupia

Aktres ini kini dikatakan sedang semakin giat melakukan senaman yoga dan menjadikan senaman tersebut sebagai senaman utamanya kini. Dia juga selalu dilihat melakukan yoga di salah sebuah kawasan terkenal di Karnataka.

Sameera Reddy

Sameera Reddy juga dikatakan sedang jatuh cinta dengan senaman yoga. Dia giat melakukan senaman tersebut untuk mengekalkan tubuh badan langsing selain minda yang sihat.

Kangana Ranaut

Kemunculan Kangana dalam bikini baru-baru mengejutkan ramai peminat apabila melihat tubuh badannya yang semakin cantik. Ujar Kangana, rahsianya adalah senaman yoga dari jenis Pranayam yang sentiasa membuat dia rasa bertenaga.

Shilpa Shetty

Shilpa Shetty memang selalu dianggap sebagai pemilik badan terbaik selebriti Bollywood. Dia harus berterima kasih kepada senaman yoga yang menjadi amalannya. Shilpa kini muncul dengan DVD yoga yang diberi nama Shilpa's Yoga untuk dikongsi bersama peminat.


BIPASHA BASU


Geeta Basra

Semakin mendapat perhatian, Geeta Basra tahu cara bagaimana untuk membuat khalayak 'tidak lari' daripada terus memerhatikannya. Dia kini giat dengan rejim yoga untuk mendapatkan bentuk badan ideal sebelum muncul di dalam filem terkininya, Zila Ghaziabad.

Lara Dutta

Baru sahaja melahirkan anak, Lara Dutta tidak berselindung tentang rahsia kekal cantiknya. Dia memberitahu, senaman yoga yang diamalkannya banyak membantu dan sebab itu dia kini muncul dengan DVD Yoga Recovery and Rejuvenation.

Bipasha Basu

Seorang lagi selebriti yang dianggap sebagai penggila kesihatan, Bipasha Basu, baru sahaja dilantik menjadi duta bagi Sugar Free Natura. Dia sangat obses dengan senaman yoga jenis Suryanamaskar dan baru sahaja melancarkan CD Bipasha Basu Love Yourself.

Kareena Kapoor

Kareena Kapoor adalah seorang pengamal yoga yang setia. Dia menjalani rejim yoga yang berlainan untuk tubuh badannya. Untuk bahagian belakang badan, dia mengamalkan yoga jenis Bhujangasana, untuk kaki dia mengamalkan yoga Virabhadra dan Surya Namaskar untuk badan.

Artis seni rancang hantar batu tahi bintang 4,000 tahun


GAMBAR fail menunjukkan sebongkah batu tahi bintang berusia 4,000 tahun yang dipamerkan di Gancedo, wilayah Chaco, Argentina.


GANCEDO, Aregentina - Seorang artis seni Argentina, Nicolas Goldberg dan Guillermo Faivovich dari Perancis merancang satu projek untuk membawa sebongkah batu tahi bintang gergasi untuk dipamerkan di Kassel, Jerman pada September depan.

Batu tahi bintang itu kini dipamerkan di Gancedo, wilayah Chaco, Argentina.

Kedua-dua artis seni tersebut mahu membawa batu tahi bintang yang seberat 37 tan itu dari tempat ia dipamerkan kini.

Batu tahi bintang itu jatuh kira-kira 4,000 tahun lalu dan dikeluarkan dari lokasi tempat ia jatuh pada 8 Julai 1980 di sebuah kawasan yang dikenali sebagai Piguen Nonralta.

Larian paling mencabar di dunia


SEJUMLAH orang menyaksikan peserta menyertai larian paling mencabar di dunia di Perton kelmarin.


PERTON, England - Seramai 6,000 orang menyertai larian paling mencabar di dunia di sini kelmarin dengan peserta dikehendaki menandatangani perjanjian bahawa pihak penganjur tidak bertanggungjawab terhadap kematian mereka.

Acara mencari lelaki paling berdaya tahan itu bermula sejak 1986 dan ia memerlukan para peserta berlari menempuh pelbagai halangan antaranya meredah api, berenang dalam lumpur, mendaki, berlari sambil membawa batang kayu dan meniarap di bawah kawat berdiri.

Filem The Help menang besar


BARISAN pelakon filem The Help bergambar di belakang pentas dengan anugerah persembahan terbaik pada Anugerah Persatuan Pelakon Layar Perak di Los Angeles kelmarin. Dari kiri Chris Lowell, Emma Stone, Octavia Spencer, Allison Janney dan Viola Davis.


LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Filem yang memfokuskan hubungan kaum di AS, The Help meraih kemenangan besar apabila ia menggondol tiga kategori utama pada anugerah Persatuan Pelakon Layar Perak (SAG) yang berlangsung di sini kelmarin.

Pelakon filem itu, Viola Davis merangkul anugerah Aktres Terbaik manakala Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dimenangi Octavia Spencer dari filem yang sama.

Filem itu juga menggondol anugerah persembahan barisan pelakon keseluruhan terbaik.

"Saya hanya mahu menyatakan bahawa filem itu bukan hanya mengenai orang berwarna atau wanita. Ia mengisahkan mengenai kita semua," kata Spencer.

The Help mengisahkan seorang wartawan yang bercita-cita menulis sebuah buku yang mendedahkan isu perkauman yang dihadapi oleh pembantu rumah pada tahun 1960-an.

Sementara itu, filem bisu hitam putih, The Artist tidak pulang tangan kosong apabila Jean Dujardin diangkat sebagai aktor terbaik manakala aktor filem Beginners, Christopher Plummer memenangi kategori pelakon pembantu lelaki terbaik.

Anugerah SAG dilihat sebagai permulaan utama untuk ke majlis Oscars yang merupakan kemuncak anugerah Hollywood pada 26 Februari depan.

Bapa bunuh anak dihukum penjara


Mohammad Shafia (dua dari kanan) Tooba (tengah) dan anak mereka Hamed (dua dari kiri) diiringi ke sebuah mahkamah di Kingston, Ontario pada Sabtu lalu.


ONTARIO, Kanada - Tiga beranak dari satu keluarga Kanada berketurunan Afghanistan kelmarin didapati bersalah dan dihukum penjara seumur hidup kerana membunuh tiga orang serta seorang wanita yang mempunyai kaitan kekeluargaan.

Juri mahkamah di Kingston, Ontario telah mendapati ketiga-tiga tertuduh iaitu Mohammad Shafia, isterinya, Tooba Mohammad Yahya dan anak sulung mereka, Hamed Mohammad Shafia bersalah atas empat pertuduhan membunuh.

Mangsa-mangsa yang dibunuh adalah tiga adik Hamed dan seorang wanita, iaitu isteri pertama Mohammad Shafia.

"Adalah sukar untuk memutuskan keputusan kes jenayah yang lebih hina, lebih kejam," kata Hakim Robert Maranger kepada pemberita selepas perbicaraan itu seperti yang disiarkan media Kanada.

Menurut Maranger, tiada sebab yang yang kukuh di sebalik pembunuhan kejam ini dan paling memalukan adalah empat mangsa benar-benar tidak bersalah.

Sepanjang perbicaraan selama tiga bulan, mahkamah mendengar keterangan yang berulang-ulang bahawa ketiga-tiga beradik itu sering bertengkar dengan bapa mereka dalam banyak isu.

Salah seorang mangsa telah mempunyai teman lelaki dan mencari perlindungan di tempat perlindungan wanita, manakala seorang lagi telah dihantar pulang dari sekolah kerana memakai pakaian yang terlalu mendedahkan.

Mereka dianggap mencemarkan maruah keluarga kerana tidak mempedulikan disiplin keluarga tentang pakaian, temu janji dengan lelaki, bersosial dan menggunakan Internet.

Tiga saudara perempuan itu ditemui mati lemas dalam terusan yang berkunci bersama seorang lagi wanita itu yang ditemui pada 30 Jun 2009 di dalam sebuah kereta.

Ketiga-tiga perempuan yang berbalah dengan bapa mereka itu ialah, Zainab, 19, Sahar 17, dan Geeti, 13.

Filem Dragon Tattoo diharam di India

AKTRES filem The Girl with The Dragon Tattoo, Rooney Mara (kiri) bercakap dengan Fincher (kanan) pada majlis tayangan perdana filem berkenaan di Tokyo, Jepun semalam.


MUMBAI - Studio Sony Pictures tidak akan menayangkan filem blockbuster, The Girl with The Dragon Tattoo di India selepas badan tapisan filem tempatan mahu beberapa adegan menampakkan punggung dalam filem berkenaan dikaburkan.

Filem Hollywood itu mengisahkan usaha seorang wartawan, lakonan Daniel Craig, mencari seorang wanita yang hilang selama 40 tahun.

Ia dijadual ditayangkan di India pada 10 Februari ini tetapi berdepan halangan Lembaga Pusat Persijilan Filem India (CBFC).

"Babak dedah punggung dan payu dara tidak dibenarkan di India," kata pegawai CBFC," J.P. Singh.

"Kami tidak bersetuju dengan beberapa adegan dalam filem The Girl with The Dragon Tattoo dan mahu adegan terbabit dikaburkan," tambahnya.

Sony Pictures di India dalam satu kenyataan yang dihantar kepada agensi berita AFP semalam menyatakan, pihaknya tidak akan bertolak ansur berhubung kandungan filem itu yang setakat ini memperoleh kutipan tiket AS$185 juta (RM565 juta) di seluruh dunia.

"Badan penapisan ini mendapati filem berkenaan tidak sesuai untuk ditayangkan kepada umum dalam bentuk asalnya," kata CBFC dalam satu kenyataannya.

Filem berkenaan diarahkan oleh David Fincher, pengarah Hollywood yang pernah mengarahkan beberapa filem pecah panggung seperti Fight Club dan The Social Network.

Ia diadaptasi daripada siri buku po pular nukilan penulis Sweden, mendiang Stieg Larsson.

Lebih 1,700 filem asing ditayangkan di India setiap tahun selepas mendapat kelulusan badan penapisan negara itu.

Amalkan kumur, gosok dan flos gigi



TATKALA mata bertemu mata, hanya sekuntum senyuman menjadi penghubung komunikasi pertama. Tetapi senyuman manis yang ditawarkan itu tidak sempurna jika ia tidak datang bersama sepasang gigi yang cantik, bersih dan putih.

Bukan untuk tujuan kosmetik semata-mata, kesihatan gigi sebenarnya merupakan tunjang untuk kesihatan keseluruhan tubuh badan manusia. Walaupun ia jarang diberi keutamaan terutama sekali di dunia yang terlalu obses dengan kecantikan berasaskan kosmetik.

Bagi selebriti, penyanyi dan ahli perniagaan yang mula membina nama melalui Akademi Fantasia 4, Farhan Azizan, 28, kebersihan dan kecantikan gigi adalah penjagaan wajib bagi beliau. Bukan disebabkan dia merupakan seorang selebriti tetapi, penekanan terhadap penjagaan gigi dan mulut sudah pun mula diberi perhatian sejak kecil lagi.

Lepas makan terus gosok gigi

"Terima kasih kepada ibu yang banyak membimbing kami lima beradik. Beliau sangat tegas dalam hal menjaga dan membersihkan mulut. Tiap kali selepas makan, adalah menjadi amalan wajib untuk membersih mulut. Ibu juga tidak menggalakkan kami makan coklat sejak kecil," ujar Farhan tentang rejim penjagaan gigi dan mulutnya sejak kacil.

Sudah membiasakan diri menggosok gigi acap kali makan, sekurang-kurangnya empat kali dalam sehari, rejim Farhan tidak terhenti di situ sahaja.

Bahkan, obses beliau menjaga kesihatan gigi menyebabkan dia akan berjumpa dengan doktor gigi setiap bulan untuk melakukan scaling. Untuk sesi scaling setiap bulan itu dia memperuntukkan RM50.

"Saya tidak pernah ada apa-apa masalah gigi saya mahupun mulut. Jadi saya tidak pernah berjumpa doktor untuk apa-apa masalah, cuma mendapatkan nasihat semasa membuat scaling," katanya yang mengakui akan membawa ubat gigi dan berus gigi bersama-sama setiap masa.


GIGI yang tidak digosok akan menyebabkan plak selain gusi membengkak dan berdarah.


Dalam pada itu, Farhan juga peka terhadap ubat gigi yang digunakan. Oleh itu, beliau menggunakan ubat gigi organik yang menggunakan kandungan utama iaitu daun mambu.

"Saya tidak gunakan flos sebab takut ia memberi kesan kepada gusi dan boleh merenggang gigi. Ia bukan tidak baik, tetapi mungkin saya tidak mahir menggunakan flos," katanya lagi yang ditemui di pejabat Kosmo! baru-baru ini.

Menariknya, disebabkan rejim gigi sihat yang diamalkan Farhan sehingga kini dia masih memiliki dua gigi susu.

Sementara itu menurut seorang doktor gigi, Dr. Mazleen Abdul Rahman dari Klinik Pergigian Dr. Leen di Kajang, Selangor, selain memberus gigi yang menjadi amalan wajib, flos gigi adalah satu lagi elemen paling penting penjagaan gigi yang perlu dipratikkan.

"Walaupun kita berkumur atau memberus gigi selepas makan tetapi, tahukan anda bahawa akan terdapat makanan tersekat di celah-celah gigi?" tanya beliau.

Katanya, flos tidak perlu dilakukan kerap tetapi apabila perlu sahaja. Namun, kerisauan ia akan menyebabkan gigi renggang atau gusi berdarah tidak berasas sekiranya ia dilakukan secara betul.

"Flos dengan lembut dan jangan tekan dalam. Flos yang salah boleh memudaratkan gusi. Saya biasanya akan meminta pesakit menunjukkan cara mereka flos gigi supaya ia tidak dilakukan secara salah," katanya lagi sambil memberitahu scaling secara kerap tidak memudaratkan gigi kerana ia tidak membabitkan gigi sebaliknya hanya menggunakan getaran ultrasonic untuk memecahkan karang gigi.

Namun, memberus gigi dipandang satu amalan wajib dan mesti dilakukan beberapa kali sehari kerana ia berfungsi memecahkan sekumpulan bakteria dan sisa makanan yang membentuk biofilm dan seterusnya akan membentuk satu lapisan keras di sekitar permukaan gigi dan gusi kita.

Apabila memberus gigi, ia akan memecahkan biofilm sebelum ia mula merebak. Plak dan karang gigi di permukaan gigi juga menjadi penyebab utama mulut berbau.

Ia juga boleh terhasil apabila seseorang itu tidak membersihkan lidah mereka. Bau mulut boleh diatasi dengan memastikan gigi dan lidah diberus dengan betul dan penggunaan ubat kumur.

Antara sebab lain mulut berbau ialah kekurangan air liur berpunca daripada penyakit atau pemakanan ubat.

Bagi mereka yang mempunyai masalah itu, mengunyah gula-gula getah atau menggunakan air liur gantian boleh menyelesaikan masalah itu.


AMALAN membersih gigi dengan garam juga menjadi antara petua amalan Farhan.


Selain flos dan memberus mahupun berkumur Mazleen atau lebih mesra dengan panggilan Leen juga menggesa, supaya pemeriksaan gigi tetap dilakukan sekurang-kurangnya enam bulan sekali.

Ditanya mengenai kepercayaan gigi terlalu putih tidak berapa kuat, ujarnya tiada fahaman seperti itu.

Bagaimanapun, ada kepercayaan gigi kuning sedikit agak kuat kerana mempunyai lapisan dalam yang tebal malah, sebenarnya gigi manusia sedikit kekuningan.

Jelas beliau, berkumur mulut bukanlah wajib tetapi digalakkan sebagai rejim tambahan. Sebaiknya, pilihlah ubat kumur mulut bebas alkohol kerana ia boleh mengeringkan mulut selain mempunyai florida, antiplak, gliserin, garam dan bebas gula.

Jumpa doktor walau tidak sakit

Katanya, sikap berjumpa dengan doktor hanya apabila sakit menjadi punca mengapa perjumpaan dengan doktor gigi seringkali dilabelkan 'menakutkan'.

Malah, satu tinjauan membuktikan 50 peratus rakyat Malaysia bertindak mengunjungi doktor gigi hanya ketika mereka berdepan dengan masalah gigi.

Pada kebanyakan masa, pesakit lebih rela makan ubat gigi atau tahan sakit selama berbulan-bulan mahupun bertahun-tahun semata-mata kerana enggan berjumpa doktor qiqi.

Rakyat Malaysia sukar menyenaraikan pemeriksaan gigi sebagai satu prosedur kesihatan yang wajib seperti mana pemeriksaan kesihatan lain.

Jangan takutkan anak


DOKTOR MAZLEEN memberi tunjuk ajar cara memberus gigi yang betul kepada sekumpulan kanak-kanak di kliniknya di Kajang.


Lebih menyedihkan apabila, ada pula ibu bapa yang suka menakut-nakutkan anak bahawa jika membuat nakal akan dibawa jumpa doktor gigi untuk mencabut gigi.

Ugutan seperti itu sejak kecil menimbulkan sejenis ketakutan kepada kanak-kanak sejak kecil apabila mendengar perkataan doktor gigi.

"Perkara seperti ini telah menjadikan seseorang itu tidak berani berhadapan dengan doktor gigi. Ibu bapa perlu menghindari kenyataan menakutkan berkenaan doktor gigi.

"Mereka perlu melatih dan menjadi contoh baik dari segi menjaga kesihatan mulut, gigi mahupun membuat temujanji untuk pemeriksaan," demikian tambah Leen.

Apabila ditanya tentang kedatangan pesakit ke klinik beliau, beliau mengakui 80 peratus pesakit datang selepas sakit dan lazimnya untuk mencabut gigi, manakala 20 peratus lagi datang dengan kesedaran melakukan pemeriksaan.

Bercakap lanjut mengenai kos dan caj rawatan, Leen memberitahu, rawatan gigi sememangnya mahal tetapi, masih terkawal.

Katanya rawatan gigi banyak menggunakan material mahal, perlu dibersihkan berkali-kali atau bahan pakai buang. Semua itu bagi memastikan keselamatan dan tiada infeksi kelak.

Busana likra muslimah penyeri wanita

NOR AINNA (kiri) mengiringi Suliza ketika merasmikan pembukaan cawangan Butik Mama di Shah Alam baru-baru ini.


DARIPADA sebuah perniagaan yang kecil, Butik Mama telah berkembang maju berkat kesungguhan pengasasnya, Nor Ainna Ibrahim.

Menurut Nor Ainna, sejak mula beroperasi pada tahun 2009, syarikat milik bumiputera sepenuhnya itu telah menjadi pengeluar jubah likra terbesar di Malaysia dengan menawarkan pelbagai rekaan jubah muslimah yang menepati cita rasa pelbagai golongan.

"Butik Mama yang terletak di Bandar Baru Bangi, Selangor kini mempunyai 30 rakan niaga utama dan lebih 400 rakan niaga mini di seluruh negara termasuk Brunei, Singapura dan Australia.

"Di Butik Mama terdapat lebih 1,000 koleksi jubah moden likra di bawah label Bussaina Apparels dan koleksi Ainna's Scarves untuk semua tudung dan selendang," katanya pada pelancaran cawangan terbaru butik berkenaan di Shah Alam, Selangor yang dirasmikan penyanyi popular 80-an, Datin Suliza Salam baru-baru ini.

Menurut Nor Ainna, perkembangan Butik Mama adalah hasil sambutan yang amat menggalakkan daripada para pelanggannya dan rakan niaga Butik Mama yang sentiasa membantu menaikkan nama butik itu serta memperkenalkan koleksinya.


PELBAGAI koleksi pakaian muslimah yang menarik sedia menanti pengunjung di Butik Mama.


"Justeru, dengan perkembangan dan sambutan baik terhadap koleksi Butik Mama ini, kami telah melangkah setapak lagi dengan melancarkan kempen 1Daerah 1Outlet.

"Melalui kempen ini, peluang perniagaan dibuka kepada individu-individu mahupun syarikat korporat yang ingin berkolaborasi bersama Butik Mama dengan menjadi rakan niaga outlet dan membuka outlet Butik Mama di mana-mana daerah atau kawasan pilihan di seluruh negara termasuk Brunei dan Singapura," katanya.

Tambahnya, outlet di Shah Alam merupakan outlet pertama Butik Mama manakala outlet seterusnya akan dibuka dan dilancarkan di Alor Star, Kuala Krai, Banting, Kuantan, Sungai Petani dan Taiping.

"Mereka yang mahu mendapatkan koleksi terbaharu kami di outlet Shah Alam boleh datang ke Butik Mama yang terletak di alamat 5A, Jalan Plumbum R7/R, Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor," katanya.

Monday, January 30, 2012

Nora Danish Nafi Bercinta Dengan Penuntut Kolej

Nora Danish.

SHAH ALAM: Pelakon jelita, Nora Danish menolak dakwaan kononnya dia sedang hangat bercinta dengan seorang penuntut kolej swasta yang jauh lebih muda darinya.

Nora berkata, tuduhan itu adalah tidak benar sama sekali dan dia memberitahu tidak pernah mengenali mana-mana lelaki yang masih menuntut di kolej.

"Saya langsung tidak tahu menahu mengenai lelaki yang dimaksudkan kerana tidak pernah kenal mana-mana penuntut kolej apatah lagi untuk bercinta," ujarnya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, diminta mengulas mengenai berita perkahwinan bekas suaminya dengan pelakon Fasha Sandha, Nora memberitahu dia tidak hak untuk bercakap mengenai perkara berkenaan kerana ia bukan urusannya.

Nora bagaimanapun berkata, jika perkara berkenaan benar dia gembira untuk kedua-dua pasangan itu dan berharap mereka akan bahagia.

"Saya hanya boleh mendoakan semoga mereka bahagia dan selebihnya saya tiada hak untuk bercakap atau komen mengenai keputusan mereka," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Nora berkata jadualnya tahun ini padat dengan pelbagai tawaran berlakon dan tiada masa untuk memikirkan soal perkahwinan.

Nora memberitahu dia kini sedang sibuk di lokasi drama Jujur Aku Dayus selain beberapa drama bersiri lain dan tawaran filem yang perlu menjadi perhatiannya.

"Banyak undangan lakonan yang diterima sehingga terpaksa menolak kerana tidak mahu membuat pelbagai kerja dalam satu masa sehingga menyusahkan pihak lain.

"Bagaimanapun tahun 2012 adalah tahun yang baik untuk saya kerana pelbagai tawaran datang," ujarnya.

Hafiz Menang AJL26, Gondol RM45,000

Hafiz telah berjaya membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM45,000.

KUALA LUMPUR: Lagu Awan Nano dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-26 di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini, Ahad.

Dengan kemenangan Awan Nano ciptaan komposer M.Nasir dan penulis lirik, Budi Hekayat, nyanyian oleh Hafiz telah berjaya membawa pulang hadiah berupa trofi dan wang tunai keseluruhan sebanyak RM35,000.

Hafiz turut memenangi vokal terbaik dengan menerima trofi dan wang tunai RM10,000.

Awan Nano telah berjaya mengalahkan 11 buah lagu lain iaitu Cinta Muka Buku (Najwa Latif), Kalau Berpacaran (Ana Raffali, Sohaimi Mior Hassan, Altimet), Karma (Faizal Tahir), Penakut (Yuna) dan Sedetik Lebih (Jaclyn Victor).

Tiga Suara

Diikuti dengan lagu Wanita Seluruh Dunia (Projek Pistol), Beribu Sesalan (3 Suara), Kekanda Adinda (Atilia & Monoloque), Sungai Lui (Aizat), Kisah Hati (Alyah) dan Gadis Semasa (Yuna).

Sementara bagi naib juara dimenangi oleh lagu Beribu Sesalan ciptaan Kevin Chin serta lirik oleh Tinta yang dinyanyikan oleh 3 Suara (Jaclyn Victor, Shila Amzah dan Ning Baizura) sekaligus membawa pulang hadiah trofi dan wang tunai RM15,000.

Dalam pada itu, pemenang tempat ketiga berjaya dimenangi oleh lagu Karma ciptaan Faizal Tahir dan lirik oleh Audi Mok nyanyian Faizal Tahir yang turut berjaya menggondol hadiah trofi dan wang tunai sebanyak RM12,000.

Bagi pemenang persembahan terbaik diraih oleh Alyah menerusi lagu Kisah Hati dengan menerima trofi dan wang tunai berjumlah RM10,000.

Alyah

Hadiah disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar.

Persembahan 12 finalis AJL25 diadili seramai 30 juri profesional dari pelbagai latar belakang dalam bidang muzik iaitu Johan Nawawi, Cat Farish, Ajai, Dimas (Hujan), Taja (Meet Uncle Hussein), Fauzi Marzuki dan Azmeer selaku ketua juri.

Penjurian dilakukan berdasarkan markah sebanyak 80 peratus yang diadili terlebih awal manakala 20 peratus lagi melalui persembahan pada malam kemuncak.

Sementara itu, bagi kategori yang baru diperkenalkan, Anugerah 'Juara Mobile'bagi mengiktiraf lagu yang mendapat muat turun Nada Dering Pemanggil (Call-Me-Tones) terbanyak menerusi The Cube dimenangi oleh lagu Sedetik Lebih, ciptaan sepenuhnya oleh Edry Abdul Halim.

Pertandingan bertemakan air yang menterjemahkan simbolik aliran dan prestasi industri muzik tempatan itu dihoskan oleh gandingan tiga pengacara hebat iaitu Faizal Ismail dan Cheryl Samad.

Selain menyaksikan finalis-finalis yang bertanding, AJL turut menjemput penyanyi tersohor Awie, Datuk Shiela majid dan Jamal Abdillah untuk persembahan pembukaan, manakala nyanyian Black, Azlan & The Typewriter dan Hazama pula pada segmen interlud dengan iringan muzik orkestra bimbingan pemuzik hebat Datuk Ramli MS.

Miera Leyana Tawar Hati Untuk Berbaik Semula Dengan Shahrizal Jaszle

Miera Leyana.

PETALING JAYA: Pelakon Miera Leyana menganggap hubungannya dengan Shahrizal Jaszle yang baru berusia lima bulan itu berada pada tahap kritikal apabila pelakon lelaki tersebut didapati telah berlaku curang terhadapnya.

Miera berkata dia memperolehi bukti terhadap kecurangan Shahrizal sehingga menyebabkan pintu hatinya telah tertutup untuk berbaik kembali dengan aktor filem Azura itu.

“Saya selesa bersendiri dan berenggang dengan Shahrizal buat masa ini. Saya mendapati dia tidak berlaku jujur dan curang terhadap saya.

“Hati saya bagai sudah retak dan berkecai untuk berbaik semula dengan selepas beberapa kali dipermain-mainkan oleh dia,” katanya kepada mStar Online, di sini.

Ketika ditanya adakah dia memberikan peluang kepada aktor kacak itu, Miera berkata dia berasa tawar hati dengan sikap Shahrizal yang dilihat tidak bersungguh-sungguh untuk memulihkan kemelut tersebut.

“Sejak kami mula bergaduh kira-kira dua minggu yang lalu, sudah berkali-kali dia datang memujuk dan meminta maaf tapi saya tidak nampak kesungguhannya untuk memulihkan kekusutan antara kami.

“Mengapa saya perlu memberikan peluang lagi jika dia tidak pandai untuk menghargai kepercayaan saya selami ini?” katanya dalam nada kesal.

Miera berkata pada waktu ini, dia lebih selesa bersendiri dan berserah kepada Tuhan dalam menentukan perjalanan hubungan cinta mereka.

“Saya akui masih sayangkan. Namun, selepas apa yang berlaku saya redha dan berserah sahaja kepada Tuhan, jika ada jodoh antara kami, saya terima seadanya,” katanya.

Dalam pada itu, Miera yang baru sahaja menamatkan penggambaran drama bersiri sebanyak 13 episod, Mulanya Di Sini ini bakal terlibat dalam filem terbaru Mamat Khalid berjudul Amir dan Lokman Ke Laut.

“Selepas filem Apokalips X dan Rentaz, saya akan kembali bekerja di bawah arahan Mamat Khalid dalam filem terbarunya Amir dan Lokman Ke Laut.

“Dalam filem aksi komedi itu, saya memainkan watak kekasih kepada ketua gangster. Ia dijangka memulakan penggambaran pada 30 Januari ini di Ipoh, Perak,” katanya.

"Pembantu Peribadi Punca Hubungan Retak" - Shahrizal Jaszle

Shahrizal Jaszle.

SHAH ALAM: Pelakon kontroversi, Shahrizal Jaszle mendedahkan keretakan hubungannya dengan Miera Leyana adalah disebabkan oleh fitnah yang dilemparkan oleh bekas pembantu peribadinya kepada kekasihnya itu.

Shahrizal atau sebelum ini dikenali sebagai Shah Jaszle berkata, cakap-cakap kurang enak mengenai hubungannya dengan Miera timbul apabila dia mengambil keputusan memecat pembantunya itu baru-baru ini.

"Hubungan saya dan Miera sebelum ini dalam keadaan baik malah kami merancang untuk berkahwin tetapi masalah timbul apabila saya memecat bekas pembantu peribadi kerana tidak tahan dengan sikapnya yang malas bekerja.

"Kerana tidak berpuas hati dengan tindakan saya itu, dia telah menfitnah saya dengan pelbagai dakwaan sehingga menyebabkan Miera termakan dengan kata-katanya," ujarnya kepada mStar Online.

Tambahnya, ketika kejadian dia tidak berada di tanah air kerana sedang menjalani penggambaran di Australia dan hanya mengetahui mengenai kekecohan itu sekembalinya dia ke sini.

"Saya terkejut apabila mendengar pelbagai cerita buruk mengenai diri saya sehingga tidak tahu sebab sebenar Miera marahkan saya.

"Namun setelah berjumpa dan bercakap dengannya barulah saya mendapat tahu punca sebenar," katanya.

Dalam pada itu, Shahrizal berkata, dia telah bersemuka dengan bekas pembantunya itu dan individu tersebut mengakui telah menfitnah dirinya kerana marah dipecat.

Shahrizal memberitahu, dia kecewa apabila seseorang yang pernah dia percaya dan bantu ketika dalam kesusahan telah melakukan perkara sedemikian kepadanya.

"Dia adalah seorang bekas banduan dan tiada siapa yang ingin mengambilnya bekerja. Saya telah memberinya peluang untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa dia boleh berdikari selepas keluar daripada penjara.

Mira Liyana.

"Tetapi peluang yang diberikan disia-siakan begitu sahaja apabila gagal melaksanakan tugas diberikan kepadanya sehingga memaksa saya memecatnya.

"Saya langsung tidak sangka tindakan saya itu telah menyebabkan dia menikam saya dengan cara yang paling dashyat," ujarnnya.

Sementara itu, Shahrizal berkata, ekoran pelbagai dakwaan termasuk mengatakan dirinya seorang kaki perempuan telah menyebabkan kekasihnya itu merajuk dengannya gara-gara termakan kata-kata bekas pembantu peribadinya itu.

Ujarnya, sikap Miera yang mudah terguris dan merajuk ditambah dengan hasutan daripada rakan-rakan yang menyuruh dia meninggalkan dirinya telah menyebabkan kes berkenaan bertambah parah.

"Sehingga kini dia masih merajuk dengan saya dan mahu dipujuk. Saya juga telah menjelaskan tentang kedudukan sebenar tetapi dia belum menerima sepenuhnya.

"Apa yang boleh saya katakan walaupun kami tidak putus tetapi hubungan kami berada di tahap yang agak sukar dan kami masing-masing sedang memperbaikinya," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Shahrizal memberitahu dia tidak berhasrat untuk mencari pembantu peribadi baru kerana lebih selesa menguruskan kerjaya seninya sendiri.

"Masa ada pembantu dulu pun semua perkara saya lakukan sendiri tanpa mengharapkannya jadi rasanya ia akan kekal begitu," katanya.