|
|
PUTRAJAYA 2 Jun - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak bercadang untuk mengurangkan atau menghapuskan pengajian dalam bidang Sains Sosial di institusi pengajian tinggi (IPT) kerana ia bukan punca utama ramai graduan menganggur.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program berbentuk kemanusiaan masih relevan kerana ia banyak membantu mengatasi pelbagai isu yang dihadapi masa kini seperti politik, sejarah dan sebagainya.
Katanya, kewujudan setiap universiti bukan untuk memenuhi keperluan industri semata-mata tetapi turut merangkumi aspek kehidupan.
"Daripada kajian yang kita lakukan kebanyakan penuntut universiti lemah dari segi berkomunikasi dan berfikir secara kritis serta kreatif.
"Masalahnya ialah kepada penuntut itu sendiri yang tidak mahu bergaul dalam setiap program yang dianjurkan sehingga membantutkan aspek kemahiran diri sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-15 Program Implan Koklear dan Ulang Tahun Ke-10 Pusat Tutur Universiti Kebangsaan Malaysia, di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai pelancaran Skim Latihan 1Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, bagi membantu sekitar 12,000 siswazah yang masih belum mendapat pekerjaan untuk menjalani latihan dengan syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) selama setahun.
Mohamed Khaled berkata, langkah kerajaan untuk memperkenalkan skim tersebut merupakan salah satu pendekatan membantu memahirkan golongan tersebut supaya dapat bersaing di pasaran kerja.
"Apa yang kita harapkan adalah semua graduan mempunyai pekerjaan walaupun kurang berkemahiran dan tidak mencapai purata nilai gred kumulatif (CGPA) yang memuaskan.
"Pengenalan skim tersebut diharap dapat membantu graduan dan setiap Naib Canselor universiti mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: