![]() |
| DR. Maximus Ongkili (kanan) bersama Dr. Wee Ka Siong (dua dari kanan) melepaskan pertandingan Solar 1 Malaysia selepas perasmian Tahun Penggalakan Sains dan Matematik 2011 Kuala Lumpur, baru-baru ini. |
Dalam menghadapi cabaran era globalisasi seterusnya bersaing dengan negara-negara maju, Malaysia memerlukan masyarakat yang memiliki tahap kesedaran dalam bidang sains dan matematik yang tinggi.
Melalui pembudayaan sains dan matematik dalam diri setiap rakyat, Malaysia mampu menghasilkan kekayaan, menjana ilmu serta menjadikan negara semakin maju dan berpendapatan tinggi.
Apatah lagi tahun ini telah diisytihar sebagai Tahun Sains dan Matematik oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Selaras dengan hasrat itu, MOSTI dengan kerjasama Kementerian Pelajaran baru-baru ini telah melancarkan program Tahun Penggalakkan Sains dan Matematik (TPSM) 2011.
Ia bertujuan memupuk minat serta mempertingkatkan kesedaran dan pembudayaan sains dan matematik di segenap lapisan masyarakat.
Bertemakan Jom Sains, Suka Matematik, pelbagai aktiviti khusus berkaitan sains dan matematik dianjurkan sepanjang tahun.
Menurut Menterinya, Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili, program sedemikian banyak memberi manfaat masyarakat dalam membudayakan sains dan matematik dalam kehidupan seharian.
"MOSTI berharap TPSM 2011 akan menyedarkan masyarakat bahawa sains dan matematik adalah sebahagian daripada hidup kita.
"Bidang sains dan matematik adalah sesuatu yang menarik, mencabar, penting dan mampu menyelesaikan pelbagai masalah dan cabaran yang dihadapi manusia," ujarnya.
Beliau berkata sedemikian ketika berucap merasmikan program TPSM 2011 di Pusat Sains Negara di Kuala Lumpur baru-baru ini.Turut hadir Timbalan Menteri Pelajaran , Datuk Dr. Wee Ka Siong.
Malaysia mencatatkan kejayaan dalam sistem pendidikan sejak 50 tahun lalu, namun kejayaan pendidikan negara telah ketinggalan berbanding dengan negara-negara seperti Singapura, Hong Kong dan Korea.
Terdapat perbezaan jurang kejayaan pendidikan yang membimbangkan di antara pelajar negara ini.
Pada tahun 2007, 20 peratus daripada pelajar negara ini gagal mencapai tahap minimum dalam Trends In International Mathematics and Science Study (TIMSS) dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut berbanding lima hingga tujuh peratus pada tahun 2003.
Manakala laporan enrolmen peringkat menengah di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan pada 30 Jun 2010 mencatatkan terdapat nisbah perbezaan yang besar mengikut komposisi jantina dan aliran pilihan pembelajaran.
Justeru, melalui program sedemikian, diharapkan tahap kesedaran sains teknologi dapat ditingkatkan.
Ia juga akan di sokong dengan persekitaran yang menggalakkan aktiviti reka cipta, inovasi, pembangunan teknologi di kalangan masyarakat.
Program ini juga diharapkan dapat mencetus serta menyemai minat rakyat Malaysia ke arah pembelajaran sains dan teknologi sepanjang hayat.
Selain itu, ia juga bertujuan memastikan pembangunan sains, teknologi, dan inovasi di Malaysia adalah berterusan di masa hadapan sekali gus mempertingkatkan keupayaan inovasi dalam negara.
Sebanyak 50 program dan aktiviti yang berasaskan sains dan matematik telah dan sedang diadakan sepanjang tahun ini.
Program-program tersebut melibatkan kerjasama MOSTI, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, pihak swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Aktiviti yang diadakan juga meliputi pameran, karnival, persidangan, ceramah, bengkel, pertandingan, program jangkau luar (Outreach Programme) dan majlis anugerah.
Malah, turut diselitkan Pertandingan Solar 1Malaysia yang melibatkan hampir 2,000 peserta yang dikendalikan oleh MOSTI, Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Motorbotz Enterprise.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: