Tuesday, June 14, 2011

R2, Jambu, Nabil nyaris tersingkir


LAWAK Jozan berjaya mencuti hati dan berjaya mencuri kedudukan di tangga pertama di hadapan penonton di Kuantan, minggu lepas.


NABIL, R2 dan Jambu nyaris tersingkir apabila masing-masing memperoleh markah corot dalam pertandingan Maharaja Lawak pusingan ke-11 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang, Jumaat lalu.

Persembahan yang kurang mencuit hati penonton itu menyebabkan Nabil hanya mendapat 54 peratus diikuti Jambu (51 peratus) manakala R2 pula memperoleh 33 peratus.

Keputusan itu diumumkan oleh pengkritik tetap, Mamat Khalid di hadapan hampir 10,000 penonton yang memenuhi setiap ruang dewan untuk menyaksikan pertandingan yang dibawa secara langsung menerusi stesen televisyen berbayar, Astro.

Pada pusingan kali ini, kumpulan Jozan yang dianggotai Mohd. Yazid Lim Mohd. Abu dan Mohd. Hazizan Abdul Razak atau Zizan mendapat markah tertinggi iaitu 62.

Kumpulan Sepah yang dianggotai tiga anak muda iaitu Mohd. Noor Murad, Shahmira Muhammad dan Mohd. Nadzri Zainal Abidin mendapat 55 markah yang melayakkan mereka menduduki tempat kedua.

Dengan pengumuman yang dibuat oleh Mamat itu, semua peserta layak mara ke pusingan ke-12 di Johor Bahru, Johor pada 17 Jun ini.

Astro mencipta sedikit kelainan pada pusingan ke-11 kali ini apabila format pertandingan dibahagikan kepada dua segmen iaitu bebas dan penggunaan prop.

Format sama dijangka dikekalkan pada pusingan ke-12 di Johor Bahru nanti.

Pertandingan Maharaja Lawak dimulakan di saluran Astro Warna setiap Jumaat pada pukul 9.30 malam bermula 1 April lalu.

Program yang menghimpun semua finalis Raja Lawak dari musim pertama sehingga kelima itu berentap untuk dinobatkan sebagai juara Maharaja Lawak yang sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai lumayan bernilai RM300,000.

Para peserta diadili dengan konsep 50 peratus markah juri dan 50 peratus undian penonton.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: