
PEREKA Azura Mazaruddin, 27, mula dikenali selepas dres rona ungu rekaannya yang digayakan pelakon sitkom Puteri, Nora Danish, dinobatkan busana terbaik pada acara Anugerah Juara Lagu ke-23.
Tanpa rekaan dan aksesori yang berlebihan, penampilan Nora yang melintasi karpet merah masih terserlah kerana Azura bijak menghasilkan potongan dres yang ideal dengan sosok tubuh Nora yang genit itu.
“Memang tidak sangka akan mendapat pengiktirafan seumpama itu. Tapi, ia rezeki yang tak ternilai dan platform terbaik buat saya untuk terus mengukuhkan lagi nama dalam bidang fesyen tempatan.
“Kini kecenderungan saya pada rekaan pakaian pengantin. Tetapi pada masa yang sama, saya masih membuka tempahan untuk dres formal, kasual dan pakaian tradisional,” terang Azura yang mengasaskan label Azura Couture.
Signatur busana Azura terletak pada gaya seni klasik dan moden kontemporari. Busana pengantinnya tidak terhad kepada permainan warna lembut malah turut diserikan dengan palet warna ceria dan terang.
“Saya gemar fabrik sifon kerana teksturnya yang lembut akan menyerlahkan sisi keanggunan dan feminin ratu sehari. Aspek meleret, kembang dan kain konsep ala duyung turut menjadi pilihan kerana elemen ini menyuntik aura glamor dan seri pengantin.
“Gaun perkahwinan perlu dihasilkan dengan teliti dan sempurna memandangkan ratu sehari akan menjadi tumpuan para tetamu sepanjang majlis berlangsung,” ujar graduan fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
Mengulas trend wanita Malaysia yang obses menggayakan baju pengantin berasaskan fabrik renda berbanding tekstil warisan songket, Azura mempunyai jawapan peribadi.
Anak sulung daripada empat orang adik-beradik itu, mengakui pakaian pengantin yang diperbuat daripada kain songket semakin dilupakan. Situasi itu berbeza jika dibandingkan fesyen pengantin pada era 80-an dan 90-an yang menggunakan fabrik songket sepenuhnya.
Pengantin perlu berbeza
“Segelintir pihak menyifatkan keistimewaan ratu sehari bagaikan hilang seri kerana para tetamu yang hadir turut menggayakan pakaian daripada kain yang sama. Maka, di sinilah tanggungjawab pereka dalam memastikan penampilan pengantin tampak berbeza dan cantik.
“Biasanya dalam menghasilkan sepasang busana itu, saya suka menggabungkan cita rasa dan personaliti pelanggan bersama kreativiti rekaan saya,” jelas Azura yang pernah memenangi Anugerah Jarum Berlian pada tahun 2003.
Azura turut menambah kain renda yang hadir dalam pelbagai warna dan sulaman merupakan simbolik pada majlis perkahwinan. Bukan sekadar di Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan Indonesia, bahkan kegilaan terhadap kain berkenaan turut dirasai di Malaysia.
“Namun, ini tidak bermakna songket diabaikan kerana sesetengah pelanggan masih ingin mengekalkan elemen tradisional dan klasik. Mereka menyifatkan baju kebaya pendek dan labuh kelihatan menarik sekiranya diperbuat daripada kain songket.
“Bagi mereka yang mencintai konsep fesyen moden dan klasik, saya sarankan gabungkan songket bersama fabrik moden seperti renda, sifon, shantung ataupun tafeta,” jelas Azura ketika ditemui Stailo di butik terbaharunya di Taman Melawati, Kuala Lumpur.

Vera dambaan selebriti
Vera Wang, 62, nama yang tidak asing lagi dalam industri fesyen gaun pengantin. Sejak mempelopori bidang tersebut sekitar tahun 1999 di Britain, Vera bagaikan tidak menang tangan melayan puluhan pelanggan yang hadir dari serata negara.
Anak kelahiran New York, Amerika Syarikat (AS) itu lebih selesa pada kombinasi rekaan yang ringkas, kembang dan meleret serta penggunaan fabrik polos yang menyuntik elemen mewah dan glamor.
Ternyata kehadiran graduan Seni Sejarah dari Kolej Sarah Lawrence, New York, AS, itu telah mencipta fenomena baharu dalam industri fesyen gaun pengantin.
Berbekalkan pengalaman bertugas sebagai editor di majalah Vogue secara tidak langsung membantu kreativiti Vera menghasilkan gaun pengantin yang terdedah di bahagian bahu dan dada.
“Semua wanita ingin tampil cantik pada hari perkahwinan, begitu juga saya. Justeru, sebaik saja mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga pada usia 40 tahun, saya berusaha mencari gaun pengantin di merata-rata tempat.
“Namun, saya hampa kerana kebanyakan gaun pengantin pada tahun tersebut tidak menggabungkan elemen rekaan moden dan sofistikated. Pengalaman itu memberi idea kepada saya untuk berkecimpung dalam industri fesyen pengantin dan berazam menghasilkan gaun pengantin yang mewah dan glamor,” tutur Vera yang sering menjadi pilihan golongan kenamaan dan para selebriti yang bakal melangsungkan perkahwinan.
Ivanka Marie Trump, 30, anak kepada jutawan Donald Trump, ialah salah seorang sosialit atau orang kenamaan yang menggunakan khidmat pereka Vera Wang dua tahun lalu.
Impiannya untuk meraikan majlis perkahwinan bersama penerbit New York Observer, Jared Kushner dalam suasana tradisional Inggeris direalisasikan dengan baik.
“Saya sama sekali tidak menyangka Ivanka, anak hartawan hartanah mengimpikan busana pengantin yang ringkas tetapi elegan dan menyerlahkan gaya feminin.
“Ivanka hanya mahukan sepasang gaun nuansa putih yang banyak bermain dengan renda dan tidak terlalu seksi. Ciri-ciri rekaan gaunnya itu diinpirasi daripada gaun pengantin Grace Kelly ketika berkahwin dengan Putera Rainier dari Monaco,” ujar Vera.

Ujar Vera, gaun pengantin rekaannya bukan sekadar mengikut trend fesyen semasa malah mengambil kira aspek fizikal dan personaliti pelanggan.
“Bagi saya kecantikan dan keseksian pengantin terserlah apabila menggayakan busana yang selesa,” ulasnya.
Penyanyi terkenal Indonesia, Kris Dayanti, turut tidak ketinggalan menggayakan gaun pengantin rekaan Vera pada majlis persandingannya bersama Raul Lemos di Hotel Mulia, Jakarta, Indonesia, awal tahun ini.
Elizabeth pilihan Diana
Dalam pada itu, Elizabeth Emanuel, 68, juga merupakan antara pereka wanita profesional dan popular di persada fesyen pengantin di London.
Dia dianggap pereka legenda yang paling bertuah kerana dipilih menghasilkan gaun pengantin buat Puteri Diana dengan pewaris takhta Britain, Putera Charles, pada 29 Julai 1981.
“Kami diberi tempoh tiga bulan saja untuk menyiapkan gaun pengantin Puteri Diana. Tidak kira siang atau malam, saya dan suami bertungkus-lumus memastikan gaun itu siap dengan sempurna seperti yang dirancang.
“Ia merupakan pengalaman manis kerana diberi peluang menghasilkan gaun pengantin buat keluarga diraja. Terkejut juga apabila mendapat panggilan telefon daripada Puteri Diana sendiri yang meminta saya mereka sepersalinan gaun pengantin yang istimewa buatnya,” jelas Elizabeth yang bersama-sama suaminya, David Emanuel, menyiapkan busana pengantin berkenaan.
Berbicara mengenai rekaan gaun pengantin yang berasaskan fabrik sutera tafeta itu, Elizabeth menyatakan ia merupakan gabungan idea antara dia dan Puteri Diana.
Selain konsep kembang pada bahagian bahu, gaun berkenaan tampak glamor dengan bahagian belakangnya meleret sepanjang 7.26 meter.
Ternyata bagi ketiga-tiga pereka pakaian pengantin yang diketengahkan Stailo kali ini, iaitu Azura, Vera mahupun Elizabeth, mereka mempunyai penilaian tersendiri dalam menghasilkan rekaan bagu pengantin. Objektifnya tetap sama, untuk menjadikan si pengantin tampil anggun dan menyerlah sempena hari penting dalam hidup seseorang wanita.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: