Tuesday, June 14, 2011

Makyung Dewa Indera di IB


Sebahagian pelakon Teater Makyung Dewa Indera Indera Dewa ketika sidang akhbar baru-baru ini.


MELIHATKAN liuk lentok penari makyung ketika majlis sidang akhbar teater Makyung Dewa Indera Indera Dewa di Istana Budaya (IB) baru-baru ini, ia cukup memukau.

Teater tersebut akan dipentaskan di Lambang Sari selama dua hari berturut-turut, 17 dan 18 Jun ini, pukul 8.30 malam.

Sebelum ini, makyung tersebut pernah dipentaskan di Istana Budaya pada tahun 2006.

Nyata bukan mudah untuk mempelajari selok belok tarian dari negeri Che Siti Wan Kembang itu. Apatah lagi jika pelakunya bukan anak jati dari Kelantan namun dialek negeri itu perlu dikuasainya dengan baik.

Bagi pelakon utama teater berkenaan, Rosnan Rahman dan juga Arja Lee, lenggok tari mahupun lontaran dialog mengikut dialek Kelantan tidak boleh dijadikan alasan untuk mereka tidak memberikan persembahan memukau pada hari pementasan nanti.

Mungkin bagi empunya badan, Rosnan, seni makyung sudah sebati dalam dirinya, namun bagi Arja yang masih mengikuti latihan industri di Universiti Sains Malaysia (USM) ini, menguasai gerak lentok makyung adalah suatu yang mencabar dan memerlukan kesabaran yang tinggi.

Mengakui tuah berpihak padanya apabila terpilih memegang watak Indera Dewa, Arja berkata, dia tidak cepat mendabik dada sebaliknya mengakui masih banyak yang harus dipelajarinya.

"Ini merupakan teater pertama yang memerlukan saya mempelajari makyung dan lontaran dialog dalam dialek Kelantan. Saya akui, untuk mempelajari dialek negeri pantai timur itu, ia bukan suatu yang mudah untuk dilakukan.

"Bagaimanapun, saya tekad untuk menguasai dialek Kelantan dan langkah tari supaya penonton berpuas hati dengan lakonan saya nanti," katanya terus terang.

Sementara itu, Rosnan yakin dengan kemampuan Arja berdasarkan minat mendalam yang ditunjukkan oleh anak muda itu ketika sesi latihan.

"Walaupun baru dua hari memulakan latihan, saya lihat Arja betul-betul menumpukan perhatian dan menunjukkan komitmen dalam mempelajari seni makyung," katanya yang juga merupakan pengarah bagi pementasan berkenaan bersama-sama dengan Fatimah Abdullah.

Makyung Dewa Indera Indera Dewa kali ini merupakan persembahan terakhir Rosnan bersama Istana Budaya.

Bukan merajuk atau wujud rasa tidak berpuas hati terhadap Istana Budaya tetapi kerana perjalanan dunia yang sememangnya berkehendakkan sesuatu yang lebih baik.

Oleh itu, Rosnan dinaikkan pangkat dan akan bertugas sebagai Penolong Pengarah Kanan Kebudayaan di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

"Bagi saya, jangka waktu 10 tahun saya di Istana Budaya banyak memberi pengalaman.

"Terima kasih juga kepada Abang Jo kerana memberi kepercayaan kepada saya dalam menguruskan hal berkaitan ketika bertugas di Istana Budaya," katanya dalam nada terharu.

Selain itu, atas dasar cinta yang mendalam Rosnan terhadap seni makyung, beliau tidak akan sekali-kali membiarkan seni tersebut hilang ditelan zaman.

"Makyung sebenarnya sudah diiktiraf sebagai khazanah dunia dan saya tidak akan biarkan makyung berkubur begitu saja.

"Kami memerlukan pelapis yang betul-betul berminat untuk terus menghidupkan makyung. Jangan sampai pengiktirafan makyung ditarik balik," kata Rosnan yang merupakan satu-satunya pakyung lelaki dalam seni persembahan teater tradisional ketika ini.

Sokongan penonton

Berdasarkan kejayaan Istana Budaya mengaut RM6 juta untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini, Ketua Pengarahnya, Mohamed Juhari Shaarani berkata, semestinya pihaknya yakin dengan kutipan Makyung Dewa Indera Indera Dewa.

"Berdasarkan jumlah keuntungan IB setakat ini, saya yakin ramai peminat teater akan hadir untuk memenuhi IB tidak lama lagi.

"Ketika kali pertama teater ini dipersembahkan, sambutan daripada penonton amat menggalakkan. Jadi, saya jangkakan persembahan kali ini pasti akan mendapat sambutan.

"Malah, teater makyung kali ini juga tampil dengan waktu tayangan yang lebih singkat dan memuatkan lebih banyak aksi dramatik di samping menyelitkan juga isu-isu semasa," jelasnya.

Tamat persembahan Makyung Dewa Indera Indera Dewa, akan menyusul teater Muzikal Dreamgirls Julai ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: