Wednesday, June 15, 2011

Unimap harumkan Malaysia


Dr. Kamarudin Hussin (tengah) bersama delegasi Unimap yang menyertai Simposium Pertama Kejuruteraan, Sains dan Perniagaan Antarabangsa Malaysia-Ireland 2011 di Ireland, baru-baru ini.


KANGAR 14 Jun - Universiti Malaysia Perlis (Unimap) berjaya mencuri perhatian peserta Simposium Pertama Kejuruteraan, Sains dan Perniagaan Antarabangsa Malaysia-Ireland (IMiEJS) 2011 di Ireland dari 9 hingga 11 Jun lalu.

Bertemakan Alam Sekitar, Biologi, Kelestarian Tenaga Untuk Kualiti Hidup Lebih Baik, Unimap membentangkan sebanyak 21 kertas kerja dengan Prof. Dr. Ali Yeon Md. Shakaff terpilih memberikan ucaptama selain tokoh-tokoh akademik antarabangsa lain.

Sebanyak 20 kertas kerja telah dipilih untuk pembentangan secara lisan, manakala 23 lagi menerusi pembentangan poster.

Simposium tersebut bertujuan meningkatkan penglibatan pelajar Malaysia dan Ireland dalam persidangan antarabangsa di samping meningkatkan nilai perkongsian ilmu dan jaringan kerjasama di antara kedua-dua negara itu serta negara lain.

Penganjuran simposium tersebut oleh Unimap mendapat kerjasama daripada Kementerian Pengajian Tinggi dan Institut Teknologi Athlone (AIT), Ireland.

Lebih manis, Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin dipilih menerima 'Felo Kehormat' AIT yang merupakan anugerah tertinggi daripada institut berkenaan.

Anugerah berprestij itu diberikan berdasarkan pada sumbangannya terhadap pelbagai bidang seperti pendidikan, penyelidikan, sukarelawan dan hubungan antarabangsa terutamanya kepada Unimap-AIT.

Mengulas mengenai anugerah tersebut, Kamarudin berkata, ia merupakan pengiktirafan yang mempunyai nilai tinggi bukan sahaja disebabkan menjadi penerima pertama Malaysia, malah juga dari luar Ireland.

"Saya berharap anugerah yang diberikan ini menjadi medium terbaik untuk saya terus menyumbangkan pelbagai idea dalam menjadikan Unimap sebagai universiti penyelidikan berdaya saing di peringkat antarabangsa sekali gus mengharumkan nama Malaysia," katanya.

Anugerah itu disampaikan oleh Presiden AIT, Prof. Ciaran O Cathain yang juga merupakan penasihat akademik Unimap.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: